0

SINGAPURA: Seorang penunggang motosikal rakyat Malaysia ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas selepas dadah jenis heroin dengan berat kira-kira 900g ditemui dalam seluar dalamnya.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di zon ketibaan motosikal oleh pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA)
pada pukul 6.10 pagi Rabu.

Semasa melakukan pemeriksaan ke atasnya, pegawai ICA mengesyaki lelaki itu telah menyembunyikan dadah dalam seluar dalamnya dan memaklumkan kepada pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB).

Pegawai-pegawai CNB menjalan pemeriksaan ke atas lelaki itu dan menjumpai heroin yang dianggarkan bernilai lebih S$ 63,000 (RM195,000).

Dia kini telah diletakkan di bawah tahanan.

"Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika jumlah diamorphine (atau heroin tulen) yang diperdagangkan melebihi 15g," menurut ICA dan CNB dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Jumlah itu bersamaan dengan 1,250 batang straw, cukup untuk digunakan oleh kira-kira 180 orang yang menyalahgunakannya selama seminggu.

"Sempadan pintu masuk adalah barisan pertama pertahanan kita dalam menjaga keselamatan Singapura, dan pemeriksaan keselamatan adalah penting untuk keselamatan negara kita.

"Agensi-agensi Home Team akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas penumpang dan kenderaan di tempat pemeriksaan untuk mengelakkan percubaan menyeludup manusia, ubat-ubatan, senjata, bahan letupan dan barang seludup lain yang tak diingini," kata kenyataan akhbar. - The Straits Times/Asia News Network

Post a Comment

 
Top