KOGILESWARAN dicabar pemain Incheon Selection pada aksi di
Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.
SKUAD bawah 15 tahun (B-15) Malaysia mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir Piala Antarabangsa Frenz (FIC) 2012.
Kejayaan tersebut hadir selepas skuad bimbingan S. Balachandran itu melakar kemenangan kedua pada aksi Kumpulan B apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Incheon Selection 2-0 semalam.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya itu, Kogileswaran Raj muncul wira skuad B-15 Malaysia apabila meledak dua gol pada minit ke-17 dan ke-28.
Kemenangan itu sudah cukup untuk memastikan kemaraan anak-anak buah Balachandran ke kelompok empat pasukan terbaik selepas membelasah kelab Republik Czech, Slavia Praha 5-0, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Balachandran tidak mahu barisan pemainnya terus dibuai mimpi indah ekoran kejayaan itu, sebaliknya kekal fokus bagi menghadapi aksi terakhir kumpulan menentang satu lagi wakil Malaysia, Frenz United malam esok.
"Dua pemain saya mengalami kecederaan. Jadi, kami (skuad B-15 Malaysia) akan melakukan beberapa perubahan bagi memastikan kami tetap memberikan aksi terbaik pada perlawanan terakhir nanti.
"Setakat ini, saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemain saya," kata Balachandran sejurus tamat perlawanan semalam.
Sementara itu, penolong pengurus Incheon Selection, Kim Kyu Sok tetap kekal positif bagi menghadapi aksi terakhir menentang Slavia Praha biarpun tewas dua perlawanan awal.
"Selain keadaan cuaca (panas), jelas sekali pemain-pemain kami (Incheon Selection) kurang dari aspek stamina dan kami sedar bahawa terlalu sukar untuk mereka menyesuaikan diri.
"Biarpun kami kecewa, kami akan pastikan kami menang perlawanan seterusnya menentang Slavia Praha," kata Kyu Sok.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Frenz United Malaysia mencerahkan peluang mara ke separuh akhir apabila seri tanpa jaringan dengan Slavia Praha. -kosmo-
Post a Comment