0

SATU rakaman video menunjukkan Witherspoon (dua dari kanan) menyelar seorang anggota polis selepas suaminya, Toth (kiri) ditangkap di Atlanta pada 19 April lalu.


ATLANTA - Aktres terkenal, Reese Witherspoon tidak membuat sebarang pengakuan di sebuah mahkamah di sini kelmarin berhubung dakwaan melakukan perbuatan tidak senonoh.

Ekoran itu, Witherspoon diarah membayar denda sebanyak AS$100 (RM303) selepas dia ditangkap dengan suaminya berhubung satu kejadian yang berlaku di sini pada 19 April lalu.

Suami aktres itu, Jim Toth, 42, pula mengaku bersalah kerana memandu dalam keadaan mabuk dan dikenakan denda sebanyak AS$600 (RM1,819).

Toth juga perlu menyelesaikan kerja-kerja kemasyarakatan selama 40 jam.

Dalam satu rakaman video yang disiarkan di portal hiburan TMZ, aktres tersebut membidas seorang anggota polis yang menangkapnya kerana membuat gangguan selepas suaminya ditahan.

"Adakah anda mengetahui nama saya?" soal Witherspoon kepada anggota polis tersebut.



Rakaman video itu ditonton lebih 120,000 kali di YouTube pada tengah hari kelmarin.

Aktres itu didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh selepas dia enggan menurut arahan beberapa pegawai polis supaya berada di dalam kereta.

Witherspoon, 37, semasa diwawancara dalam program Good Morning America kelmarin meminta maaf ekoran perbuatannya itu.

Menurutnya, dia panik selepas Toth ditangkap.

"Saya tidak mengetahui apa yang saya perkatakan. Saya meminta maaf. Saya tidak mempunyai perasaan hormat terhadapnya (anggota polis)," kata Witherspoon yang mempunyai tiga orang anak itu.

Kereta yang dinaiki Witherspoon itu ditahan polis selepas ia memotong garisan berkembar di sebatang jalan raya.

Suami aktres itu juga gagal dalam ujian alkohol selepas dia ditahan. - Agensi

Post a Comment

 
Top