Kapal kargo karam dibadai Utor
HONG KONG - Sebuah kapal kargo sepanjang 190 meter karam semasa taufan Utor membadai pulau ini dan perairan sekitarnya semalam.
Taufan dahsyat itu mencetuskan ombak besar dan memaksa bandar raya ini ditutup selepas meragut enam nyawa di Filipina.
Sebanyak 21 anak kapal kargo Trans Summer meninggalkan kapal mereka yang terbalik dan tenggelam pada kedudukan 80 kilometer ke barat daya Hong Kong.
Dua buah helikopter dan sebuah kapal yang melalui kawasan kejadian telah menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan mereka yang terkapai-kapai di laut bergelora.
"Ombak setinggi 10 hingga 15 meter. Tiupan angin pula melebihi 90 kilometer sejam.
"Kru udara melihat kapal itu senget ke kiri dan mula karam," menurut seorang juruterbang perkhidmatan penerbangan bandar, Samuel Yip.
Pengarah Urusan Konsultan Branscombe Marine, Alan Loynd berkata, kapal itu direka untuk bertahan dengan cuaca ekstrem dan tidak menolak kemungkinan kerosakan enjin berlaku.
Seorang jurucakap kerajaan berkata, Jabatan Marin dan Jabatan Pengurusan Keselamatan Maritim di Guangdong, China akan bekerjasama menyiasat kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Taufan Utor yang melanda pulau ini pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan hampir separuh penerbangan pada hari tersebut terjejas dengan 118 penerba- ngan dibatalkan manakala 320 lagi tertangguh.
Turut tergendala perkhidmatan feri ke tanah besar China.
Seorang jurucakap kerajaan memberitahu, enam orang dirawat di hospital awam kerana kecederaan akibat ribut tersebut.
Taufan Utor kini melanda selatan China. - AFP
Post a Comment