0




SAAT dirinya diumumkan sah menjadi isteri kepada arjuna bernama Mohd. Sumali Adenan, Anne Ngasri mengakui, dia diulit satu rasa bahagia yang luar biasa.

Kata pelakon itu, perasaan itu sulit untuk diluahkan dengan kata-kata. Ucapnya lagi, perasaan tertekan diselubungi dengan pelbagai kontroversi dan liku hidup yang mencengkam jiwa bertahun-tahun lamanya, terlerai sekelip mata.

"Bayangkan, sepanjang tiga tahun saya menanti momen ini, akhirnya doa saya dimakbulkan oleh Allah apabila dipertemukan dengan lelaki yang sanggup sehidup semati dengan saya," kata pelakon itu seusai majlis pernikahannya dengan ahli politik yang juga Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia di Homestay Citra, Kampung Parit Pinang, Benut, Pontian, Johor, Sabtu lalu.

Dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan seutas gelang tangan emas, Anne dan Sumali selamat diijabkabulkan oleh Kadi Daerah Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim tepat pukul 11.10 pagi.

Dengan sekali lafaz, Anne yang kini mencecah usia 26 tahun bergelar isteri kepada Sumali, 40, yang sudah hidup menduda selama tiga tahun.

Pada majlis yang bertema taman syurga itu, pasangan tersebut yang bertunang pada November lalu bertukar-tukar hantaran iaitu lima dulang daripada Sumali berupa jam tangan Cerutti, sepasang baju kurung, beg tangan jenama Burberry, wangian Chloe dan seutas gelang emas.

Anne juga membalas dengan lima dulang hantaran iaitu seutas jam tangan Cerutti, beg galas Tumi, wangian Bvlgari dan sepasang baju kurung untuk suaminya. Sementara wang hantaran berjumlah RM11, 111.11.

Seri mempelai perempuan yang ditatarias oleh jurusolek, Chomel begitu terserlah ditambah dengan busana berwarna putih suci rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail membuatkan tumpuan lensa tidak henti merakam wajahnya yang jelita.


ANNE NGASRI memberitahu, keputusannya untuk bernikah dengan Sumali bukan berlandaskan cinta kilat, sebaliknya dia menyifatkan ia sebagai sebuah takdir yang indah.


Kira-kira 300 rakan taulan termasuk tetamu istimewa iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan turut hadir memeriahkan majlis.

Majlis resepsi pula diadakan semalam di kampung mempelai lelaki di Jalan Parit Ismail, Benut yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Barangkali tautan kasih antara kedua-dua pasangan bagaikan satu kejutan kepada orang ramai. Ada yang mengisahkan kononnya Sumali menjadi penyebab kepada terputusnya hubungan cintanya dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Mendengarkan persoalan itu dilontarkan pada majlis yang paling bererti bagi mereka berdua, Sumali cepat-cepat memberi respons dan berkata: "Perkara yang lepas, biarkan ia berlalu, saya tak suka bercerita tentang hal-hal lama kerana saya bersyukur sebab Anne sudah sah menjadi suri hati saya."

Anne yang sentiasa menguntum senyuman sependapat dengan suaminya itu. Balas Anne, tiada istilah cinta kilat atau terdesak antara mereka berdua.

"Saya sudah kenal dia sejak setahun lalu dalam satu majlis politik dan pada masa sama, keluarga saya turut mengenalinya.

"Daripada menjadi seorang rakan, terbit rasa saling sayang-menyayangi antara satu sama lain dan kami mula bercinta sejak dua bulan lalu sebelum disatukan.

"Meskipun ia nampak singkat, istilah terburu-buru tidak wujud langsung dan saya simpulkan ia adalah takdir yang indah," kata Anne menjelaskan keadaan.

Ujar pelakon yang sudah membintangi lebih 200 buah drama dan telefilem seperti Dunia Baru dan Cili Padi, cinta hatinya itu, menepati ciri-ciri lelaki yang diimpikannya.



DENGAN hanya sekali lafaz, Sumali sah memperisterikan Anne.



"Dia telah sempurnakan hidup saya. Dia juga seorang yang kelakar dan sentiasa menceriakan saya dengan gurau sendanya dan yang paling signifikan, dia sentiasa membuatkan saya tenang dan selamat bila di sampingnya," ujarnya.

Bagi Sumali pula, Anne seorang yang berfikiran terbuka, pandai mengambil hati dan dia juga mesra dengan ahli keluarganya.

"Anne begitu serasi dengan saya. Kami juga banyak persamaan dan dia seorang yang bertolak ansur dan hal-hal itu membuatkan saya jatuh hati dengannya," ujar lelaki bertubuh besar itu.

Anak

Umum mengetahui bahawa Anne sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Wafi Hassan pada 2006, namun kedua-duanya bercerai empat tahun kemudian.

Sepanjang berkahwin, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhara Afroza, 2.

Sementara Mohd. Sumali mempunyai seorang anak lelaki iaitu Mohd Sufian Hakim, 7.

Mengulas mengenai keserasian antara anak-anak hasil daripada perkahwinan masing-masing, Anne berkata, mereka berempat cepat mesra antara satu sama lain.



PERNIKAHAN antara Anne dan Sumali telah menyatukan dua buah keluarga besar mereka.



"Mereka tiada masalah. Anak-anak saya sangat senang dengan Sumali dan mereka memanggilnya kadang-kadang dengan panggilan babah dan kadang-kadang ayah. Begitu juga anak Sumali, mereka panggil saya mama," tutur Anne yang terserlah sifat keibuannya.

Ya, seperti benar kata pelakon filem Dunia Baru itu apabila keempat-empat anaknya tidak kekok bergambar dan bermain bersama pada majlis penuh bahagia tersebut.

Tidak sah kalau soalan mengenai cahaya mata tidak ditanya kepada pasangan yang baru berkahwin.

Sambil tersipu malu, Anne mengakui, dia tidak merancang sebaliknya menerima rezeki daripada Yang Maha Esa.

"Sekarang saya sudah ada tiga hero dan seorang heroin, sekiranya Allah mahu kurniakan kami zuriat lagi, Alhamdulillah," katanya.

Pinta Anne mahupun Sumali, mereka berharap perkahwinan yang dibina atas landasan cinta akan kekal ke akhir hayat.

"Kami harap semua ahli keluarga dan kenalan mendoakan kebahagian kami buat selama-lamanya," ujar mereka senada. -kosmo-

Post a Comment

 
Top