0
RONALDO diramal akan memenangi Anugerah Pemain Terbaik Dunia tahun ini.


LONDON - Pengurus Manchester United, David Moyes memberikan bayangan untuk membawa semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford.

Moyes mendedahkan keinginan untuk bekerjasama dengan penyerang Portugal dan Real Madrid itu suatu hari nanti menjelang aksi Liga Perdana England menentang Cardiff City di Stadium Cardiff City malam ini.

Ronaldo meninggalkan United untuk memenuhi cita-citanya beraksi dengan Real pada 2009 tetapi terdapat spekulasi yang mendakwa beliau ingin kembali menyarung jersi skuad The Red Devils tahun lalu.

Moyes dilaporkan pernah membuat tawaran kepada Ronaldo, namun pemain berusia 28 tahun tersebut bersetuju untuk menyambung kontrak selama lima tahun dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

Bagaimanapun, Moyes merupakan antara peminat Ronaldo terutamanya selepas pemain kelahiran Funchal, Madeira itu meledakkan hatrik bagi membantu Portugal layak ke pusingan Piala Dunia 2014 di Brazil dengan menewaskan Sweden, Selasa lalu.

Ronaldo yang memenangi trofi Liga Juara-Juara dan tiga kejuaraan Liga Perdana England sepanjang tempoh enam tahun bersama United dijangka sukar untuk meninggalkan Real tetapi Moyes tidak akan berputus asa.

"Saya tidak bertuah untuk bekerja dengannya (Ronaldo) tetapi masih ada harapan untuk merealisasikan impian itu suatu hari nanti," kata Moyes.

Setakat ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah melanjutkan undian untuk anugerah Pemain Terbaik Dunia (Ballon d'Or) dan Ronaldo dijangka memenangi anugerah yang dimenanginya ketika bergelar pemain United pada kempen Liga Juara-Juara 2008 selepas meledakkan 42 gol.

Sementara itu, pemain tengah United, Anderson yang beraksi dengan Ronaldo selama dua musim berkata, dia yakin belas rakan sepasukannya itu akan memenangi anugerah tersebut.

"Apabila anda mempunyai Ronaldo, ia akan menjadi lebih mudah.

"Dia menjaringkan gol setiap masa. Dia meledakkan tiga gol Rabu lalu. Dia merupakan seorang pemain yang menakjubkan. Bagi saya, dia adalah pemain terbaik di dunia," kata Anderson. - Agensi

Post a Comment

 
Top