0


SYANIE mengakui berasa takut untuk kembali bergelar isteri selepas 11 tahun menjanda.

SELEPAS 11 tahun hidup solo gara- gara kegagalan rumah tangganya terdahulu, pelakon Syanie Hisham bakal berkahwin dengan tunangnya, Nadi Putera Mohd. Zainol pada 1 Mac tahun depan.

Pasangan Syanie dan Nadi Putera telah mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis ringkas di Petaling Jaya, Selangor, yang hanya dihadiri keluarga terdekat pada 10 Ogos lalu.

Kegagalan rumah tangga yang dibina pada tahun 2002, kata Syanie, tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk mendirikan mahligai bahagia buat kali kedua.

“Selama 11 tahun bercerai bukan tidak pernah berkenalan dengan lelaki lain tapi apa boleh buat, bukan jodoh. Saya akui, tujuh tahun lalu pernah berkawan rapat dengan Putera tapi ketika itu dia terlalu muda.

“Tidak sangka pula kami boleh bertemu kembali dan memutuskan untuk berkahwin dalam masa yang singkat,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran Masterchef Malaysia All Stars di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Syanie, cintanya dengan Putera kembali bertaut ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang teman mereka beberapa bulan lalu.

Perbezaan usia 12 tahun antara Syanie dan Nadi Putera bukan penghalang untuk mereka meneruskan hubungan, bahkan kata Syanie, perbezaan jarak usia 13 tahun antara ibu dan bapanya menjadi bukti bahawa usia sekadar angka.

“Bukan saya sengaja cari lelaki muda tapi saya akui senang untuk berkomunikasi dengannya. Kami banyak berbincang dan dia pun tidak mudah melenting, keserasian sebenarnya membolehkan kami bersama,” katanya.

PERBEZAAN usia 12 tahun antara Syanie dan Nadi tidak menghalang mereka untuk mengikat tali perkahwinan.

Selepas 11 tahun memegang gelaran janda, Syanie melihat institusi perkahwinan dalam radius yang lebih berbeza daripada sebelum ini.

“Sudah tentu saya rasa sangat takut untuk kembali mendirikan rumah tangga selepas 11 tahun tapi saya enggan membazirkan masa lagi.

“Keluarga kedua-dua belah pihak pun sudah kenal antara satu sama lain dan saya belajar satu perkara daripada kegagalan lepas iaitu komunikasi,” tambah Syanie.

Menerusi perkahwinan pertama, Syanie tidak dikurniakan cahaya mata, sebaliknya Nadi Putera pula mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Mohd. Putera Danish, 5, dan Mohd. Putera Dafiq, 4, hasil perkahwinan pertamanya.

Ditanya tentang persediaannya menjadi isteri dan ibu segera kepada dua cahaya mata Nadi Putera, jawab Syanie, dia teruja dan sedia menjalankan tanggungjawab yang bakal digalas sebaik mungkin.

“Nadi Putera sudah tiga tahun menduda dan saya tidak terlalu mengharapkan zuriat sendiri apabila berkahwin nanti, saya sedar usia saya kini.

“Insya-Allah, saya bersedia untuk cuba menjadi ibu yang terbaik kepada kedua-dua anak Putera, menumpang kasih pun tidak mengapa,” jelasnya.

Dalam pada itu Syanie memberi- tahu, majlis resepsi akan berlangsung di Pantai Chenang, Pulau Langkawi, Kedah bertemakan

‘beach wedding’.

“Saya sudah lama mengimpikan perkahwinan tepi pantai dan insya-Allah bakal direalisasikan kali ini. Saya mahukan majlis yang ringkas dan akan mengeratkan hubungan antara keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang kini telah mendapat tajaan busana resepsi dan malam berinai serta bunga telur. -kosmo-

Post a Comment

 
Top