0
http://www.badmintonlink.com/Images/Member/0/Album/110/580x580/MSF_Lee_Chong_Wei_1.jpg

JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei berharap dua lagi pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren menimba pengalaman berharga pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang berakhir Ahad lalu.

Kedua-dua pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi yang masih boleh dibanggakan apabila mara hingga ke pusingan ketiga.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila masing-masing terpaksa berdepan dengan dua bintang handalan China, Lin Dan dan Chen Long dalam misi memburu tiket ke suku akhir.

Tatkala Wei Feng terpaksa akur kepada Lin Dan dengan kekalahan 20-22, 10-22, langkah Daren pula disekat Cheng Long yang menang 21-18, 21-15 dalam satu lagi aksi pusingan ketiga.

Bagaimanapun, Chong Wei berkata, pengalaman mereka beraksi kali pertama pada Kejohanan Dunia amat berguna kerana ia akan menjadi pengajaran yang mampu menjadikan Wei Feng dan Daren menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang.

“Ini pertama kali mereka berdua beraksi pada Kejohanan Dunia. Jadi, mereka boleh menggunakan pengalaman ini untuk menjadikan permainan mereka lebih baik lagi.

“Mungkin pada suatu hari nanti, mereka pula berpeluang meraih gelaran juara dunia,” kata Chong Wei baru-baru ini.

Chong Wei sekali lagi kempunan meraih gelaran juara dunia apabila tumbang di tangan Lin Dan pada aksi final di Gimnasium Tertutup Tianhe, Guangzhou Ahad lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus gagal meraih gelaran dunia biarpun kejohanan berprestij itu sudah memasuki edisi ke-20 sejak mula diperkenalkan pada 1977 di Malmo, Sweden.

Berbeza pula dengan Indonesia dengan Thailand yang menunjukkan kebangkitan apabila berjaya menyekat dominasi China selepas merampas tiga daripada lima kejuaraan yang dipertandingkan pada edisi tahun ini.

Indonesia mengungguli acara beregu lelaki dan beregu campuran menerusi gandingan Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan serta Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

Thailand pula membuat kejutan menerusi acara perseorangan wanita apabila Ratchanok Intanon menumbangkan pemain No. 1 dunia dari China, Li Xuerui.

Selain Lin Dan yang mengungguli acara perseorangan lelaki, China bernasib baik apabila meraih satu lagi kejuaraan menerusi beregu wanita, Yu Yang-Wang Xiaoli.

Post a Comment

 
Top