0


Pelakon Siti Saleha mengakui dia sudah pun memiliki seorang kekasih berbangsa Eropah dan hubungan itu sudah terjalin sejak empat bulan lalu.

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, bagaimanapun berkata, perhubungan itu tidak bermakna dia akan berkahwin dalam masa terdekat ini kerana masih lagi mengenali hati budi antara satu sama lain.

"Biasalah, kita perlukan warna dalam kehidupan ini dan benar, saya sudahpun mempunyai seorang kekasih. Dia merupakan lelaki berbangsa Eropah yang bekerja di negara ini.

"Tetapi ia masih pada fasa perkenalan dan tiada yang serius lagi dalam perhubungan ini. Saya baru berumur 23 tahun, banyak perkara yang ingin saya lakukan dahulu sebelum berkahwin," katanya.

Saleha ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Simplysiti yang terbaharu iaitu Simplysiti White & Detox di restoran The Apartment pusat beli belah KLCC di sini pada Sabtu.
Saleha dan Siti Nurhaliza pada majlis pelancaran produk baharu 'Simplysiti White & Detox'.

Tambah pelakon filem Balada Pencinta itu, bagaimanapun dia tidak mahu menceritakan lebih lanjut mengenai identiti kekasihnya itu.

Sementara itu, pada pelancaran produk Simplysiti, Datuk Siti Nurhaliza yang turut menghadiri majlis tersebut mengumumkan Saleha sebagai duta bagi set produk Simplysiti White & Detox.

Beritahu Saleha, dia menyifatkan pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Simplysiti menyuntik semangatnya dalam berkongsi informasi kepada para remaja mengenai penjagaan wajah.

Katanya, dia merupakan seorang yang sangat peka terhadap hal-hal kecantikan wajah dan apabila ditawarkan sebagai duta produk itu, dia terus menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya ditawarkan sebagai duta pada Ogos lalu dan sebelum itu mereka memberikan saya sampel produk tersebut untuk mencubanya.

"Selepas melihat kelebihan produk ini yang memberikan kesegaran pada wajah, saya terus memutuskan untuk menerima tawaran tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia yakin, pemilihan Saleha sebagai duta produknya dapat menarik lagi perhatian pembeli daripada kalangan remaja yang menginginkan produk pencerahan wajah.

"Saleha seorang yang sentiasa ceria dan aktif dalam setiap kerja yang dilakukan dan lihatlah, dia memiliki peminat yang ramai.

"Kerana itu saya percaya pemilihan Saleha sangat bertepatan dengan keinginan pihak Simplysiti yang ingin menarik perhatian golongan remaja," tuturnya.-mstar-

Post a Comment

 
Top