ISI KANDUNGAN BAJET 2014 | RINGKASAN BAJET 2014 | ISI – ISI PENTING BAJET 2014 |
Di bawah ini Admin lampirkan ucapan penuh isi kandungan BELANJAWAN 2014 oleh Perdana Menteri Malaysia.
PENDAHULUAN
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mulakan lafaz ucapan
Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim.
Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah Subhanahu Wa Taala
dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya:
“Dan tuntutlah dengan
harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah
berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmatNya yang
melimpah-limpah”.
Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa:
“Berpadu
ialah satu permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala
bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resepi
kejayaan”.
Tuan Yang di-Pertua,
1. Seawal dan seafdalnya,
marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah
Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para
Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang
mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan
demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka.
2.
Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi
ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang
menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan
Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui
kepimpinan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Ini
membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun
dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam
dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua,
kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan,
terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan
datang.
4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihanraya
Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita
boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut
batas dan lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh
Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan
sebagai ibu segala pilihanraya.
Tuan Yang di-Pertua,
5.
Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko
ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak
berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita.
Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret
dalam kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa.
6.
Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana
negara ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda malapetaka
mahupun bencana alam melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara
lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung olehNya jua.
Tuan Yang di-Pertua,
7.
Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10
Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah
dilaksanakan.
8. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati
tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan
Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga
telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, semasa
membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin
untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.
9. Di sini, ingin saya
tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan terjelma, atau
berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan strategi
yang tuntas oleh Kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan
Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara
daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan
kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi.
Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Tuan Yang di-Pertua,
10.
Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor,
Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah
menzahirkan maklumat tentang demografi populasi negara berkhusus tentang
Melayu dan Bumiputera.
Tuan Yang Di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
11.
Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi
populasi yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di
Sabah, membawa ke Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan
bahawa, secara asasnya, orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku
dengan 9 induk utama, Orang Cina 10 suku, kaum India 8 suku, Orang Asli
18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya lebih 60 etnik, manakala di
Sarawak pula terdapat lebih 40 suku.
12. Hakikatnya, kita semua,
sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Murut, Dusun,
Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani, orang Siam,
peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya,
kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira
peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju
kejayaan.
Tuan Yang di-Pertua,
13. Menurut bancian
Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013 menunjukkan
jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan
Bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam adalah 18.6 juta atau
67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus, kaum India 2 juta atau 7.2
peratus, manakala lain-lain kaum 259 ribu yang mewakili 0.9 peratus. Ini
bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta
orang.
14. Kendatipun begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang
Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi
dalam pilihanraya umum ke-13 baru baru ini. Walhal, hinggalah hari ini,
tiada siapapun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka
itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak,
Astaghfirullah-Hal Azim.
Tuan Yang di-Pertua,
15.
Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun
prakarsa negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan
dipateri oleh bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh
bijaksana dan berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta
komposisi kemajmukan rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh
tersebut, naskhah penting ini kita bingkiskan.
16. Sepertimana
saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini, dipilih dan
jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh sa’adah.
Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung,
dipersembahkan kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah
sekali lagi diberikan amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali
ke-lima yang direncana dan diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan
bagi pihak Kerajaan sejak 2009.
TERAS BAJET 2014
Tuan Yang di-Pertua,
17.
Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus
berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat
keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud
ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan “MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI,
MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”, dengan menggariskan lima
teras utama.
Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi
Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan
Luar Bandar
Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat
PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014
Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
18.
Terlebih dahulu, izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi
global dan negara masa kini. Ekonomi dunia dijangka berkembang perlahan
dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali
daripada tempias ini. Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar
monetari yang akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan
yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi
negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.
19. Indikator ekonomi
menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai contoh, sehari
sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan
nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan
nilai pasaran 1.66 trilion ringgit pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013.
Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.
20.
Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi,
yakni 18.2 bilion ringgit berbanding 15.9 bilion ringgit pada separuh
pertama 2012. Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak
444.9 bilion ringgit pada 14 Oktober 2013. Tuan Yang di-Pertua, jumlah
ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar
jangka pendek.
21. Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara
dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut
disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan
anggaran pelaburan sebanyak 165 bilion ringgit. Di samping itu,
penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan 7.3 peratus,
disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.
22.
Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih
baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga
5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta,
sebanyak 12.7 peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.
23.
Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan
dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor
pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor
perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada
3.1 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3
peratus.
Tuan Yang di-Pertua,
24. Ingin saya kongsikan di
sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah 34,126
ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan
peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun. Sehubungan hal
ini, jika dicongak, InsyaAllah, besar kemungkinan pendapatan perkapita
pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu
Dolar Amerika. Dalam erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi
negara maju lebih awal daripada tahun 2020.
PERUNTUKAN BAJET 2014
Tuan Yang di-Pertua,
25.
Bajet 2014 akan menyediakan peruntukan sebanyak 264.2 bilion ringgit
bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan
rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 217.7 bilion
ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 46.5 bilion ringgit
bagi perbelanjaan pembangunan.
26. Di bawah peruntukan mengurus,
sejumlah 63.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 36.6 bilion
ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 114.5 bilion
ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.
Sejumlah 1.4 bilion ringgit lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan
baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
Tuan Yang di-Pertua,
27.
Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah 46.5 bilion ringgit itu,
sejumlah 29 bilion ringgit disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak
10.5 bilion ringgit bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan,
kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.
Seterusnya, 3.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor
keselamatan. Selebihnya, 1.1 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2
bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
28. Pada tahun 2014,
Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak 224.1 bilion
ringgit, yakni, tambahan sebanyak 4 bilion ringgit berbanding tahun
2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit
fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5
peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014,
berbanding 4 peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi
memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara.
Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
29.
Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa
seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang
dirangka sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
30. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha Kerajaan menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh, jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus, kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus.
31. Bagi
tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189
bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak
dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan
hartanah.
32. Di samping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah
sebanyak 106 bilion ringgit. Di antara projek yang akan dilaksanakan
ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang
316 kilometer, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang
Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru.
33. Dalam bidang
minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh Petronas
merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek
pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan
projek loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di
Pengerang, Johor yang merupakan pelaburan terbesar di Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
34.
Menjengah sudut lain, Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di
lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta
melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah
124 bilion ringgit pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus
daripada keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor.
35.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah
berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah 53.4 bilion ringgit.
Hampir 50 peratus daripada pelaburan berkomited tersebut telah
direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio
Pinewood, Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa
Pegasus. Selain itu, projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan
dilaksanakan.
36. Kerajaan turut menyediakan 1.6 bilion ringgit
pada 2014 bagi pembangunan di lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek
utama ialah projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di
Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman perindustrian Samalaju dan halal
hub di Wilayah Koridor Sarawak.
37. Manakala di Wilayah Pantai
Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks Petrokimia Bersepadu
akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah Utara pula,
antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersil dan
sistem fertigasi.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Merancak Sektor Perkhidmatan
38.
Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan
ekonomi dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini
telah meningkat kepada 55 peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus
tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini, Kerajaan
akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014,
yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenalpasti
subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Meningkat Potensi Sektor Logistik
39.
Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke-29 Indeks Prestasi Logistik
Laporan Bank Dunia 2012. Indeks ini mengukur penanda aras prestasi
aktiviti logistik yang merangkumi penghantaran, infrastruktur, ketepatan
masa, kelulusan kastam dan kompetensi. Walau masih ketinggalan
berbanding negara maju, senario ini mampu diperbaiki.
40.
Jadinya, supaya sektor logistik lebih efisien, Kerajaan akan merangka
Pelan Induk Sektor Logistik. Pelan ini akan menyediakan halatuju
pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan
semula peraturan dan undang-undang. Di samping itu, Kerajaan melalui
Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan memperuntukkan 3 bilion ringgit
bagi Dana Pembangunan Maritim secara pinjaman mudah. Dana ini
menyediakan akses pembiayaan untuk menggalakkan perkembangan industri
perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan
berkaitan maritim.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Menggalak Industri Penerbangan
41.
