0
 
Saleha bakal muncul dengan enam buah filem pada tahun 2013.

PETALING JAYA: Pelakon Siti Saleha akan terus berlakon dalam telefilem dan drama rantaian walaupun namanya kini semakin menjadi perhatian penerbit filem tempatan.

Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, berkata, perkara itu tidak pernah menjadi masalah kepadanya kerana ia telah menjadi tugasnya sebagai seorang pelakon.

"Ada sesetengah berpendapat lebih baik tumpukan lakonan dalam filem bagi menjaga eksklusif diri tetapi saya rasa itu tidak perlu kerana peminat mula mengenali saya menerusi drama dan akan cuba mengimbangi kedua-duanya.

"Tambahan pula lakonan memang minat saya jadi tidak kira drama atau filem kerana itu memang tugas dan cara saya mencari rezeki jika diberi peluang," jelasnya kepada mStar Online.

Selain filem Kerat 14 yang bakal ditayangkan pada 14 Februari ini, Saleha bakal muncul dalam lima lagi filem pada tahun ini iaitu Mamak Cupcakes, KL Zombie, Pencinta, Bravo 5 dan Pak Pong.

Dalam pada itu, Saleha berkata, tahun ini dia ingin memastikan bakat lakonannya semakin bersinar berbanding tahun sebelumnya selain ingin mencuba watak-watak baru yang belum pernah dipegangnya.

Jelasnya sebagai pelakon yang masih baru dia perlu berdaya saing dan bekerja kuat demi memastikan bakatnya terserlah.

"Bukan ingin saingi sesiapa tetapi sebagai pelakon baru saya perlu menonjolkan diri dari segi lakonan mantap dan mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

"Perjalanan saya juga masih panjang dan jika tidak berusaha mungkin ia akan membawa kerugian kepada diri sendiri," jelasnya.

Sementara itu, Saleha memberitahu selain menunggu reaksi penonton terhadap filem pertamanya, Kerat 14, dia juga kini sedang terlibat dalam drama bersiri Asmara Lana terbitan JS Production di samping pelakon Sheila Rusly.

Saleha memberitahu, selain jalan ceritanya yang menarik dia juga teruja dapat berlakon bersama Sheila yang juga antara aktres kegemarannya. "Kak Sheila seorang pelakon yang sangat berkaliber dan impian untuk berlakon bersamanya tercapai dan tidak sabar untuk drama itu ditayangkan," katanya -mstar-

Post a Comment

 
Top