|
BERBEKALKAN wajah cantik dengan darah kacukan yang dimilikinya, sekali pandang pelakon Cristina Suzanne Stockstill memang mampu mencairkan hati lelaki yang melihatnya.
Bagaimanapun, di sebalik kecantikan yang dimilikinya itu pelakon berkenaan dilihat tampil cukup ringkas dengan berbaju kurung hitam sewaktu bertemu dengannya dalam majlis pelancaran filem Tujuh baru-baru ini.
"Saya memang selesa dengan penampilan yang ringkas kalau hendak pergi ke mana-mana acara. Nasib baik saya telah diberitahu supaya membawa baju lebih kerana ada sesi fotografi bersama Kosmo!," ujarnya memulakan bicara.
Berbicara lebih lanjut mengenai kerjaya lakonannya selepas popular menerusi drama bersiri Bicara Hati, pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Cris itu mengakui perjalanan karier seninya agak perlahan.
Jelas pelakon berusia 28 tahun itu, sudah banyak tawaran lakonan yang diterimanya, tetapi dia terpaksa menolaknya kerana seringkali diberi watak yang sama.
"Selepas drama bersiri Bicara Hati yang disiarkan pada tahun lalu mendapat sambutan penonton, banyak yang menawarkan saya watak yang hampir sama iaitu seorang gadis yang bertudung.
"Bukan mahu terlalu selektif untuk memilih sesuatu tawaran, kalau boleh biarlah saya diberi peluang membawa peranan yang lain supaya ia dapat memberi kepuasan kepada saya sebagai pelakon," ujarnya yang tidak menyasarkan sesuatu watak yang ingin dilakonkannya.
Apabila ditanya tentang pandangannya bahawa seseorang pelakon berwajah kacukan sepertinya tidak sukar meraih populariti dalam tempoh singkat, pelakon berkenaan menyatakan ia bukanlah menjadi ukuran utama.
Buktinya, dia sendiri menyatakan bahawa sehingga kini dirinya tidaklah popular dan dikenali ramai, meskipun sudah agak lama berkecimpung dalam dunia lakonan.
"Wajah itu sekadar pakej kerana penonton sekarang lebih bijak menilai mutu lakonan seseorang pelakon itu. Tentang populariti pula saya tidak kisah cepat atau lambat kerana lebih penting saya tidak mahu orang melihat saya sebagai pelakon kayu.
|
"Jadi, sebelum mengejar populariti lebih baik saya perbaiki terlebih dahulu mutu lakonan. Biarlah saya lambat popular dalam dunia hiburan ini, asalkan ia seiring dengan kehebatan saya sebagai pelakon," jelasnya.
Bagi mengasah lagi bakatnya sebagai pelakon memandangkan dia tiada asas dalam bidang lakonan, Cris memberitahu dia kini sudah mula berjinak-jinak dengan pentas teater.
Pernah berlakon dalam sebuah teater berjudul Ramlee Festasi sebanyak dua kali, Cris menyatakan pelbagai ilmu dan pengalaman yang diperoleh serta berlakon teater mampu memberi lebih banyak keyakinan kepada dirinya.
"Semasa berlakon teater saya banyak bergaul dengan para pelakon yang memang menuntut dalam jurusan lakonan, jadi banyak perkara yang saya pelajari daripada mereka.
"Lagipun mereka jenis yang tidak kedekut ilmu dan sebab itu saya suka bergaul dengan mereka, malah cara kerja dan penghayatan mereka dalam membawakan sesuatu watak sangat mengagumkan saya," ujarnya.
Sambung belajar
Biarpun kerjaya lakonannya sekarang ini dilihat semakin berkembang, Cris memberitahu dia telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan grafik pada hujung tahun ini.
Ujarnya, keputusan tersebut dibuat sebagai persediaan untuk jangka panjang buat dirinya sekiranya tiada lagi tawaran berlakon yang diterima pada masa akan datang.
"Sebagai seorang individu yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah tentu memiliki kelulusan yang lebih tinggi itu sangat penting.
"Memandangkan semakin ramai pelakon baharu yang muncul sekarang ini, dengan kelulusan yang ada pastinya ia lebih menjamin masa depan buat diri saya menceburi bidang yang lain pula," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia akan berhenti berlakon sekiranya menyambung pelajaran, pelakon itu menyatakan dia sama sekali tidak akan meninggalkannya.
|
"Saya terjun ke dalam bidang lakonan kerana minat yang cukup mendalam dan sudah tentu saya akan meneruskannya. Cuma, saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan berlakon," jelasnya yang beranggapan belum terlambat buat dirinya ke menara gading.
Berkenaan dengan aktiviti lakonannya pula, Cris memberitahu pada 20 Mei ini dia bakal menjalani penggambaran filem bergenre seram berjudul Tujuh terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd.
Masih berkawan
Selain dilihat sebagai seorang pelakon yang kurang menjadi sebutan ramai, Cris turut tidak terlepas daripada dikaitkan dengan beberapa cerita sensasi.
Sebelum ini, dia pernah digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan pelakon Bront Palarae apabila kedua-duanya berlakon bersama dalam filem berjudul Jwanita arahan Osman Ali.
Apabila diminta penjelasan tentang gosip percintaan tersebut, pelakon itu masih tetap memberikan jawapan yang sama bahawa tiada hubungan cinta yang terjalin antara mereka berdua.
"Saya ingin nyatakan sekali lagi hubungan saya dan Bront sekadar rakan sesama artis. Sehingga kini kami masih lagi tetap berkawan seperti biasa.
"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi perkara ini diperkatakan lagi kerana berasa kurang selesa apabila kisah peribadi lebih banyak menjadi tumpuan," ujarnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Cris berharap supaya kisah tentang kerjayanya lebih diberi perhatian berbanding dikenali ramai kerana dikaitkan cerita sensasi atau gosip supaya ia tidak memberi impak negatif terhadap perjalanan karier seninya.
Post a Comment