Malaysia berpotensi menjadi hub penerbangan di rantau ini. Industri ini
dapat memberi kesan pengganda kepada ekonomi memandangkan permintaan
terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat. Bagi tempoh
Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh
negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi
tempoh yang sama pada 2012.
42. Jumlah kargo udara yang
dikendalikan, turut meningkat kepada 529 ribu tan bagi tempoh yang sama.
Dengan beroperasinya KLIA2 nanti, jumlah penumpang dijangka meningkat
kepada lebih 70 juta. Untuk memajukan lagi industri ini, Kerajaan akan
menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan
langkah-langkah bagi mengukuh eko-sistem dan rantaian perkhidmatan
industri penerbangan.
43. Bagi melicinkan pengurusan operasi dan
pengendalian trafik udara, sistem pengurusan trafik udara sedia ada di
Subang yang telah berusia hampir 20 tahun itu, akan digantikan. Oleh
itu, sebuah pusat pengurusan trafik udara baru dengan kos sebanyak 700
juta ringgit akan dibina di KLIA. Sistem baru ini, akan dapat
meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan
setiap jam melalui 3 landasan. Untuk makluman dewan yang mulia, kapasiti
pengendalian ini adalah antara yang tertinggi di dunia.
44. Demi
keselesaan para penumpang, Kerajaan juga akan menaiktaraf beberapa
lapangan terbang termasuk di Kota Kinabalu, di Sandakan Sabah serta
Miri, Sibu juga Mukah di Sarawak. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan
menyediakan peruntukan sebanyak 312 juta ringgit. Di samping itu,
terminal penumpang di lapangan terbang antarabangsa Langkawi dan
lapangan terbang Kuantan akan dinaik taraf.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Mempromosi Sektor Pelancongan
45.
Sektor ini telah menjana pendapatan sebanyak 65 bilion ringgit pada
tahun 2013 dan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2012,
kita berjaya menarik kemasukan seramai 25 juta pelancong dari seluruh
dunia. Bertitik tolak dari perkembangan yang memberansangkan ini, Tuan
Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan sasaran sebanyak 28
juta pelancong, tahun 2014 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat
Malaysia.
46. Dalam menjayakan ikhtiar ini, Kerajaan
memperuntukkan 1.2 bilion ringgit bagi tahun 2013 dan 2014, merangkumi
perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang meliputi program promosi dan
pengiklanan.
47. Sebagai usaha berterusan menggalakkan kemasukan
pelancong, sukacita saya mengumumkan pula, tahun 2015 sebagai Year of
Festival dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan
perayaan di negara ini.
48. Sebagaimana kita maklum, Malaysia
juga terkenal antara destinasi utama atau shopping paradise pilihan
pelancong. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang
Berhormat, menurut Laporan CNN Travel 2013 menunjukkan Kuala Lumpur
menduduki tempat ke-4 sebagai bandaraya paling popular untuk
membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London.
49. Bagi terus
menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan akan
meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf 4 dan
5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf
antarabangsa yang mencukupi sekaligus menarik kedatangan pelancong,
terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi. Menyokong usaha
ini, Kerajaan mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan
Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 31
Disember 2016.
50. Selain itu, di bawah Bank Pembangunan Malaysia
Berhad, Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan
sejumlah 2 bilion ringgit, akan disediakan. Tabung ini akan menyediakan
pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara 4 hingga 6 peratus, di
mana Kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus. Tabung ini dapat
membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan,
taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan
dengan sektor pelancongan.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Meluaskan Akses Internet
51.
Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, pelbagai
informasi kontemporari boleh diperolehi di hujung jari. Maknanya,
peningkatan akan dibuat bagi mencapai tahap prasarana yang sewajarnya
untuk menampung keperluan pengguna. Sebab itu, di bawah Inisiatif Jalur
Lebar Negara, Kerajaan telah melaksanakan projek High Speed Broad Band
atau HSBB.
52. Usahasama dengan pihak swasta ini melibatkan
pelaburan sebanyak 11.3 bilion ringgit, sejak Rancangan Malaysia
Kesembilan. Kini, projek HSBB telah dilaksanakan dengan capaian internet
berkelajuan 4 megabits sesaat. Ini memanfaatkan 2.3 juta premis
terutama di kawasan bandar.
53. Untuk meningkatkan lagi liputan
internet di bandar-bandar utama, Kerajaan akan melaksanakan Fasa Kedua
Projek HSBB dengan kerjasama pihak swasta. Ini melibatkan kos pelaburan
sebanyak 1.8 bilion ringgit. Inisiatif ini dijangka memberi tambahan
liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan bandar
merangkumi 2.8 juta isirumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini
dijangka mampu mencapai 10 megabits sesaat.
54. Kepada rakyat
yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas
dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10
megabits sesaat. Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna
dengan kos pelaburan sebanyak 1.6 bilion ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
55.
Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam
tempoh 3 tahun dengan pelaburan sebanyak 1.5 bilion ringgit untuk
meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan
capaian internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baru akan
dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos 850 juta ringgit. Semua
pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di
bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Mengukuh Pasaran Kewangan
56.
Pada masa ini, pasaran bon negara merupakan yang terbesar di Asia
Tenggara dengan nilai melebihi satu trilion ringgit, manakala pasaran
pertukaran asing dan pasaran wang mencatat jumlah dagangan melebihi 30
bilion ringgit sehari. Bagi mempastikan operasi pasaran kewangan yang
cekap, rangka kerja perundangan yang jelas diperlukan.
57. Untuk
ini, pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada akan dilaksanakan dan
seterusnya Bank Negara akan menerajui dalam penyediaan Akta
Penyelesaian atau Netting Act bagi memelihara hak penguatkuasaan
“close-out netting” di bawah kontrak kewangan. Ini bertujuan bagi
mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivative, dan
seterusnya dapat membantu mengurangkan risiko sistemik pasaran kewangan
negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.
58.
Kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam memberi
kelebihan dalam menarik dana dan menerbit sekuriti. Untuk terus
meningkatkan daya saing di peringkat global, usaha akan ditingkatkan
bagi mempromosi negara sebagai pasaran Pelaburan Tanggungjawab Sosial
atau Social Responsible Investment (SRI).
59. Antara langkah yang
akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial
dan Tadbir Urus atau dikenali sebagai Indeks Environmental, Social and
Governance (ESG), untuk meningkatkan profail syarikat tersenarai yang
mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.
60. Ke arah
ini, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Sukuk
Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai
inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab. Di samping itu,
Kerajaan akan menubuhkan dana SRI bagi dilaburkan dalam
syarikat-syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti,
ketelusan dan kemampanan yang tinggi termasuk ciri-ciri keterangkuman
seperti diversiti dari segi gender, umur dan etnik.
61. Sebagai
permulaan, Valuecap akan memperuntukan satu billion ringgit untuk
melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi yang tinggi dalam
Indeks ESG. Saya percaya, langkah ini, akan menjadi satu galakan kepada
syarikat-syarikat untuk menunjukkan komitmen tanggungjawab sosial yang
tinggi.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Menggalak Skim Persaraan
62.
Pada tahun 2010, Kerajaan telah menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia
atau SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap
untuk mencarum secara sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau
KWSP. Sehingga kini, hampir 66,000 pencarum telah menyertai skim ini
dengan jumlah simpanan melebihi 240 juta ringgit.
63. Bagi terus
menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai skim ini, saya mencadangkan
sumbangan Kerajaan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus,
yakni daripada jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit
setahun. Peningkatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 sehingga
akhir tahun 2017 dan dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum
baru.
64. Kerajaan sedar akan pentingnya budaya menabung semasa
usia muda bagi mempastikan simpanan yang mencukupi selepas persaraan.
Untuk meningkatkan simpanan tambahan, Kerajaan menggalakkan golongan
muda untuk membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan
Swasta atau PRS.
65. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan insentif 500
ringgit secara one-off kepada pencarum yang menyertai skim PRS dengan
pelaburan minimum terkumpul seribu ringgit dalam tempoh setahun.
Insentif ini terbuka kepada individu yang berumur antara 20 hingga 30
tahun dan dianggarkan dapat menarik seramai 420 ribu pencarum muda di
seluruh negara. Insentif ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2014
bagi tempoh lima tahun dan akan melibatkan peruntukan sebanyak 210 juta
ringgit.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Meningkatkan Rantaian Sektor Pertanian
66.
Hakikatnya sejak dahulu kala, bidalan lama menyatakan, berbudi pada
tanah, berbakti kepada bumi, nescaya kita dapat menuai hasilnya. Lalu,
seperti tiap tahun, bidang pertanian tersusun dalam agenda Bajet negara.
67.
Peruntukan sebanyak 6 bilion ringgit akan disediakan untuk pelaksanaan
program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya
komersil. Antara inisiatif utama adalah seperti berikut:
Pertama:
Menubuhkan Food and Agro Council for Export atau FACE yang akan
dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia
bertindak sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk
pertanian tempatan;
Kedua: Memperkukuhkan FAMA untuk memainkan
peranan yang lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran
eksport. Sebagai contoh, FAMA akan menganjurkan Agro bazaar di
Singapura.
Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita
juga akan berusaha untuk meningkatkan eksport durian ke pasaran China.
Untuk mempastikan kesegaran produk pertanian, Kerajaan akan turut
menyediakan kemudahan cold room di KLIA. Tujuannya, selain daripada
meningkatkan eksport negara, ia dapat memberi pulangan yang lebih tinggi
kepada para petani; dan
Ketiga: Mempastikan harga berpatutan
bagi produk makanan dengan membuka tambahan 60 pasar tani, 50 pasar
ikan, 50 karavan tani, serta memperluas 100 gerai buah-buahan segar di
seluruh negara. Langkah ini akan dikendalikan oleh FAMA dan LKIM yang
dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara langsung produk
makanan kepada pengguna.
68. Selanjutnya, Kerajaan akan
memperuntukkan sejumlah 2.4 bilion ringgit bagi meneruskan bantuan
subsidi dan insentif. Ini merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi,
insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga beras
serta insentif hasil tangkapan nelayan. Di samping itu, Kerajaan juga
memperuntukkan sebanyak 243 juta ringgit bagi tujuan pelaksanaan program
tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan.
69.
Selain itu, bagi meningkat produktiviti serta menghasilkan produk
pertanian yang mempunyai permintaan tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan
sejumlah 634 juta ringgit di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara. Antara
projek yang terlibat adalah tanaman padi, projek ikan dalam sangkar,
projek rumpai laut dan burung walit, projek herba bernilai tinggi,
tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi pasaran eksport.
70.
Kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan lobster atau udang kara
di Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat Multinasional untuk
menghasilkan sebanyak 18 ribu tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan
20 ribu peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan
pada jangka panjang serta meningkatkan pendapatan sehingga empat ribu
ringgit sebulan.
71. Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu
sumbangan Bioekonomi kepada pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan
melaksanakan program Bioeconomy Community Development untuk membangun
tanah-tanah terbiar melalui aplikasi bioteknologi dan penanaman kontrak
untuk menambah nilai industri pertanian dan pendapatan petani.
72.
Selain itu, Kerajaan juga menyedari peranan aktiviti penyelidikan dan
pembangunan atau R&D sebagai pemangkin kepada pembangunan
Bioekonomi. Oleh itu, insentif R&D berikut akan diberi kepada projek
yang berkelayakan yang akan dinilai oleh BiotechCorp:
Pertama: Potongan cukai kepada syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio;
Kedua:
Pengecualian duti import ke atas peralatan R&D bagi syarikat yang
melabur dalam pilot plant untuk tujuan pra-pengkomersilan di Malaysia;
dan
Ketiga: Insentif khas kepada syarikat untuk menampung
sebahagian kos operasi pembangunan modal insan bagi Centre of Excellence
for R&D.
Insentif ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh BiotechCorp mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2018.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Pembangunan Usahawan
73.
Mengikut hadis, sembilan per sepuluh rezeki itu adanya dalam
perniagaan. Oleh hal yang demikian, kita ingin melatih dan melahirkan
para usahawan di kalangan golongan muda agar suatu masa nanti mereka
dapat menjadi ahli-ahli perniagaan dan saudagar yang berjaya. Lantas,
Kerajaan terus komited dalam mempastikan pembangunan usahawan atau
entreprenur sebagai sumber utama menjana pertumbuhan ekonomi negara.
74.
Justeru, satu pelan pembangunan entreprenur akan digubal untuk
menyediakan ekosistem kondusif yang memberi penekanan aspek penjanaan
idea yang boleh dikomersilkan, prasarana latihan dan inkubator, modul
entrepreneurship, kemudahan pembiayaan serta pemasaran. Bagi
melaksanakan pelan pembangunan usahawan ini, satu entiti National
Entrepreneur Development Office akan diwujudkan di bawah Unit Strategi
Nasional, Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras semua
aktiviti berkaitan keusahawanan.
75. Sehubungan itu, semasa 4th
Global Entrepreneurship Summit baru-baru ini, saya telah mengumumkan
penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia atau Malaysian
Global Innovation and Creativity Centre, ringkasnya MaGIC, sebagai pusat
sehenti bagi mendayakan para usahawan. MaGIC akan memantau prestasi
entreprenur, mempunyai pengkalan data bersepadu, menyediakan pusat
inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan,
padanan perniagaan, bimbingan dan kaunseling serta latihan. Kerajaan
akan memberi peruntukan awal sebanyak 50 juta ringgit bagi tujuan ini.
76.
Bagi menjadikan Malaysia sebuah Entrepreneurial Nation, program
1Malaysia Entrepreneurs atau 1MeT telah dilaksanakan untuk memberi
pendedahan aspek keusahawanan kepada golongan muda yang berminat
menceburi bidang perniagaan. Melalui program 1MeT juga, satu pangkalan
data peserta telah dibangunkan.
77. Kerajaan mensasarkan seramai
5,000 entreprenur muda dilatih setiap tahun. Seterusnya, entreprenur
1MeT yang komited akan diberi bimbingan lanjutan di MaGIC Centre. Selain
itu, negara juga akan menjadi tuan rumah kepada 5th Global Social
Business Summit pada 7 hingga 9 November 2013 yang akan menjadi platform
kepada pembangunan entreprenur sosial terutama di kalangan golongan
muda di negara ini.
78. Bagi mengurangkan kadar pengangguran di
kalangan siswazah, Kerajaan menggalakkan golongan siswazah menceburi
bidang keusahawanan sejurus selepas menamatkan pengajian. Bagi inisiatif
ini, sukacita saya umumkan dana pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit
di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang dikendalikan oleh SME Bank. Dana
ini akan menyediakan pinjaman mudah sehingga 500 ribu ringgit dengan
kadar faedah empat peratus.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Memantap Perusahaan Kecil dan Sederhana
79.
Pada masa ini, 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar adalah
PKS yang menyumbang sebanyak 32.4 peratus kepada KDNK. Dengan definisi
baru PKS yang telah diumumkan baru-baru ini, jumlah perniagaan PKS
berdaftar dijangka meningkat kepada 98.5 peratus. Seterusnya, Kerajaan
komited untuk mempastikan sumbangan sektor PKS ini mencapai 40 peratus
kepada KDNK menjelang 2020.
80. Bagi meningkatkan inovasi dan
produktiviti PKS, Kerajaan mencadangkan peruntukan pakej bersepadu
sebanyak 120 juta ringgit yang merangkumi dana pinjaman untuk membiayai
program mekanisasi dan automasi serta program peningkatan kapasiti PKS.
