CHONG WEI (kanan) menyumbang pingat perak dalam temasya
Sukan Olimpik pada tahun ini.
TEMASYA Sukan Olimpik 2012 yang berlangsung pada Julai dan Ogos lalu dianggap sebagai kemuncak dalam kalendar arena sukan tanah air sepanjang tahun ini.
Meskipun peminat sukan tempatan terus kempunan untuk melihat kilauan emas sulung Sukan Olimpik, pencapaian yang dilakar barisan atlet negara di bumi London itu tetap boleh dibanggakan dengan kejayaan meraih satu perak dan satu gangsa.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi menjadi wira apabila menyumbangkan pingat perak manakala ratu terjun, Pandalela Rinong mencetuskan fenomena baharu dengan kejayaannya meraih gangsa.
Sebagai rekod, ia merupakan pencapaian terbaik buat kontinjen Malaysia sepanjang beraksi pada Sukan Olimpik sejak mula mengambil bahagian pada edisi 1956 di Melbourne, Australia.
Biarpun pencapaian tersebut menyamai rekod yang dilakar pada edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat tetapi dua pingat yang dibawa pulang kali ini diraih menerusi acara berbeza iaitu badminton dan terjun.
Pada temasya Olimpik 1996, satu pingat perak dan satu gangsa hadir menerusi satu acara sahaja - badminton.
Selain Chong Wei dan Pandelela, atlet-atlet utama negara yang lain turut tidak mengecewakan apabila terus gah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi kejohanan-kejohanan yang disertai.
Nama ratu skuasy negara, Datuk Nicol David terus meniti di bibir peminat-peminat sukan tanah air apabila dia berjaya mengekalkan statusnya selaku pemain No. 1 dunia yang mula disandangnya pada 2006.
Nicol juga menutup tirai kalendar 2012 penuh bergaya apabila merangkul kejuaraan dunia buat kali ketujuh minggu lalu.
Pemain boling lelaki, Syafiq Ridhwan Abdul Malek turut mencuri tumpuan apabila menjadi pemain Malaysia pertama merangkul gelaran juara pada Piala Dunia QubicaAMF di Wroclaw, Poland awal bulan ini.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang dilakar atlet-atlet negara, ada juga peristiwa duka menyelubungi arena sukan tanah air.
Antaranya, kegagalan skuad bola sepak negara mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 dan kemelut yang melanda Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sehingga menyaksikan badan induk itu kini diterajui oleh muka baharu.
Syafiq Ridhwan juara Piala Dunia skuad boling
KEJUTAN yang dilakar oleh Syafiq Ridhwan Abdul Malek, 26, apabila beliau merangkul gelaran juara pada Piala Dunia QubicaAMF di Wroclaw, Poland awal bulan ini.
Kejayaan itu sekali gus melengkapkan koleksi gelaran utama di pentas antarabangsa buat skuad boling Malaysia.
Malaysia pernah mengecapi kejayaan dalam semua saingan peringkat tertinggi termasuk Kejohanan Dunia tetapi bukan Piala Dunia. Kejohanan individu mula diperkenalkan pada 1965 sebelum Syafiq menamatkan penantian Malaysia dalam edisi kali ini.
|
|
Zulfahmi pelumba Malaysia pertama di podium Litar Sepang
PELUMBA Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin melakar sejarah untuk berada di atas podium apabila muncul naib juara Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Sepang, Oktober lalu.
Lebih manis, sejarah itu dicipta di hadapan 70,000 peminat tempatan yang menyaksikan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu berada di podium buat pertama kali sekali gus menjadi pelumba Malaysia pertama meraih keputusan menakjubkan tersebut.
artikel : kosmo
Post a Comment