0
BEBERAPA penumpang beratur di luar kapal itu semalam.


SYDNEY - Pihak berkuasa semalam melancarkan gerakan mencari dua orang penumpang yang terjatuh ke dalam laut dari sebuah kapal persiaran, Carvival Spirit.

Menurut seorang pegawai polis New South Wales, Mark Hutchings, gerakan mencari itu dilakukan di pantai timur Australia selepas dua penumpang tersebut didapati hilang oleh kru-kru kapal pada pagi semalam selepas Carnival Spirit berlabuh di Circulay Quay di sini.

Beliau berkata, rakaman kamera pengawasan menunjukkan dua penumpang tersebut yang terdiri daripada seorang lelaki berusia 30 tahun dan pasangannya berumur 27 tahun terjatuh dari dek kapal pada malam Rabu lalu.

Hutchings memberitahu, ketika kejadian, kapal tersebut berada kira-kira 120 kilometer di luar bandar Forster.

"Kami berharap dapat menemui mereka hidup-hidup," katanya kepada pemberita.

Jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia, Jo Meehan berkata, sebuah pesawat, helikopter dan beberapa buah bot polis digunakan dalam misi mencari mangsa-mangsa tersebut.

Pasangan itu merupakan antara 2,680 orang penumpang yang menaiki kapal tersebut dalam pelayaran selama 10 hari. - Agensi

Post a Comment

 
Top