0

STURRIDGE meledakkan gol penyamaan untuk menyelamatkan maruah Liverpool apabila seri 3-3 dengan Everton malam tadi.



LONDON - Penyerang England, Daniel Sturridge meledakkan gol penyamaan untuk menyelamatkan maruah Liverpool apabila seri 3-3 dengan Everton pada aksi Liga Perdana England malam tadi.

Pada aksi klasik dua kelab Merseyside di Goodison Park itu, skuad The Reds mendahului seawal minit kelima menerusi pemain tengah, Philippe Coutinho.

Bagaimanapun, kelebihan Liverpool tidak bertahan lama apabila Kevin Mirallas berjaya mengikat kedudukan pada minit kelapan.

Penyerang sensasi Liverpool, Luis Suarez sekali lagi meletakkan pasukan pelawat di depan hasil satu sepakan percuma yang cantik pada minit ke-19 sebelum Romelu Lukaku memadamkan kelebihan itu pada minit ke-72.

Lukaku menceriakan para penyokong-penyokong tuan rumah apabila menyumbat gol ketiga Everton pada minit ke-82.

Ketika skuad The Toffes hampir pasti mencatat kemenangan, Sturridge yang menggantikan pemain tengah, Lucas Reira memastikan skuad The Reds mengutip satu mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Keputusan seri 3-3 itu meleburkan impian Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers untuk mencatat kemenangan pertama selepas dua kali seri dalam pertembungan dua kelab sejiran itu.

"Ia adalah satu perlawanan yang hebat. Saya sudah merasai beberapa perlawanan seperti itu. Sangat berdebar.

"Sekali lagi kami menunjukkan daya tahan dan keupayaan untuk bangkit daripada ketinggalan. Ini adalah satu lokasi yang sukar untuk dikunjungi dan mereka tidak pernah tewas di Goodison Park tahun ini," kata Rodgers.

Bagi skuad kendalian Roberto Martinez, keputusan itu melebarkan rekod cemerlang di laman sendiri apabila tidak pernah tewas di Goodison Park sejak Disember 2012. - AFP

Post a Comment

 
Top