0


NAD terkejut kerana turut terpilih menjadi hos Anugerah Skrin 2013 di samping Faizal.


BUKAN sedikit tetapi banyak yang telah diraih oleh pelakon kecil molek bernama Nad Zainal ini. Selain lakonannya yang semakin diiktiraf peminat, hubungan cintanya dengan pelakon baharu, Azman Kombos juga meraih perhatian ramai pihak.

Terbaharu, pelakon berusia 23 tahun itu diberi kepercayaan untuk mengacarakan Anugerah Skrin 2013 yang akan bersiaran langsung pada 29 November ini di Stadium Melawati, Shah Alam, pukul 8.30 malam.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin akan mengacarakan anugerah berprestij itu bersama dua penyampai hebat iaitu Awal Ashaari dan Faizal Ismail (FBI).

Sebaliknya, bagi acara karpet merah Anugerah Skrin 2013 akan dikendalikan oleh Scha Al Yahya dan Iqram Dinzly bersama-sama dua pemenang daripada Pertandingan Pantene Star Search.

Mengulas mengenai pemilihan Nad, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Siti Nurlisia Mohd. Nadzri memberitahu, tidak semua artis yang berani menyahut cabaran mengacarakan anugerah secara langsung.

"Dia (Nad) pelakon baharu yang menunjukkan kematangan dalam bidang lakonan. Dia berani menyahut cabaran untuk melakukan sesuatu yang baharu," ulasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman tiga pengacara yang akan mengendalikan Anugerah Skrin 2013 nanti.

Bagaimanapun jelas Siti, tiga pengacara tersebut tetap diberi skrip untuk panduan pada malam anugerah yang mengangkat tema kaca yang dilihat sebagai refleksi pada kisah sebenar kehidupan yang berlaku dalam masyrakat dalam drama dan filem.

Menolak anggapan Nad sebagai 'anak emas' stesen TV3 kerana pemilihannya itu, ujar Siti lagi, Nad dirasakannya sebagai seorang pelakon yang bijak dan mampu menjadi diri sendiri ketika mengacarakan anugerah itu nanti.

Sementara itu, bagi Nad pula, dia terkejut kerana terpilih mengacarakan anugerah besar tersebut memandangkan ramai lagi artis senior mahupun pengacara wanita yang mampu memikul tanggungjawab berkenaan.

Namun, pelakon drama Kampung Girl itu berharap untuk membuat yang terbaik dan akan cuba mencapai standard dua lagi pengacara senior iaitu Awal dan Faizal.

"Saya telah membuat kaji selidik mengenai cara pengacaraan Faizal dan Awal. Faizal sering melakukan lawak secara spontan manakala Awal pula jenis yang meneutralkan keadaan.

"Jadi, saya rela menjadi bahan buli atau lawak untuk majlis itu nanti. Namun, saya tidak akan berdiam diri, sebaliknya membalas setiap kata-kata mereka," ungkapnya sambil ketawa.

Bagi Faizal pula, walaupun sudah biasa mengacarakan acara secara langsung tetapi untuk ASK2013 ia adalah pengalaman pertama kalinya.

"Saya anggap pengacaraan saya kali ini satu cabaran berlainan. Sebelum ini, saya hanya mengacarakan program Anugerah Juara Lagu (AJL) secara langsung. Sudah enam kali mengacarakan AJL jadi saya fikir bagus juga saya cuba mengacarakan anugerah lain secara langsung pula," jelasnya.

Sebaliknya, berlainan pula bagi Awal. Suami kepada pelakon dan pengacara Scha Al Yahya itu sudah memasuki tahun ketiga mengacarakan Anugerah Skrin.

Namun luah Awal, kali ini sedikit berbeza kerana impiannya untuk bekerjasama dengan Faizal akhirnya terlaksana.

Dalam pada itu, persembahan bagi Anugerah Skrin 2013 pada malam itu akan memaparkan lagu-lagu sountrack (OST) bagi drama-drama mahupun filem-filem popular yang pernah mendapat tempat di hati penonton.

Antara artis-artis yang bakal terlibat termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Hazama, Amir Jahari, Azlan & The Typewriter, Waris, Hafiz dan Adira. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA -kosmo-

Post a Comment

 
Top