KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk Aznil Nawawi menjelaskan hubungannya dengan pelakon Zain Saidin tidak sebarang masalah walaupun mereka dikaitkan dalam perbalahan menerusi program Masterchef Selebriti 2 yang disiarkan di Astro Ria pada malam Ahad lalu.
Aznil berkata, dia masih tidak mengetahui punca sebenar perbalahan itu sehinggalah Zain menjadi peserta kedua meninggalkan program tersebut.
"Ketika perbalahan itu berlaku saya sendiri tidak mendengar butirannya dan tidak berkesempatan untuk menonton episod berkenaan kerana berada di Johor.
"Saya ada diberitahu oleh Lydiawati dan Rozita Che Wan yang Zain di antara lain berbalah tentang keputusan juri yang memilih saya sebagai pemenang cabaran pada episod sebelumnya.
"Bagaimanapun saya dan Zain tidak pernah bercakap mengenainya dan saya tidak boleh terus membuat apa-apa kesimpulan. Jadi saya anggap tiada sebarang masalah di antara kami," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ceria Popstar di Restoran Full House di sini, Isnin.
Zain Saidin
Dalam pada itu, Aznil berkata, beliau percaya Zain mempunyai alasannya tersendiri apabila meluahkan pendapatnya sehingga menimbulkan kekecohan itu namun cara yang digunakan mungkin salah.
"Dia masih muda dan mempunyai pelbagai pandangan cuma barangkali caranya itu tidak betul," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aznil memberitahu beliau bakal bertindak sebagai penaung program Ceria Popstar yang bertanggungjawab untuk memimpin para peserta berumur 10 hingga 15 tahun membina keyakinan mereka ketika berada di pentas.
"Saya lebih berperanan sebagai ayah kepada peserta dan akan memastikan segala aspek dan persediaan mereka berada dalam keadaan baik," ujarnya. -mstar-
Post a Comment