Selain itu, Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif di
bawah program Green Lane Policy melalui pembiayaan, insentif cukai dan
perolehan termasuk:
Pertama: Insentif pinjaman mudah dengan subsidi kadar faedah dua peratus atau jumlah maksimum 200 ribu ringgit setahun;
Kedua: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah insentif pinjaman mudah;
Ketiga: Potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan pensijilan 1-InnoCERT;
Keempat:
Insentif perolehan Kerajaan merangkumi pendaftaran syarikat bertaraf
pembuat, diluluskan tanpa lawatan dan pemberian markah bonus dalam
penilaian teknikal; dan
Kelima: Insentif keutamaan dalam perolehan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.
Kerajaan bercadang untuk melanjutkan kesemua insentif ini sehingga 31 Disember 2017.
81.
Kerajaan telah menguatkuasakan Dasar Gaji Minimum pada 1 Januari 2013.
Kadar gaji minimum adalah 900 ringgit sebulan bagi Semenanjung Malaysia.
Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadarnya adalah 800 ringgit
sebulan. Bagi menggalakkan pematuhan kepada dasar ini, di samping
mengurangkan kesan kewangan kepada majikan PKS, koperasi, pertubuhan dan
persatuan, Kerajaan mencadangkan supaya bayaran perbezaan gaji yang
ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember
2014 diberi potongan cukai tambahan.
82. Bagi membantu peniaga
pasar malam, Kerajaan akan mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan
dana sebanyak 100 juta ringgit di bawah kendalian Bank Simpanan
Nasional. Skim pinjaman mudah ini akan mengenakan kadar faedah empat
peratus dengan pinjaman maksimum sehingga 30 ribu ringgit. Kemudahan ini
bertujuan menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan
tapak, bahan mentah dan kelengkapan perniagaan.
TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Transformasi Perkhidmatan Awam
83.
Pertama sekali, kita memerlukan kepada Transformasi Perkhidmatan Awam.
Untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan akan
melaksanakan pelan transformasi di setiap kementerian. Langkah ini amat
penting bagi mengukuh dan menyusun semula organisasi supaya relevan
dengan perkembangan semasa.
84. Bercakap tentang perkara ini,
Kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit
Negara 2012. Demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan
kredibiliti sektor awam, Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa
khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat
serta mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.
85.
Penyiasatan dan tindakan tatatertib sedang dijalankan oleh pihak
Jabatan Perkhidmatan Awam ke atas lebih daripada 100 kes ketidakpatuhan
kepada prosedur-prosedur kewangan termasuk prosedur perolehan manakala
sebanyak 15 kes sedang disiasat untuk tindakan pendakwaan di mahkamah
oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
86. Sebagai langkah
penambahbaikan, Kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti yang
dianggotai oleh SPRM di setiap kementerian bagi meningkatkan pematuhan
dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Menambahbaik Pengurusan Belanjawan
87.
Untuk menambahbaik pengurusan belanjawan secara berhemah, Sistem
Outcome Based Budgeting atau OBB diperkenalkan bagi memastikan
penyediaan peruntukan adalah berasaskan outcome, meningkat kecekapan
pelaksanaan, mengurang pertindihan serta penilaian prestasi
bersistematik ke atas semua program dan projek Kerajaan. Bagi tahun
2014, buat permulaan, tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan,
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian
Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan OBB.
88.
Pada bulan Jun lepas, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Dasar
Fiskal Negara. Ianya berperanan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan
Kerajaan dan mempastikan kemampanan fiskal serta kestabilan makroekonomi
bagi jangka panjang. Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit
fiskal secara berperingkat dengan sasaran mencapai bajet berimbang pada
tahun 2020. Kerajaan juga akan mempastikan paras hutang kekal di tahap
yang rendah, tidak melebihi 55 peratus kepada KDNK.
89. Di
samping itu, Kerajaan akan terus mempastikan lebihan semasa yang kukuh
di mana kutipan hasil sentiasa melebihi perbelanjaan mengurus. Kerajaan
turut memberi penekanan bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan
perbelanjaan, mengutamakan pelaksanaan projek yang berimpak tinggi serta
menambahbaik kaedah pengauditan.
90. Pada masa ini, kaedah
pengauditan hanya dibuat selepas sesuatu projek atau program selesai
dilaksanakan. Maka, sebagai langkah proaktif, Kerajaan akan membuat
pengauditan ke atas projek yang melebihi 100 juta ringgit semasa
pelaksanaan projek tersebut.
TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Potongan Cukai Bulanan Sebagai Cukai Muktamad
91.
Pada masa ini, pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian dan
membuat potongan cukai bulanan atau PCB perlu mengemukakan borang cukai
sebelum atau pada 30 April setiap tahun. Kita mendapat rungutan, bahawa
pengemukaan borang cukai setiap tahun oleh pembayar cukai yang mempunyai
PCB telah menimbulkan kekeliruan. Ini kerana, walaupun PCB telah
dipotong, borang cukai masih perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil
Dalam Negeri.
92. Jadinya, untuk memudahkan pembayar cukai yang
berpendapatan penggajian di mana PCB dipotong, adalah dicadangkan supaya
pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan
sekiranya berpuas hati bahawa PCB adalah dianggap cukai muktamad.
Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.
TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Rasionalisasi Subsidi
93.
Subsidi secara pukal, amnya boleh menjadi pembantut kepada pertumbuhan
negara sekiranya tidak sampai kepada kumpulan sasar secara tepat.
Kerajaan menyediakan hampir 47 bilion ringgit pada tahun 2013 untuk
pelbagai jenis subsidi, insentif dan bantuan antaranya subsidi produk
petroleum, barangan makanan, kesihatan, pertanian dan perikanan,
utiliti, tol serta kebajikan dan pendidikan.
94. Daripada jumlah
ini, bahagian terbesar iaitu sebanyak 24.8 bilion ringgit atau 53
peratus adalah untuk subsidi produk petroleum yang dinikmati oleh semua
golongan, termasuk yang berpendapatan tinggi, peniaga dan warga asing.
Di samping itu, berlaku penyeludupan produk bersubsidi oleh golongan
yang tidak bertanggungjawab. Subsidi adalah penggunaan wang rakyat bagi
menambah baik kehidupan rakyat. Tetapi jika subsidi itu adalah pembantut
dan merugikan rakyat, Kerajaan yang bertanggungjawab dengan kepercayaan
yang telah diberikan akan mengambil keputusan yang terbaik bagi rakyat.
95.
Untuk mempastikan sistem subsidi yang bersasar, Kerajaan akan secara
berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi. Ini adalah
untuk mempastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja patut
menikmatinya. Sebahagian daripada penjimatan penstrukturan semula sistem
subsidi akan di beri secara terus dalam bentuk bantuan tunai, dan
sebahagian lagi akan digunakan untuk menampung pembiayaan projek
pembangunan Kerajaan. Sebagai langkah permulaan, Kerajaan telah
mengurangkan subsidi produk petroleum sebanyak 20 sen pada 3 September
2013.
96. Di samping itu, bagi mempastikan tiada pertindihan dan
keciciran pemberian bantuan kepada golongan sasar, Kerajaan akan
mewujudkan satu sistem pangkalan data yang komprehensif termasuk
mengintegrasi data e-Kasih, data penerima bantuan kebajikan dan penerima
BR1M. Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri akan
menerajui inisiatif ini.
TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST dan Bantuan Sokongan)
97.
Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa,
mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke
atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport
dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya
akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak Kerajaan.
98.
Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha besar
pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang
Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telahpun dibacakan di dewan
yang mulia ini. Sejak itu, pelbagai reaksi positif mahupun negatif dan
pandangan telah kita terima.
99. Hakikatnya, Kerajaan telahpun
mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa yang mencukupi untuk
menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta mengambil kira
semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan
perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna
dan NGO.
100. Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan
rakyat, Kerajaan dengan ini memutuskan supaya satu sistem percukaian
menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan bagi memanfaatkan
seluruh rakyat Malaysia.
101. Sehubungan itu, Kerajaan
mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and
Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan
digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai
Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST.
Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan
baru.
102. Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang
rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang
terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan
terkawal.
103. Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani
banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada
waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran,
tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai
jualan dan cukai perkhidmatan.
104. Dalam bahasa mudahnya, untuk
difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar
satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barang atau
perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum. Malahan, ada
harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung samada ianya
adalah barangan asas atau tidak.
105. Kerana itu, kita berasa
amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba
mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman
GST. Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya, semua harga
barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan
berpendapatan rendah akan menanggung beban.
106. Untuk makluman
Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun
melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem
percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan. Sekiranya GST
ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia
telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Hampir kesemua negara maju
telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai nilai ditambah ini,
malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Laos dan Cambodia
telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara seperti Burkina Faso,
Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.
107.
Di pihak Kerajaan pula, perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan
pegawai, kemudahan infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang
menyeluruh telahpun disediakan.
108. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, cadangan model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:
Pertama:
GST akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17 bulan dari
sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus
berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai
perkhidmatan pada kadar enam peratus.
Kadar GST ini merupakan
yang terendah dikalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam,
Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan
Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus;
Kedua: Tuan
Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, usahlah bimbang,
janganlah risau, GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas
antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah
ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan;
Ketiga: Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST;
Keempat:
Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran pasport,
lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak dikenakan
GST;
Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas,
keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan
pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST; dan
Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih juga dikecualikan dari GST.
109.
Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai bantuan
sokongan semasa peringkat peralihannya seperti berikut:
Pertama: Bantuan tunai secara one-off sebanyak 300 ringgit kepada penerima isi rumah BR1M;
Kedua:
Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata
peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan boleh
guna. Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini
membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai. Umumnya,
golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak
lagi mempunyai tanggungan cukai. Pembayar cukai sedia ada yang lain
juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai; dan
Ketiga:
Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan
negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta
tenaga mahir dalam negara. Bagi mempastikan struktur cukai lebih
progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada
melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar cukai
maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25
peratus.
Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.
110.
Dalam aspek ini, supaya syarikat perniagaan melaksanakan GST dengan
lancar, Kerajaan mencadangkan pakej tambahan seperti berikut:
Pertama:
Kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan
daripada 25 peratus kepada 24 peratus. Manakala kadar cukai pendapatan
syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20
peratus kepada 19 peratus. Langkah ini berkuatkuasa mulai tahun
taksiran 2016;
Kedua: Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua mata peratusan mulai tahun taksiran 2015;
Ketiga: Yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai dibenarkan potongan cukai mulai tahun taksiran 2015;
Keempat: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016;
Kelima:
Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST bagi tahun
taksiran 2014 dan 2015 diberi potongan cukai tambahan; dan
Keenam:
Geran latihan sejumlah 100 juta ringgit kepada peniaga yang menghantar
kakitangan, untuk menjalani latihan GST bagi tahun 2013 dan 2014. Di
samping itu, bantuan kewangan sejumlah 150 juta ringgit disediakan
kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan bagi tahun 2014 dan 2015.
111.
Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan ini, Kerajaan yakin,
tiada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang
dan perkhidmatan sewenang-wenangnya. Harga barang akan sentiasa
dipantau. Sebagai panduan kepada pengguna, Kerajaan akan menerbitkan
risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat
perbandingan harga.
112. Kepada pengguna pula, gunakanlah hak
anda dalam membuat pilihan, berbelanja secara berhemah. Dalam hal ini,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan
meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti
Pencatutan 2011.
113. Selain itu, bagi memastikan kelancaran
pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang
dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan dianggotai oleh agensi
Kerajaan, wakil industri dan NGO.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
114. Cabaran terbesar bagi
Malaysia sebenarnya adalah, sejauhmana kita dapat membangun dan
mempersiapkan human capital. Modal insaniah yang holistik mencakupi
antaranya modal intelek, pelbagai kemahiran seni dan pertukangan,
kemahiran berkomunikasi, kemahiran inter-personal, berfikir, kreativiti
serta inovasi. Pokoknya, pembangunan fizikal dan teknologi perlu
diseimbangkan dengan keunggulan manusiawi. Jika tidak, akan wujud
kelompangan dan ketempangan pabila pencapaian materi tidak dipaksi
dengan nilai sejagat insani.
115. Oleh itu, Kerajaan akan terus
menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan berkemahiran tinggi untuk
memenuhi permintaan pasaran kerja. Di samping itu, aspek jasmani,
spiritual dan intelektual akan digilap dari peringkat pendidikan awal
hingga ke peringkat tertiari. Tenaga kerja juga akan diterap dengan
nilai murni dan adab susila ketimuran supaya masyarakat hidup harmoni
dan sejahtera.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Meningkat Kecemerlangan Pendidikan
116.
Sesungguhnya, tiap kali bajet dibentangkan, peruntukan terbesar
diberikan kepada sektor pendidikan. Pendidikan adalah segalanya. Sejak
zaman bahari, sesebuah ketamadunan bangsa tidak akan kekal lama jika
seandainya tidak diakari dan dibajai dengan ilmu dan pengetahuan.
117.
Menyisir tuntutan ini, Kerajaan komited untuk melonjakkan pencapaian
tahap akademik dan kemahiran yang tinggi. Untuk itu, sejumlah 54.6
bilion ringgit atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun
2014 akan disediakan. Kerajaan juga akan mempastikan pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM mencapai objektif bagi membawa
Malaysia ke tahap kategori ‘sepertiga teratas’ dalam kedudukan
pendidikan terbaik dunia, Insya Allah, dalam tempoh 15 tahun lagi.
118.
Untuk terus memartabatkan kecemerlangan pendidikan bermula di peringkat
prasekolah hinggalah ke sekolah menengah, antara program yang akan
dilaksanakan adalah seperti berikut:
Pertama: Kerajaan amat
perihatin tentang pendidikan awal anak-anak kerana tempoh ini amat
kritikal dalam menentukan proses tumbesaran fizikal dan minda yang
terbaik. Maka, kita memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit bagi
program prasekolah dan menambah 93 lagi bilangan prasekolah di Sekolah
Rendah Kebangsaan;
Kedua: Melaksanakan program pemantapan
profesion guru dengan memberi tumpuan kepada tugas mengajar,
meningkatkan kaedah pengajaran serta kemahiran Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris. Untuk itu, sebanyak 209 juta ringgit disediakan;
Ketiga:
Memperluaskan akses internet di sekolah terutama di kawasan luar bandar
seluruh negara dengan peruntukan 168 juta ringgit; dan
Keempat:
Membina 33 sekolah baru dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk
sekolah-sekolah usang dengan peruntukan sebanyak 831 juta ringgit.
119.
Pada pembentangan Bajet 2012 dan 2013, Kerajaan telah menyediakan
masing-masing sebanyak satu bilion ringgit di bawah Tabung Khas
Pembinaan Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, khusus bagi
keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah,
penyelenggaraaan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
120.
Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan
450 juta ringgit lagi kepada tabung ini. Daripada jumlah tersebut, 100
juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 50 juta ringgit kepada Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina, 50 juta ringgit bagi Sekolah Jenis Kebangsaan
Tamil, 50 juta ringgit untuk Sekolah Mubaligh, 50 juta ringgit
disalurkan untuk Sekolah Berasrama Penuh, 50 juta ringgit kepada Maktab
Rendah Sains MARA, 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan
manakala 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama Rakyat.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Memperkasa Pendidikan Tertiari
121.
Di sudut ini, Kerajaan akan memberi fokus memperkasakan institut
pengajian tinggi awam dan swasta ke arah melahirkan graduan yang
berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran kerja.
