0
STADIUM Shah Alam bakal menjadi venue aksi final Piala Malaysia pada 3 November depan.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk mengubah venue asal final Piala Malaysia dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah semalam.

Afandi memberitahu, keputusan itu dibuat selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mendapat arahan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk menutup stadium tersebut.

Ia bagi menukar rumput padang selain kerja-kerja pembaikan di stadium itu yang dijangka bermula pada penghujung Oktober ini

“Selepas perbincangan dengan wakil PSM, FAM mengambil keputusan untuk mengubah venue asal perlawanan akhir Piala Malaysia dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam.

“PSM telah memaklumkan bahawa mereka telah mendapat arahan daripada KBS supaya Stadium Nasional ditutup serta-merta bagi kerja-kerja baik pulih padang.

“PSM juga dalam proses melantik kontraktor dan kerja-kerja pembaikan dijangka bermula pada hujung Oktober atau awal September depan.

“Berdasarkan tempoh tersebut, Stadium Nasional hanya akan kembali dibuka pada Jun tahun depan,” kata Afandi pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, imej Malaysia tercalar selepas kelab gergasi Sepanyol, Barcelona memohon untuk menukar venue dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam dalam aksi persahabatan menentang Harimau Malaya pada 10 Ogos lalu.

Barcelona membuat tindakan itu kerana tidak berpuas hati dengan kualiti padang di stadium yang bernilai RM800 juta itu.

Selain final Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 3 November depan, penutup Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan dua lagi aksi kelayakan Piala Asia 2015 turut akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Bahrain dan Qatar, masing-masing pada 15 Oktober dan 19 November depan dalam kempen tersebut.

Dalam perkembangan lain, Afandi mengumumkan peraturan baharu pada saingan Piala Malaysia kali ini berhubung penangguhan atau pembatalan sesuatu perlawanan.

“Perlawanan yang ditangguh atau dibatalkan ekoran masalah cuaca atau bencana alam, ia akan diadakan semula pada keesokan harinya mengikut baki tempoh perlawanan yang ditangguhkan itu.

“Jumlah jaringan (jika ada) serta barisan pemain yang sama juga akan dikekalkan. Jika ada pemain yang menerima kad, ia akan dibawa pada perlawanan yang disambung semula itu.

“Berdasarkan peraturan sebelum ini, mana-mana perlawanan tertangguh akan dimainkan semula dalam tempoh sepenuh masa iaitu 90 minit.

“Jika perlawanan itu tidak dapat diteruskan, ia akan diadakan semula pada keesokan hari atau tarikh lain,” jelas Afandi lagi.

Post a Comment

 
Top