RAKYAT Malaysia perlu membetulkan persepsi negatif ke atas buah-buahan tempatan.
MALAYSIA kaya dengan pelbagai jenis buah tropika seperti durian, manggis, rambutan, duku dan langsat. Bagaimanapun bagi sesetengah orang, mereka menganggap bahawa memakan buah-buahan tempatan boleh menyebabkan mereka tidak sihat.
Adakah ini satu mitos? Sesetengah orang juga beranggapan bahawa buah import seperti epal dan anggur lebih berkhasiat berbanding buah-buahan tempatan yang bermusim.
Pelbagai persepsi negatif menjalar dan dilemparkan terhadap buah-buahan bermusim hingga menarik perhatian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menjelaskannya.
"Tidak, saya tidak percaya buah bermusim seperti durian, manggis dan rambutan boleh menyebabkan seseorang itu demam atau membawa kepada penyakit. Sebenarnya, buah-buahan kita unik, sedap dan kaya dengan khasiat.
"Begitupun, amat menyedihkan apabila ada segelintir pihak terlalu mengagungkan buah import kerana merasakannya lebih bagus," kata Timbalan Pengarah Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur Mardi, Dr. Zabedah Mahmood di Serdang baru-baru ini.
Tanggapan tentang buah-buahan import lebih bagus berbanding produk tempatan mungkin disebabkan oleh kurangnya promosi tentang khasiat yang terselindung di sebalik buah-buahan bermusim. Walhal, ia sebenarnya berkapasiti tinggi membekalkan nutrien diperlukan badan.
Tambahan pula, harganya lebih murah berbanding yang diimport. Selain itu, kandungan khasiatnya tidak tergugat lantaran boleh mendapatkannya dengan segar.
Banyak vitamin
Zabedah berkata, khasiat buah import mungkin sudah berkurangan kerana lama berada dalam kotak penyimpanan lantaran melalui masa perjalanan yang agak panjang untuk sampai ke negara ini.
Sebenarnya, kandungan vitamin C adalah lebih tinggi dalam sebiji buah rambutan jika dibandingkan dengan epal.
Menurut Zabedah, kandungan vitamin C pada rambutan dan pulasan adalah 70 miligram (mg) per 100 gram (g), berbanding epal iaitu hanya sekitar 6mg per 100g.
Vitamin C amat penting untuk tubuh terutamanya untuk meningkatkan sistem imuniti badan serta melindungi daripada jangkitan penyakit dan selesema.
"Kedua-dua rambutan dan pulasan mempunyai kandungan air yang tinggi, iaitu melebihi 80 peratus. Kandungan proteinnya di sekitar 0.5 hingga 0.8 peratus dan kandungan lemaknya pula adalah agak rendah iaitu 0.3 hingga 0.55 peratus," katanya.
Kandungan istimewa
Khasiat buah-buahan bermusim bukan hanya tertumpu pada rambutan tetapi juga meliputi durian, yakni raja buah yang sentiasa dikaitkan sebagai punca demam panas.
Agak pelik bunyinya, namun pemakanan durian juga sebenarnya elok diamalkan kerana mengandungi potasium yang baik untuk kesihatan jantung.
Selain mengandungi 1,060mg potasium, durian juga membekalkan sumber vitamin C, tenaga dan mineral.
Isinya yang lembut, enak dan kekuningan itu bukan sekadar menjanjikan kesedapan tidak terhingga bagi pencinta durian, malah ia juga kaya dengan fiber, baik untuk proses penghadaman dan sembelit.
Paling menarik adalah buah manggis. Menurut Zabedah, manggis mempunyai nilai yang tinggi dari sudut pengkomersialan produk kesihatan. Bukan sahaja isinya yang putih gebu mengandungi khasiat tinggi, malah kulitnya menjadi bahan untuk menghasilkan produk kesihatan.
"Sebenarnya, kulit manggis bukan lagi bahan buangan. Ini kerana, terdapat syarikat yang membeli kulit manggis di Mardi untuk diproses dan dijadikan produk kesihatan.
"Berbanding buah lain, manggis adalah antara buah paling susah hendak dilihat di pasaran kerana sudah ada syarikat beli terus kesemua buah di dusun. Sebab itulah harga manggis agak mahal kerana penawarannya tidak banyak," katanya.
Menurut Dr. David A. Morton dari University of Utah, Amerika Syarikat, kulit buah manggis mempunyai bahan aktif biologi yang sangat kaya dengan antioksida dan dipercayai berkesan untuk mencegah penyakit. Buah manggis berpotensi untuk mencegah batu karang, kanser dan merendahkan kolesterol dalam badan.
Salah cara makan
Mengapakah ada segolongan orang yang demam atau batuk berpanjangan selepas menikmati buah-buahan bermusim? Ia seolah-olah tidak selari dengan kajian yang merungkai kekayaan khasiat buah-buahan tersebut.
Mengulas lebih lanjut, kata Zabedah, semuanya berkisar kepada cara pemakanan masyarakat. Sambil menegur sikap sesetengah orang yang memakan buah durian atau rambutan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa, Zabedah memberitahu gaya pemakanan sedemikian mendedahkan mereka kepada penyakit.
"Buah-buahan tempatan tidak mendatangkan penyakit. Kita dinasihatkan untuk memakannya dalam kuantiti sederhana, sekadar untuk mendapatkan khasiat di samping menikmatinya.
Beliau berkata, sebaiknya air kosong diambil secukupnya selepas menikmati Raja Buah itu. Elakkan juga memakannya ketika perut kosong dan sebelum tidur selain jangan dimakan bersama minuman air berkarbonat.
Tidak menafikan bahawa menikmati durian boleh mengundang rasa panas badan, justeru dinasihatkan agar ia disusuli dengan pemakanan manggis kerana buah itu boleh menyejukkan tubuh.
Bagi buah rambutan pula, Zabedah berkata masih ramai khususnya generasi muda tidak tahu kulit kayu biji rambutan yang terlekat pada isi buahnya itu tidak boleh dimakan kerana boleh menyebabkan batuk.
Disebabkan itulah, menjadi tugas pembeli untuk memilih kualiti buah rambutan terbaik iaitu isinya lekang dan tidak terlekat pada kulit kayu biji.
Antara rambutan popular ketika ini adalah jenis anak sekolah kerana buah itu mudah dikopek bahagian isi dengan bijinya. - Bernama
Post a Comment