0


WEE KIONG (depan) dan Thien How melangkah ke pusingan suku akhir Terbuka China
 semalam selepas menewaskan lawan dari Korea Selatan.




Semalam, giliran Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pula mencipta kejutan pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka China 2013 selepas pasangan kedua negara itu menewaskan beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel.

Beregu No. 11 dunia itu terus tampil dengan rentak konsisten ketika mengharungi aksi pusingan kedua semalam yang menyaksikan mereka bangkit selepas kekalahan pada set pertama untuk menumbangkan pasangan kedua Korea Selatan itu 17-21, 21-17, 21-18.

Prestasi yang dipamerkan beregu negara itu turut mendapat reaksi positif daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Kumpulan Pengurusan Bakat badan induk itu di Bukit Kiara semalam.

"Saya pasti anda juga mahu bertanya mengenai Terbuka China, jadi apa yang anda fikirkan. Thien How dan Wee Kiong masih di China (belum tewas).

"Saya rasa ada satu perkara yang penting anda perlu tahu bahawa Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Thien How-Wee Kiong dan Wei Feng telah menyumbangkan banyak mata untuk kelayakan Piala Thomas.

"Ia memang tidak mudah kerana meraih keputusan yang baik akan menjadi kunci kejayaan. Kami berpuas hati dengan prestasi mereka," kata Tengku Mahaleel.

Begitupun malang menimpa beregu utama negara, Kien Keat- Boon Heong yang tewas 18-21, 18-21 kepada gandingan Rusia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dalam tempoh 37 minit dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

"Juara dunia termuda MotoGP, Marc Marquez juga akan menang dan kalah, apabila dia sampai di satu tahap yang baik dia juga akan jatuh dan dia harus menerima kekalahan itu. Kami menerima perkara ini (kekalahan Kien Keat-Boon Heong)," tambah Tengku Mahaleel.

Thien How-Wee Kiong akan bertemu Ivanov-Sozonov pada aksi suku akhir hari ini.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta dua pemain perseorangan, Chong Wei Feng dan Liew Daren turut melangkah ke pusingan suku akhir.

Peng Soon-Liu Ying yang menewaskan pasangan Jerman, Michael Fuchs-Birgit Michels 22-20, 30-28 akan menentang beregu Denmark, Christinna Pedersen-Joachim Fischer Nielsen hari ini.

Wei Feng yang menundukkan pemain China, Tian Houwei 14-21, 21-13, 21-16 akan berdepan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Daren pula bakal menghadapi tugas lebih sukar hari ini apabila dia yang mara selepas menewaskan Takuma Ueda dari Jepun dengan keputusan 14-21, 21-17, 24-22 dan dia akan bertemu juara bertahan China, Chen Long. -kosmo-

Post a Comment

 
Top