MOMEN indah pasangan yang sedang dilamun cinta dikongsi bersama peminat apabila gambar mereka memakai cincin yang serupa dimuat naik ke dalam laman Instagram.
BERTEMU dengan penyanyi muda Aliff Aziz dalam satu sesi fotografi baru-baru ini terlihat riak gembira pada wajahnya meskipun tahun lalu namanya terpalit dengan kontroversi hangat bersama bekas kekasihnya aktres, Anne Ngasri.
Tutup buku kisahnya bersama Anne, Aliff enggan lagi menoleh ke belakang. Terbaharu, jiwa laranya kembali terisi dengan bunga cinta wanita bernama Adira.
Sebelum ini jejaka berusia 22 tahun itu memberitahu, pengalaman yang lalu banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati untuk berkongsi kisah cinta dengan khalayak.
Namun baru-baru ini. Aliff sendiri yang memecahkan tembok rahsia hatinya pada khalayak dengan memuat naik gambar-gambar dirinya bersama Adira dengan jari manis masing-masing menyarung sepasang cincin menerusi Instagram.
Secara tidak langsung, ia telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
"Sebenarnya gambar-gambar saya dan Adira yang dimuat naik ke dalam Instagram itu bukanlah gambar yang tertulis I Love You, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk.
"Itu sekadar gambar bersama orang yang paling rapat dengan saya. Saya sedar tindakan saya itu telah menimbulkan banyak spekulasi dan saya tidak salahkan sesiapa.
"Saya tidak mahu berbohong atau menipu. Terpulang kepada mereka di luar sana untuk membuat sebarang andaian. Apa yang saya harapkan, doakan yang terbaik untuk saya," tuturnya.
Akui Aliff tanpa berselindung, penyanyi genit yang bergandingan dengan dirinya dalam drama Tiara itu menjadi temannya yang paling rapat saat dirinya dilanda duka.
"Memang Adira merupakan rakan dan teman yang paling rapat dengan saya. Kami mula rapat selepas saya pulih daripada kekecewaan dan membuat kemunculan semula.
"Waktu keluarga saya berada jauh di Singapura, dia merupakan teman yang paling banyak membantu menguatkan semangat saya dari segi mental," kata Aliff.
Disoal adakah pengalaman lepas membuatkan dirinya serik untuk bercinta sesama artis, dia tertawa seketika sebelum menegaskan bahawa dia juga manusia biasa yang mempunyai perasaan seperti orang lain.
"Saya pun manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Jika kita sudah suka seseorang, sukar untuk saya melawan perasaan itu. Kami selesa bersama dan mempunyai keserasian.
"Jika sudah tertulis jodoh saya dengan artis saya mahu buat macam mana? Saya harus reda. Kalau boleh, saya mahu berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun.
"Sebelum itu, saya harus memantapkan diri dari segi ekonomi sebelum meminang anak dara orang. Jadi, sekarang fokus saya hanya pada kerjaya," balasnya.
Misi Aliff
Sudah cukup dengan kontroversi, 2013, ujar Aliff, merupakan tahun kelahiran semulanya dalam industri seni tempatan.
Selepas jatuh dan kecundang tahun lalu, Aliff menyatakan dia kini harus merangkak semula untuk kembali mengukuhkan namanya.
"Saya belajar daripada kesilapan lalu, walaupun saya bercinta, saya harus ingat tujuan asal saya datang ke Malaysia adalah untuk bergelar penyanyi.
"Cabaran untuk diri saya sendiri adalah menjadi orang yang berbeza dan lebih baik daripada sebelum ini. Apa yang kurang pada diri akan saya perbaiki.
"Kalau boleh, saya mahu tahun 2013 nama saya bersih daripada sebarang kontroversi dan ingin menjadi artis yang berada pada tahap lebih tinggi daripada apa yang saya ada hari ini," katanya yang akan pergi menunaikan umrah pada 15 Mac depan bersama keluarganya.
Bagi memantapkan kerjaya nyanyiannya, penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang dan Jangan Ganggu Pacarku itu ingin menyambung pelajaran dalam bidang muzik jika berpeluang.
"Saya bolehlah bermain gitar tetapi kena belajar lagi. Sekarang tengah belajar dengan penyanyi Awi Rafael sebab saya ada niat untuk mencipta lagu sendiri.
"Bukan mudah untuk mencipta sebuah lagu yang sedap dan dapat dihayati oleh pendengar. Jika saya cipta lagu selepas ini, saya akan lebih ke genre pop balada," ujarnya.
Aliff telah muncul dengan tiga buah album sebelum ini iaitu Aliff (2007), It's Aliff's Time (2010) dan Aliff Aziz 2012 sebelum ini dan tidak lama lagi bakal muncul dengan album keempatnya.
Kini, Aliff sedang mengumpul material untuk album keempat yang dijangka berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dilahirkan sebelum ini.
"Sekarang, saya tengah promosi lagu Keajaiban Cinta duet bersama Adira. Selepas itu baru akan keluarkan single demi single.
"Lagu-lagu saya sebelum ini semuanya lagu cinta yang 'comel-comel' sesuai untuk remaja tetapi selepas ini, hala tuju muzik saya akan sedikit berbeza.
"Saya mula jadi penyanyi pada usia 16 tahun, sekarang sudah mencecah 22 tahun, harus ada perbezaan kerana saya sudah dewasa dan lebih matang. Begitu juga dengan lagu yang akan dimuatkan dalam album keempat, berlaku transformasi," ulasnya.
Suka berlakon
Bukan sekadar nyanyian, Aliff juga ingin memantapkan kerjaya lakonannya yang baru sahaja bermula.
Selepas berlakon dalam drama Tiara, Antara Kita, Sepai dan Cinta Vlog, Aliff bakal berlakon dalam telefilem, Saya, Kamu dan Dia.
"Saya akan memulakan penggambaran telefilem Saya, Kamu dan Dia bersama pelakon Emma Maembong pada 16 Februari ini. Memang saya akui seronok berlakon kerana boleh menjiwai pelbagai watak yang berbeza dengan diri saya sendiri," katanya.
Meskipun semakin aktif berlakon, Aliff yang ingin berjaya seperti aktor Aaron Aziz suatu hari nanti, sebenarnya mahu dirinya lebih dikenali sebagai penyanyi berbanding pelakon.
"Saya seronok berlakon dan memang satu cabang seni yang bagus untuk kerjaya saya. Setiap kali berlakon saya akan beri fokus seratus peratus.
"Memang lakonan dan nyanyian berbeza. Lakonan lebih memenatkan daripada nyanyian kerana banyak menunggu. Bagaimanapun, saya dapat lebih kepuasan daripada lakonan terutama apabila melihat drama lakonan saya sendiri di kaca televisyen (ketawa).
"Sungguhpun begitu, saya bermula sebagai penyanyi, jadi lebih baik terus dikenali dengan status penyanyi kerana muzik masih nombor satu di hati saya," tuturnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Post a Comment