0
WAJAH sebak Yingluck semasa beliau membuat kenyataan pada sidang akhbar di Kelab Tentera Bangkok semalam.

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menangis dengan matanya kelihatan berair semasa beliau meminta penunjuk perasaan tidak berhimpun di jalanan.

Yingluck juga meminta penunjuk perasaan menyokong pelaksanaan pilihan raya Parlimen yang diadakan pada 2 Februari depan.

Selepas mengadakan demonstrasi jalanan sejak bulan lalu, para penunjuk perasaan menolak pembubaran Dewan Rakyat yang dibuat Yingluck kelmarin.

Namun, Yingluck menyatakan beliau akan meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri sementara sehingga 2 Februari depan.

"Kini, kerajaan telah membubarkan Parlimen. Saya meminta anda berhenti melakukan tunjuk perasaan dan semua pihak bekerja ke arah pilihan raya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kelab Tentera selepas mengadakan mesyuarat Kabinet.

Yingluck kelihatan sebak dengan matanya berair sebelum beliau kembali menenangkan dirinya.

Perdana Menteri itu mungkin diselubungi emosi selepas tunjuk perasaan jalanan diadakan bagi mendesak beliau meletakkan jawatan kerana didakwa sebagai boneka abangnya, Thaksin yang juga bekas perdana menteri tetapi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.

Yingluck, 46, yang merupakan bekas ahli perniagaan tidak mempunyai pengalaman dalam politik sebelum beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 2011.

Dalam pilihan raya itu, partinya, Pheu Thai menang sekali gus membolehkannya menjadi perdana menteri.

Thaksin kini hidup dalam buangan selepas beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa.

Dasar-dasar Thaksin yang membela penduduk miskin telah menyebabkan beliau mendapat sokongan ramai penduduk di kawasan pedalaman.

Thaksin juga merupakan bilionair yang berjaya dalam industri telekomunikasi.

Kira-kira 3,000 penunjuk perasaan berkhemah di Rumah Kerajaan pada malam kelmarin.

Penunjuk perasaan itu turut berhimpun semalam yang merupakan cuti umum sempena Hari Perlembagaan.

Para penunjuk perasaan anti-Yingluck itu terdiri daripada golongan kelas pertengahan dan atasan termasuk kakitangan awam serta keluarga ahli perniagaan ternama.

Kumpulan anti-Yingluck itu juga mendapat sokongan kuat daripada penduduk di selatan Thailand kerana ia merupakan kubu kuat parti Demokrat yang menjadi pembangkang.

Namun, penunjuk perasaan itu memberi tempoh 24 jam kepada Yingluck untuk meletakkan jawatan.

Penunjuk perasaan itu yang diketuai bekas timbalan perdana menteri, Suthep Thaugsuban mahu Yingluck meletakkan jawatan supaya majlis rakyat yang dianggotai beberapa orang terbaik yang dipilih dalam kalangan penduduk boleh mentadbir Thailand.

Yingluck enggan meletakkan jawatan seperti yang diminta para penunjuk perasaan.

Menurut polis, kira-kira 7,650 orang penunjuk perasaan berhimpun di sini pada tengah hari semalam berbanding 160,000 orang kelmarin.

Pada hujung bulan lalu, dua orang terbunuh dan 45 cedera dalam tunjuk perasaan anti-Yingluck di sini. - Agensi

Post a Comment

 
Top