0

GORDON meraikan kejayaannya muncul juara acara 400m lari berpagar lelaki pada 
Kejohanan Olahraga Dunia 2013 di Stadium Luzhniki semalam.


MOSCOW - Atlet Trinidad & Tobago, Jehue Gordon melakar kejutan apabila meraih pingat emas acara 400 meter (m) lari berpagar lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia 2013 semalam.

Lebih manis, kejayaan Gordon itu telah memusnahkan impian juara dua kali Sukan Olimpik, Felix Sanchez yang turut memburu kilauan emas dalam acara tersebut.

Pada temasya Olimpik 2012 di London, Gordon sekadar menamatkan saingan di tempat keenam manakala pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin, Jerman, dia menduduki tempat keempat.

Pada saingan akhir di Stadium Luzhniki awal pagi semalam, Gordon merekodkan 47.69 saat (s), meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Michael Tinsley (47.70s) dari Amerika Syarikat dan atlet Serbia, Emir Bekric (48.05s).

Gordon, 21, mengakui kejayaan tersebut hampir merealisasikan sasarannya untuk menjadi juara Olimpik suatu hari nanti.

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Saya akan terus bekerja keras bagi menghadapi kejohanan utama pada masa akan datang.

"Ketika melepasi garisan penamat, degupan jantung saya seolah-olah terhenti seketika. Saya melihat papan markah dan nama saya tertera di situ," kata Gordon.

Sanzhez pula terpaksa menelan hakikat apabila mengakhiri saingan di tempat kelima dengan catatan 48.22s

"Saya bermula dengan baik. Bagaimanapun, saya membuat kesilapan pada pagar ketiga dan daripada situ, saya kehilangan banyak masa.

"Saya cuba bangkit tetapi ia sudah terlambat untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan, seterusnya membuatkan saya terlepas pingat," ujar Sanchez.

Sanchez juga menjelaskan, dia belum pasti ama ada akan menyertai Kejohanan Dunia 2015 di Beijing, China.

"Saya tidak tahu. Saya perlu berfikir mengenainya kerana dua tahu merupakan tempoh yang panjang," katanya. - AFP

Post a Comment

 
Top