Antara program yang akan dilaksanakan termasuk:
Pertama:
Meningkatkan status universiti bertaraf penyelidikan dengan
memperbanyakkan kajian dan penulisan untuk penerbitan di peringkat
antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan akan menyediakan 600 juta ringgit
sebagai geran penyelidikan di institut pengajian tinggi awam; dan
Kedua:
Kerajaan meneruskan program MyBrain15 iaitu pembiayaan yuran pengajian
di peringkat pasca ijazah, khususnya kepada golongan eksekutif di sektor
swasta. Untuk ini, sejumlah 110 juta ringgit disediakan bagi tujuan
tersebut.
122. Penerbitan jurnal ilmiah ke peringkat antarabangsa
merupakan aspek terpenting dalam memartabatkan hasil karya para
akademik tempatan. Menyedari akan kepentingan mewujudkan satu pusat
ilmiah bertaraf dunia, Kerajaan akan menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia
bagi meningkatkan hasil penerbitan ilmiah tempatan dan membantu
penyelidik menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang terkemuka.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Memperkukuh Latihan Kemahiran
123.
Usaha berterusan akan diambil untuk meningkatkan kualiti latihan bagi
menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Oleh itu, Kerajaan
akan melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama: Melaksanakan
single tier bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3,
selama setahun 6 bulan di semua Institut Latihan Perindustrian di bawah
Jabatan Tenaga Manusia (JTM);
Kedua: Menaiktaraf dan
menyelenggara bangunan serta peralatan di institut latihan JTM seiring
dengan teknologi terkini dengan peruntukan 178 juta ringgit; dan
Ketiga:
Menyediakan dana pinjaman latihan kemahiran berjumlah 330 juta ringgit
di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber
Manusia. Tabung ini bertujuan menyediakan pinjaman kepada belia lepasan
SPM untuk mengikuti kursus latihan kemahiran.
Tuan Yang di-Pertua,
124.
Belia adalah harapan bangsa. Belia juga aset serta pewaris negara pada
hari muka. Kata Ulama, jika baik perilaku dan tingkah belia masa kini,
itulah bayangan negara masa hadapan.
125. Dalam hal belia ini,
sejumlah 200 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf dan
melaksanakan pendekatan dua syif di Institut Kemahiran Belia Negara atau
IKBN. Antara bidang latihan yang telah dikenalpasti merangkumi
automotif, penyelenggaraan marin, kimpalan dan pendawaian elektrik yang
akan memanfaatkan lebih 15,000 pelatih IKBN di seluruh negara.
126.
Di samping itu, terdapat 13 ribu majikan yang berdaftar dan membuat
bayaran levi pada kadar satu peratus daripada upah gaji pekerja ke dalam
tabung Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia atau HRDF. Levi ini
adalah bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.
127.
HRDF akan menyediakan 400 juta ringgit bagi syarikat yang berdaftar
untuk memberikan peluang kepada pekerja mengikuti program upskilling dan
reskilling. Peruntukan ini boleh juga dimanfaat oleh syarikat tersebut
untuk melatih para apprentice dan bakal pekerja.
128. Bagi
mempastikan pekerja dapat mengimbangi kerjaya dan komitmen keluarga,
terutamanya pada kaum wanita, satu persekitaran kerja yang fleksibel
perlu diwujudkan. Oleh itu, dicadangkan majikan melaksanakan Flexible
Work Arrangements yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu
berada di tempat kerja.
129. Skim ini boleh dilaksanakan dalam
bentuk seperti compressed work week, flexi hours dan weekend work. Bagi
menarik lebih banyak syarikat Malaysia menjadikan Flexible Work
Arrangements atau bekerja sebagai amalan hidup, Kerajaan mencadangkan
perbelanjaan latihan dan fi konsultansi yang ditanggung oleh majikan
dalam melaksanakan skim ini diberi potongan cukai tambahan.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Bantuan Persekolahan
130.
Sukacita saya mengumumkan bantuan persekolahan kepada pelajar sekolah
rendah dan menengah sebanyak 100 ringgit, akan diteruskan. Sebanyak 540
juta ringgit disediakan yang dapat memanfaatkan kira-kira 5.4 juta
pelajar. Saya dimaklumkan, terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah
menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibubapa dan Guru
atau PIBG. Kerajaan amat menghargai dan menyanjung tinggi nilai murni
tersebut.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Baucar Buku 1Malaysia
131.
Budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya perlu
ditingkatkan. Jadikanlah buku teman setia, penyuluh di kala gelap,
penyegar minda sepanjang hayat.
132. Sukacita saya umumkan
Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia dengan nilai
sebanyak 250 ringgit kepada setiap pelajar pra-universiti dan IPT untuk
mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian. Langkah ini
dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan
sebanyak 325 juta ringgit.
TERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS)
133.
Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS merupakan langkah bersepadu
Kerajaan merangka dasar dan inisiatif melalui perkongsian pintar antara
Kementerian dan agensi.
134. Strategi ini adalah pelengkap kepada
Dasar Transformasi Nasional. Sehingga kini, 56 iniasitif NBOS telah
dilaksanakan dengan pendekatan penjimatan kos, pelaksanaan yang pantas
serta program berimpak tinggi. Pada tahun 2014, peruntukan 278 juta
ringgit disediakan bagi melaksanakan program meliputi:
Pertama:
Membuka Pusat Transformasi Bandar atau UTC Sabah pada akhir tahun ini
dan menambah empat lagi UTC di Sarawak, Johor, Terengganu dan Perlis
sebagai tambahan kepada lima UTC sedia ada;
Kedua: Menambah tiga
Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Sabah, Sarawak dan Negeri
Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan RTC sebanyak lapan buah; dan
Ketiga:
Melaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau Mobile CTC
dengan menambah bilangan bas serta van yang diubahsuai. Perkhidmatan
utama yang disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen
memandu, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.
ERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS)
133.
Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS merupakan langkah bersepadu
Kerajaan merangka dasar dan inisiatif melalui perkongsian pintar antara
Kementerian dan agensi.
134. Strategi ini adalah pelengkap kepada
Dasar Transformasi Nasional. Sehingga kini, 56 iniasitif NBOS telah
dilaksanakan dengan pendekatan penjimatan kos, pelaksanaan yang pantas
serta program berimpak tinggi. Pada tahun 2014, peruntukan 278 juta
ringgit disediakan bagi melaksanakan program meliputi:
Pertama:
Membuka Pusat Transformasi Bandar atau UTC Sabah pada akhir tahun ini
dan menambah empat lagi UTC di Sarawak, Johor, Terengganu dan Perlis
sebagai tambahan kepada lima UTC sedia ada;
Kedua: Menambah tiga
Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Sabah, Sarawak dan Negeri
Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan RTC sebanyak lapan buah; dan
Ketiga:
Melaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau Mobile CTC
dengan menambah bilangan bas serta van yang diubahsuai. Perkhidmatan
utama yang disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen
memandu, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Membantu golongan Orang Kelainan Upaya
182.
Kita sedar bahawa setiap insan itu istimewa. Setiap seorang daripada
kita adalah sempurna di sisi Tuhan. Dalam perkara ini, sumbangan mereka
amat dihargai dan banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Banyak
kemudahan diperuntukkan bagi kesejahteraan mereka dan seterusnya
memaksimumkan potensi yang ada. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan
sejumlah 441 juta ringgit bagi pembangunan dan kebajikan golongan ini.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Menghargai Golongan Karyawan
183.
Golongan karyawan, seniman dan budayawan merupakan komponen sesebuah
peradaban itu dibina. Peranan mereka amatlah penting dalam perkembangan
seni dan budaya dalam masyarakat. Sebagai menghargai sumbangan golongan
ini, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan bantuan kewangan sebanyak enam
juta ringgit bagi pengurusan pentadbiran dan pengendalian
persatuan-persatuan yang berdaftar.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Pembangunan Masyarakat India
184.
Bijak bestari berkata, orang berbudi kita berbahasa. Kepada kaum India
yang telah bersama menzahirkan ikatan sokongan kepada Kerajaan Barisan
Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini. Terima kasih, Rumba
Nandri.
