0
CHONG Wei memburu gelaran ketiga pada terbuka Hong hari ini.


JURULATIH perseorangan negara, Rashid Sidek optimis Datuk Lee Chong Wei akan meraih gelaran ketiga Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong 2013 pada aksi final hari ini.

Jelas Rashid, pemain No. 1 dunia itu tidak akan menghadapi masalah untuk merampas gelaran yang diraih pada 2009 dan 2010 itu jika dia mampu mengekalkan rentak konsisten seperti yang dipamerkan pada aksi separuh akhir semalam.

Chong Wei sekali lagi menepati ramalan selaku pilihan utama kejohanan apabila mengesahkan slot final selepas menewaskan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-12, 21-7 semalam.

“Saya rasa dia boleh menang pada perlawanan akhir jika permainannya kekal konsisten sebegini, tetapi jangan pandang rendah kepada keupayaan lawan juga,” kata Rashid.

Ditanya mengenai prestasi Chong Wei sehingga aksi separuh akhir semalam, Rashid mengakui pemain elit negara itu tampil dengan aksi yang lebih baik selepas diberikan rehat ekoran kecederaan buku lali kanan minggu lalu.

“Dia nampak lebih bertenaga dan tenang. Dia juga tidak mengadu mengenai sebarang kecederaan, saya percaya semuanya dalam keadaan terkawal,” tambah Rashid.

Pada aksi separuh akhir itu, Chong Wei sekadar memerlukan masa 34 minit untuk mengesahkan kemenangan ke-20 ke atas Boonsak sejak mereka mula bertemu pada aksi suku akhir Terbuka Malaysia 2006.

Mengulas mengenai kemenangan yang dicatatkan semalam, Chong Wei berkata, kekerapan bertemu dengan pilihan kelapan itu turut memberi kelebihan kepadanya.

“Sebenarnya saya lebih fokus dengan perlawanan saya sendiri tetapi saya juga sudah bertemu dengannya banyak kali, kali terakhir di Perancis.

“Begitupun, keutamaan saya tetap kepada permainan sendiri. Kalau boleh apa yang saya mahu, saya dapat keluarkan ketika beraksi.

“Menang 20 kali mungkin bukan satu rekod yang mudah tetapi apa yang penting ialah kekuatan mental,” jelas Chong Wei.

Sebelum menewaskan Boonsak di Perancis Oktober lalu, Chong Wei juga pernah menumpaskan pemain Thailand tersebut pada Terbuka India (April) dan Terbuka Indonesia (Jun) untuk rekod tahun ini.

Pada aksi final hari ini, Chong Wei akan bertemu pemain veteran Indonesia, Sony Dwi Kuncoro apabila menewaskan rakan senegaranya, Tommy Sugiarto yang menarik diri kerana kecederaan ketika ketinggalan 14-21, 3-8.

“Saya rasa bagus kerana masih dapat beraksi esok. Saya harap kemenangan dapat diraih pada aksi final esok (hari ini).

“Walaupun saya pernah bertemu dengan dia (Sony) tetapi keutamaan saya tetap kepada corak permainan sendiri,” tambah Chong Wei.

Chong Wei tewas kepada pemain China, Lin Dan pada separuh akhir Terbuka Hong Kong 2011 sebelum disingkirkan Chen Long pada final edisi 2012.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita China, Wang Yihan menewaskan Porntip Buranaprasertsuk dari Thailand 17-21, 21-15, 21-13.

Yihan akan menentang rakan senegaranya, Wang Shixian yang turut yang turut mara selepas menumpaskan Minatsu Mitani dari Jepun 21-13, 21-17.

Bagi aksi acara beregu campuran pula, pasangan England Chris Adcock-Gabrielle White membuat kejutan apabila menewaskan pilihan utama China, Zhang Nan-Zhao Yun Lei 21-12, 21-16 untuk mara ke final.

Adcock-White akan bertemu pasangan China, Liu Cheng-Bao Yixin yang turut mara selepas menewaskan gandingan Hong Kong, Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah 17-21, 21-10, 23-21.

Perlawanan beregu wanita bakal menyaksikan dominasi dua pasangan China di pentas final iaitu antara Ou Dongni-Tang Yuanting dan Bao Yixin-Tang Jinhua.

Dongni-Yuanting menewaskan Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl (Denmark) 21-13, 21-15 manakala, Yixin-Jinhua menyingkirkan Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi (Jepun) 21-17, 21-12.

Aksi akhir beregu lelaki pula antara pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang yang akan menentang Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Ki Jung-Sa Rang menewaskan beregu England, Chris

Adcock-Andrew Ellis 21-13, 21-14 manakala, Yong Dae-Yeon Seong menumpaskan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) 22-20, 22-20. -kosmo-

Post a Comment

 
Top