Nilai Luis Suarez melambung
LONDON - Penyerang sensasi Liverpool, Luis Suarez kini memiliki klausa pelepasan kontrak bernilai £70 juta (RM376.9 juta).
Ini bermakna, The Reds perlu berusaha keras mengekang penghijrahan Suarez jika gagal layak ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu menggembirakan peminat The Reds selepas menandatangani kontrak lanjutan bulan lalu dan menerima gaji mencecah £225,000 (RM1.2 juta) seminggu.
Namun Suarez, 26, yang kini mencetak 20 gol dalam saingan Liga Perdana England musim ini dikatakan mahu beraksi di pentas Eropah.
Justeru, tidak mustahil beberapa kelab besar seperti Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich dan Paris Saint-Germain sanggup menebus klausa pelepasan kontrak itu jika Liverpool gagal menamatkan saingan liga dalam kelompok empat pasukan terbaik musim ini.
Musim lalu, Arsenal dilaporkan bersetuju menebus klausa pelepasan bernilai £40 juta (RM215.4 juta) yang dimiliki Suarez.
Namun, ia tidak dipersetujui Liverpool yang enggan menjual Suarez kepada mana-mana kelab.
Meskipun klausa itu dilihat jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini, besar kemungkinan ia boleh berlaku berdasarkan prestasi semasa Suarez.
Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, Suarez bakal menjadi antara pemain termahal di dunia selain Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo.
Suarez kini menggalas tugas sebagai kapten The Reds ekoran kecederaan yang dialami Steven Gerrard dan Daniel Agger. - Agensi
Post a Comment