0


ALWORTH menunjukkan cincin miliknya yang hilang 25 tahun lalu di Encinitas, San Diego kelmarin.- AP



ENCINITAS, San Diego - Sebentuk cincin milik bekas bintang sukan bola sepak Amerika, Lance Alworth yang hilang 25 tahun lalu akhirnya berjaya ditemui semula, kata Jabatan Syerif San Diego kelmarin.

Cincin itu dicuri pada tahun 1998 dari sebuah bar di San Diego, Amerika Syarikat semasa pameran barang-barang cendermata sukan berlangsung.

Penemuan cincin itu bermula selepas satu pasangan dari Palm Springs menerima cincin tersebut pada tahun 2001.

Mereka memperoleh cincin itu yang dicagarkan oleh seorang lelaki yang meminjam wang daripada pasangan tersebut sebanyak AS$5,000 (RM15,734). Lelaki itu menyatakan dia memperoleh cincin itu menerusi satu permainan poker.

Pasangan itu kemudian memutuskan untuk menjual cincin tersebut menerusi satu lelongan.

Baru-baru ini, Alworth menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali dengan niat untuk menjual cincin tersebut.

Namun, individu itu menetapkan syarat Alworth perlu membayarnya sebanyak AS$44,000 (RM138,465).

Jabatan syerif kemudian melancarkan siasatan selepas panggilan telefon itu dibuat.

Anggota-anggota syerif kemudian menemui cincin itu di sebuah firma lelongan di Laguna Niguel.

Lelongan cincin itu akan dibuat pada 20 November depan dengan harga permulaan sebanyak AS$44,000.

Cincin itu kini telah dipulang semula kepada Alworth.

Setakat ini tiada tangkapan telah dibuat berhubung kes itu.

Alworth dihadiahkan cincin itu pada tahun 1972 selepas pasukan yang diwakilinya, Dallas Cowboys mengalahkan Miami Dolphins dengan mata 24-3 di New Orleans. - Agensi

Post a Comment

 
Top