0
AKSI Hairuddin (dua dari kiri) pada pertemuan menentang Kelantan dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang bulan lalu.



KAPTEN The Gladiators, Hairuddin Omar jelas berada di persimpangan dilema.

Segala-galanya bermula apabila penyerang veteran itu menjadi mangsa ‘tarik-tali’ antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United musim depan.

Namun, Hairuddin yang mesra dengan panggilan Hai-O enggan kemelut itu berpanjangan dan menyerahkan perkara tersebut untuk diselesaikan kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

“Susah saya nak cakap sebenarnya... jadi ada baiknya saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Yang pasti, pihak pengurusan ATM dan Felda United tahu apa sebenarnya yang berlaku ketika ini.

“Jadi, saya menyerahkan kepada kedua-dua pihak pengurusan untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Polemik mula tercetus selepas Felda United dikatakan kecewa apabila Hai-O tidak bersama pasukan itu mengharungi saingan Liga Premier musim depan.

Difahamkan, Hai-O pada mulanya bersetuju menyertai The Settlers sebaik kontraknya bersama ATM tamat penghujung bulan ini.

Ia dikatakan berpunca apabila penyerang berusia 34 tahun itu tidak menerima sebarang tawaran lanjutan oleh pihak pengurusan The Gladiators sebaik kempen Piala Malaysia 2013 tamat baru-baru ini.

Pada masa sama, Hai-O juga dikatakan berada dalam radar juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Kekal mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ berhubung perkara itu, Hai-O sebaliknya menjelaskan ada baiknya perkara itu diselesaikan secara baik terlebih dahulu oleh kedua-dua pihak.

“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat seketika di kampung.

“Saya mencari rezeki dengan bola sepak, jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum pendaftaran pemain ditutup pada 15 Disember depan,” jelas Hai-O yang sedang bercuti di Terengganu. -kosmo-

Post a Comment

 
Top