185. Kerajaan juga akan terus menumpukan kepada
pembangunan masyarakat India agar dapat bersama dalam arus kemajuan
negara. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan
sebanyak 100 juta ringgit untuk meningkatkan pencapaian pelajaran dan
latihan kemahiran, ini termasuk 28 juta ringgit bagi program pendidikan
awal melibatkan 176 pra-sekolah Tamil dan program i-Sinar.
186.
Program ini akan meningkatkan prestasi pelajar melalui kaunseling,
motivasi dan tuisyen kepada 45 sekolah ladang Tamil. Di samping itu,
dana sebanyak 50 juta ringgit disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan
Muda India atau SPUMI di bawah TEKUN, manakala usahawan India juga boleh
memohon pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Program Penyeragaman Harga
199.
Kerajaan juga sedar akan harga barangan keperluan yang lebih mahal di
Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos
penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Untuk mempastikan harga
barangan dan kos dapat dikurangkan, Kerajaan akan memperuntukkan
sejumlah 331 juta ringgit bagi meneruskan program penyeragaman harga dan
pemberian subsidi termasuk kos pengangkutan.
200. Di samping
itu, sebanyak 60 buah Kedai Rakyat 1Malaysia turut akan dibuka dengan
peruntukan 30 juta ringgit bagi membantu mengurangkan kos harga barangan
keperluan harian.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Meningkatkan Pemilikan Rumah
187.
Saya mendengar, keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah yang selesa
terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelbagai
rungutan sering diperkatakan seperti harga rumah melambung tinggi,
bekalan rumah tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan pembiayaan.
188.
Akhir-akhir ini, didapati kenaikan harga rumah amat ketara yang telah
menjejaskan kemampuan rakyat untuk membeli rumah. Di samping itu,
aktiviti spekulasi turut memberi kesan ke atas kenaikan harga rumah.
Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pasaran hartanah
dalam jangka masa panjang.
189. Bagi meningkatkan kemampuan
rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil serta mengekang
aktiviti spekulasi yang keterlaluan, Kerajaan akan melaksanakan langkah
berikut:
Pertama: Mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah
atau RPGT. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga
tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan
dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus
dan 15 peratus.
Bagi warganegara, pelupusan yang dibuat dalam
tahun keenam dan berikutnya, tidak dikenakan RPGT manakala bagi
syarikat, RPGT dikenakan lima peratus. Bagi bukan warga negara pula,
RPGT dikenakan pada kadar 30 peratus bagi tempoh pegangan sehingga lima
tahun dan pelupusan dalam tahun keenam dan berikutnya, RPGT dikenakan
lima peratus;
Kedua: Meningkatkan harga minimum hartanah yang
boleh dibeli oleh warga asing daripada 500 ribu ringgit kepada satu juta
ringgit;
Ketiga: Meningkatkan ketelusan harga jualan hartanah,
di mana pemaju hartanah perlu mempamerkan secara terperinci harga jualan
termasuk semua manfaat dan insentif yang ditawarkan kepada pembeli
seperti pengecualian yuran guaman, duti setem perjanjian jual beli,
rebat tunai dan hadiah percuma; dan
Keempat: Melarang pemaju
perumahan melaksanakan projek yang berciri Developer Interest Bearing
Scheme atau DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar
faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah.
Oleh itu, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi
projek yang terlibat dengan skim DIBS ini.
190. Seterusnya, bagi
meningkatkan akses pemilikan rumah pada harga yang berpatutan,
dianggarkan sebanyak 223 ribu unit rumah baharu akan dibina oleh
Kerajaan dan sektor swasta pada tahun 2014. Kerajaan akan memperuntukkan
sebanyak 578 juta ringgit kepada Jabatan Perumahan Negara atau JPN bagi
melaksanakan Program Perumahan Rakyat yang melibatkan pembinaan 16,473
unit rumah. Di samping itu, JPN juga akan membina 600 unit Program
Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan
146 juta ringgit.
191. PR1MA pula akan menyediakan 80 ribu unit
rumah dengan peruntukan satu bilion ringgit di mana harga jualannya
adalah 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Manakala SPNB akan
membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit rumah mampu milik,
tiga ribu unit Rumah Idaman Rakyat dan lapan ribu Rumah Mesra Rakyat.
Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu Rumah Mesra Rakyat dengan
harga jualan antara 45 ribu ringgit hingga 65 ribu ringgit, di mana
Kerajaan akan memberi subsidi di antara 15 ribu ringgit hingga 20 ribu
ringgit seunit.
192. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim
Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome sebagai satu langkah untuk
menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan
sederhana. Skim ini menawarkan subsidi 30 ribu ringgit seunit kepada
pemaju swasta. Antara kriteria utama skim ini adalah:
Pertama: Membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan;
Kedua: Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah 45 ribu ringgit dan kos sederhana ialah 170 ribu ringgit;
Ketiga:
Keluasan minimum rumah kos rendah adalah 800 kaki persegi dan kos
sederhana 1,000 kaki persegi dengan kemudahan minimum tiga bilik tidur
dan dua bilik air;
Keempat: Menyediakan kemudahan ruang letak kereta, surau, dewan dan taman permainan; dan
Kelima:
Terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isirumah
maksimum tiga ribu ringgit bagi kos rendah dan maksimum enam ribu
ringgit bagi kos sederhana.
193. Keutamaan akan diberikan kepada
pemaju perumahan yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan
yang mempunyai permintaan tinggi. Skim ini terhad kepada 10 ribu unit
rumah pada tahun 2014. Ianya adalah untuk projek perumahan baharu yang
diluluskan mulai 1 Januari tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak 300
juta ringgit di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
194. Pada masa ini,
pemaju-pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat
Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon
geran daripada Dana Mudahcara sebanyak 10 peratus daripada kos projek.
Bagi tahun 2014, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah empat bilion
ringgit untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan
projek swasta berimpak tinggi dan strategik.
195. Daripada jumlah
tersebut, saya mencadangkan satu bilion ringgit dikhususkan sebagai
Dana Mudahcara Perumahan dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS.
Pemaju yang menerima geran ini, mesti mematuhi terma dan syarat serta
harga jualan rumah yang ditetapkan oleh Kerajaan.
196. Kerajaan
juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan keselesaan
serta mengindahkan rumah kos rendah milik Kerajaan. Antara langkah yang
akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah,
pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang
permainan.
197. Untuk itu, sejumlah 100 juta ringgit akan
disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kerajaan juga akan memperuntukkan 82 juta ringgit bagi memulihkan lagi
sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan 8,197 buah rumah.
198.
Bagi terus mengukuhkan pasaran hartanah dan menambah peluang rakyat
memiliki rumah, Kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang lebih efektif
dan menyeluruh. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan
Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan
secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisma harga
hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat.
Keanggotaan Majlis ini terdiri daripada agensi Kerajaan Persekutuan,
Kerajaan Negeri, Jabatan Perumahan Negara, PR1MA, SPNB dan sektor
swasta.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Pelepasan Cukai Untuk Golongan Berpendapatan Sederhana
201.
Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan sederhana
yang merupakan bilangan pembayar cukai pendapatan terbesar. Mereka juga
turut terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Bagi terus
membantu golongan ini, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khas dua
ribu ringgit ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2013 bagi
yang berpendapatan sehingga lapan ribu ringgit sebulan.
202.
Langkah ini akan memberi penjimatan bayaran cukai sehingga 480 ringgit.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, kumpulan ini telah
menikmati penjimatan cukai sehingga 475 ringgit ke atas pendapatan tahun
2013 semasa Kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai dalam bajet
yang lalu.
PENUTUP
203. Kita amat bersyukur, setelah negara mencapai
kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos 1957, rakyat telah hidup dalam
kerukunan, harmoni dan sejahtera membangunkan negara.
204. Pada
16 haribulan September 1963 pula, termaktub peristiwa bersejarah
penggabungan Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia. Terbukti jelas,
kebersamaan dan kebersatuan ini telah membawa berjuta rahmat kepada
Malaysia.
