0
ATLET wusyu negara, Phoon Eyin tampil cemerlang untuk meraih pingat emas dalam acara qiangshu wanita di Sukan SEA 2013Myanmar semalam.



NAY PYI TAW, Myanmar - Atlet pelapis negara, Phoon Eyin melakar kejutan pada hari ketiga acara wusyu dipertandingkan di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A semalam.

Meskipun tidak diletakkan sasaran, Phoon Eyin, 17, berjaya menghadiahkan pingat emas ke-1,000 kontinjen Malaysia sejak menyertai temasya Sukan SEA/SEAP pada tahun 1959.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengutip 9.67 mata dalam acara qiangshu wanita untuk menewaskan pencabar daripada Vietnam, Duong Thuy Vi (9.59 mata) dan atlet Indonesia, Thalia Lovita Sosrodjojo (9.40 mata).

Kejayaan itu cukup bermakna buat Phoon Eyin yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA selepas merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Wusyu Dunia 2013 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

"Ini merupakan penampilan pertama saya pada Sukan SEA. Pada awalnya, saya menyertai temasya ini sekadar untuk mencari pengalaman daripada atlet negara lain.

"Saya hanya melakukan yang terbaik dan cuba mengurangkan kesilapan ketika membuat persembahan. Saya langsung tidak tertekan kerana saya tiada sasaran untuk memenangi pingat emas," kata Phoon Eyin yang baharu dua tahun menyertai skuad kebangsaan.

Pada aksi semalam, sasaran pingat emas ke-1,000 kontinjen Malaysia diletakkan kepada juara dunia, Ho Mun Hua, Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuen.

Bagaimanapun, Mun Hua sekadar meraih pingat perak selepas mengutip 9.68 mata dalam acara nandao lelaki, manakala Diana Bong membawa pulang pingat gangsa dalam acara nangun wanita.

Pingat emas dalam acara yang disertai Mun Hua itu dimenangi atlet Myanmar, Aung Wai Phyo (9.69 mata) dan gangsa menjadi milik Pham Quoc Khanh dari Vietnam (9.67 mata), manakala seorang lagi atlet Malaysia, Kevan Cheah Peng Heng sekadar mengutip 9.63 mata).

Diana Bong, 28, pula mengumpul 9.49 mata untuk ketinggalan di belakang dua atlet Indonesia, Juwita Niza Wasni Wasni (9.64 mata) dan Ivana Ardelia Irmanto (9.61 mata), manakala Cheau Xuen di tempat kelima (9.44 mata).

Ng Say Yoke yang mengutip 9.67 mata turut menyubang pingat gangsa dalam acara daoshu lelaki selepas ketinggalan di belakang atlet Indonesia, Achmad Hulaefi (9.70 mata) dan Nguyen Manh Quyen dari Vietnam (9.68 mata).

Satu lagi pingat gangsa diperoleh menerusi Lim Chi Leng yang tewas kepada Wally Divine dari Filipina pada aksi separuh akhir acara wusyu sanshou wanita (48kg) kelmarin.

Ketua jurulatih skuad wusyu negara, Yoong Thong Foong berkata, Mun Hua telah membuat persembahan terbaik, manakala Diana Bong terlupa untuk melakukan satu gerakan.

"Pergerakan Mun Hua sangat baik dan dia tidak melakukan sebarang kesilapan. Dia berhak untuk memenangi pingat emas sekiranya mendapat sokongan penuh daripada juri.

"Diana Bong pula terlupa untuk melakukan satu pergerakan yang menyebabkan juri terpaksa memotong markahnya. Mungkin dia terlalu ghairah untuk membuat persembahan sehingga terlupa untuk melakukan pergerakan itu.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya tetap berpuas hati dengan persembahan atlet negara terutamanya kejutan yang dilakukan Phoon Eyin," katanya.

Selepas tiga hari bertarung, wusyu berjaya mengutip tiga pingat emas, lima (perak) dan lima (gangsa).

Bagaimanapun, jumlah itu akan bertambah sekiranya atlet negara berjaya mengutip beberapa lagi pingat pada hari terakhir acara wusyu dipertandingkan hari ini. -kosmo-

Post a Comment

 
Top