Jehan bersyukur memiliki seorang isteri yang penyabar dan memahami kerjayanya.
KUALA LUMPUR: Isteri Jehan Miskin iaitu Julie Camelia Rhee, menyangka bahawa aktor itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika di awal perkenalan mereka lima tahun lalu.
Julie, 29, yang mengenali Jehan, 34, di sebuah gimnasium di ibu kota berkata, rasa segan untuk bertanya mengenai karier Jehan membuatkan wanita berasal Korea itu mengandaikan sendiri pekerjaan aktor itu, sehinggalah pada temu janji kedua, dia baru tahu status suaminya sebagai selebriti.
"Pada awal perkenalan kami, Jehan yang menegur saya dahulu dan apabila saya tanya tentang pekerjaannya, dia senyap dan tidak memberikan apa-apa jawapan.
Jehan dan Julie pada acara akad nikah di Carcosa
Seri Negara.
"Jadi saya anggap dirinya sedang menganggur, manalah tahu dia sensitif tentang perkara itu.
"Bagaimanapun, pada temujanji kedua kami, saya berasa pelik apabila dia sering didatangi orang yang mahu bergambar dengannya dan masa itu barulah dia cakap yang dirinya seorang pelakon," katanya.
Julie dan Jehan ditemui selepas majlis minum petang pada hari pernikahan mereka di Carcosa Seri Negara, di sini, Sabtu.
Julie yang bekerja sebagai pengurus majlis itu sudah menetap di sini sejak enam tahun lalu dan katanya, dia serasi dengan suasana budaya masyarakat di sini selain selesa menetap di negara ini.
Jehan bersama keluarga Julie yang datang dari Korea bagi menyambut
majlis perkahwinan pasangan itu.
Pasangan itu telah diijabkabul oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Sahirman Ahmad dengan mas kahwin sebanyak RM12,000 tunai pada pukul 2.40 petang.
Selepas acara akad nikah, majlis minum petang diadakan dengan kehadiran tetamu seramai 100 orang.
Antara selebriti yang hadir ialah Azura Zainal, Cheryl Samad, Tony Eusoff, Nurul Wahab dan suaminya Eric Depp.
Jehan pula berkata, selepas tiga tahun mengenali Julie, dia sudah mula merasakan wanita itu adalah calon isteri yang diinginkannya dan telah melamar Julie pada tahun lalu di Menara Seoul, Korea.
Jehan telah melamar Julie di Menara Seoul, Korea pada tahun lalu.
"Julie seorang yang sangat sederhana dan penyabar, malah saya dapat menjadi diri saya apabila bersamanya dan kami saling memahami antara satu sama lain.
"Sebelum ini saya pernah berkata pada ibu yang saya tidak akan berkahwin selagi tidak jumpa wanita yang sesuai. Alhamdulillah akhirnya saya berkahwin juga dengan wanita pilihan sendiri, seorang gadis Korea pula," selorohnya.
Sementara itu, pasangan itu tidak merancang untuk mendapatkan zuriat dengan segera dan menyerahkan perkara itu kepada takdir.
"Kami tidak merancang untuk mendapatkan anak dalam masa terdekat ini, tetapi kalau ada rezeki, adalah," ujar Jehan. -mstar-
Post a Comment