205. Ternyata, selama lebih 5 dekad Kerajaan Barisan
Nasional telah menggalas amanah rakyat melalui kebitaraan perkongsian
kuasa dan amalan bersepakat antara parti komponen.
206.
Hakikatnya, sejak dulu lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak semberono
dan tidak pernah suka-suka dalam hal perencanaan negara. Bahkan kita
amat komited dan sememangnya kita serius.
207. Segalanya kita
rangka, semuanya kita susun, kita piagam dan kita laksanakan bukan
sekadar sonata, atau sebuah orkestra, namun ia menjadi puluhan simfoni
kemajuan yang terindah demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia
yang dikasihi.
208. Kepada para penjawat awam yang menjadi tulang
belakang pembangunan negara, Kerajaan amat menghargai sumbangan
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Maka yang demikian, pada Julai lalu,
Kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan atau KGT
melibatkan peruntukan sebanyak 1.6 bilion ringgit.
209. Di
samping itu, Kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji
maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434
penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum. Lantaran pada
petang ini, sukacita saya mengumumkan pula, bahawa Kerajaan juga
bersetuju menambahbaik sebanyak 81 skim perkhidmatan dari pelbagai
peringkat mulai bulan November ini.
PENUTUP
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
210. Selanjutnya,
dalam usaha untuk terus meringankan beban hidup rakyat, bersesuaian
dengan pelaksanaan subsidi bersasar, sukacita saya mengumumkan bahawa
program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M kepada isi rumah dan individu
bujang akan ditambah baik.
211. Pemberian BR1M kepada isi rumah
berpendapatan bulanan tiga ribu ringgit dan ke bawah, akan ditingkatkan
nilai bantuannya, daripada 500 ringgit kepada 650 ringgit.
212.
Seterusnya, bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang
berpendapatan tidak melebihi dua ribu ringgit sebulan, nilai BR1M akan
dinaikkan daripada 250 ringgit kepada 300 ringgit.
213. Sebagai
pelengkap, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
sukacita saya mencadangkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat
1Malaysia atau i-BR1M bernilai 50 ringgit diberi kepada semua penerima
isi rumah BR1M. Langkah ini diharapkan dapat memberi perlindungan
maksimum sehingga 30 ribu ringgit kepada penerima BR1M sekiranya berlaku
kematian atau hilang upaya kekal.
214. Pendek kata, secara
keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan
bulanan tidak melebihi tiga ribu ringgit, akan menikmati bantuan
sebanyak 700 ringgit.
215. Sebagai tambahan, buat pertama kalinya
juga, BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan
bulanan antara tiga ribu hingga empat ribu ringgit dengan nilai bantuan
sebanyak 450 ringgit. Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan
kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan
sederhana rendah.
216. Golongan ini juga akan menikmati caruman
i-BR1M bernilai 50 ringgit yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M
sebanyak 500 ringgit. Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 di atas,
Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 4.6 bilion ringgit yang dijangka
dapat memanfaatkan seramai 7.9 juta penerima.
PENUTUP
Menghargai Penjawat Awam
217. Pada bulan Ogos
lalu, sebelum menjelangnya hari Lebaran Aidil Fitri, bayaran bantuan
khas kewangan sebanyak 500 ringgit dan 250 ringgit, masing-masing telah
dibayar kepada penjawat awam dan pesara.
218. Hari ini pula,
sukacita saya mengumumkan, untuk meringankan lagi beban golongan pesara,
Kerajaan akan memberi bayaran khas kewangan sebanyak 250 ringgit.
219.
Kepada para penjawat awam janganlah bimbang, apa yang ditunggu sudah
pun tiba. Saya dengan ini mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji
bagi tahun 2013, dengan bayaran minimum 500 ringgit. Bayaran bonus dan
bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal bulan Januari 2014.
PENUTUP
220. Sesungguhnya, bajet ini merupakan dokumen pasca
pilihanraya sebagai antara prakarsa penting memenuhi akujanji yang kita
ikrarkan semasa pilihanraya baru-baru ini. Usaha kita tidak terhenti
setakat ini. Bahkan inilah kesinambungan kepada sebuah perjalanan
Barisan Nasional agar terus berkobar dan bersemangat dengan api
perjuangan yang marak lagi menyala, menerajui negara untuk tempoh 50
tahun akan datang.
221. Tapi biasalah, bak kata orang Pekan,
“maaf bercakap, nak buat macam mane, sabor jerlah”. Apa pun kebaikan
yang kita perbuat, apa pun amal kebaikan yang kita lakukan, ada saja
yang tidak kena, ada saja yang tidak betul di mata kawan-kawan di
seberang sana.
222. Namun biarlah, kata orang, kebenaran depan mata kadang-kadang kita tak nampak. Yang batil itu akhirnya akan terpasung jua.
223.
Sedangkan, orang jauh, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry
yang datang baru-baru ini pun telah mengiktiraf kita sebagai negara
model kepada dunia, dalam kepelbagaian kemajuan, ekonomi dan manusia.
Hatta Presiden China, Xi Jinping juga telah memuji Malaysia sebagai
rakan kongsi yang boleh dipercayai. Kita juga rasa tersentuh pabila
Presiden China turut mengungkapkan pengertian peribahasa Melayu, ‘air
dicincang takkan putus’, bahawa, Malaysialah sahabat negara China yang
sejati, ketika susah dan senang.
224. Satu demi satu tohmah
dilontar, beraneka domba dituduh kepada kita. Namun, kita bukanlah
barisan yang mudah mengaku kalah, apatah lagi tidak mungkin duduk
bersimpuh dan berdiam diri. Barisan Nasional mengambil resminya padi,
makin merunduk makin berisi. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, dari
masa hingga masa, kita terus bangun, bangkit dan berjuang demi rakyat,
demi negara.
225. Dalam pada itu, diakui adat dan resam
manusiawi, selama berpuluh tahun, Kerajaan Transformatif Barisan
Nasional mentadbir, tentulah ada salah dan khilaf di sana-sini. Namun,
mendahulukan kepentingan rakyat adalah segala-galanya buat kita. Dengan
adanya sokongan dan dokongan rakyat pabila dirundingi, ternyata
kelemahan-kelemahan terus kita perbaiki dan usaha dapat dimantapkan.
226.
Sekaligus, segala penat lelah, letih lesu yang digemblengkan terasa
hilang dan terasa lega, tatkala rakyat teramai dapat mengecapi nikmat
kejayaan negara. Bak kata orang Iban di Sarawak, “Utai Besai Gaga’miet”,
jika kita bersatu, berganding-ganding antara Kerajaan dan rakyat, tiada
masalah yang tidak dapat diselesaikan.
227. Apa yang pasti, kita
tidak sekali-kali akan membiar dan merelakan orang-orang yang tidak
bertanggungjawab untuk mengambil alih Kerajaan ini. Demi rakyat dan demi
tanahair tercinta, Putrajaya, tetap akan kita pertahankan sampai
bila-bila.
228. Jelasnya, bajet ini ialah dokumen berevolusi yang
dipersembahkan untuk tahun 2014, merupakan siri-siri bajet yang akan
membawa Malaysia bertatih, menapak dan akhirnya kini berlari-lari anak,
melayari bahtera ke mercu jaya dan kompetitif di persada antarabangsa.
Insya Allah, kita akan membentangkan enam lagi bajet, sebelum negara ini
dijulang menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, pabila
menyinsingnya fajar 2020, kira-kira tujuh tahun lagi.
229. Demi
kepentingan rakyat, moga-moga bajet kali ini juga, menjadi bajet yang
disirami dan dilimpahi barakah yang tidak terhitung-hitung jumlahnya.
230.
Akhir kalam, dalam segala kudrat manusia, kita telah berusaha sehabis
baik. Kepada Allah kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan
segala urusan.
Moga-moga Tuhan Yang Maha Berkuasa memberi selamat dan sejahtera kepada Malaysia, zahir dan batin.
Sumber asal dari UTUSAN MALAYSIA
Post a Comment