0

FEDERER berazam untuk bangkit kembali menampilkan aksi lebih cemerlang pada saingan tahun depan.




LONDON - Jaguh Switzerland, Roger Federer menyifatkan sukan tenis sebagai sebahagian daripada darah dagingnya.

Sejurus tumbang kepada bintang Sepanyol, Rafael Nadal pada aksi separuh akhir Final Jelajah Dunia di O2 Arena awal pagi semalam, Federer berkata, dia tidak akan berhenti daripada arena tenis.

Sebaliknya, Federer yang juga bekas pemain No. 1 dunia berazam untuk kembali bangkit bagi menghadapi saingan tahun depan.

Mengakui menghadapi musim terburuk dalam kariernya, Federer terpaksa menerima hakikat apabila menutup tirai musim 2013 dengan kekalahan 5-7, 3-6 di gelanggang di O2 Arena awal pagi semalam.

Selepas memegang status pemain tenis terhebat selama sedekad, Federer, 32, dikhabarkan akan mengantung raket dan memberi tumpuan kepada ahli keluarganya terutama anak perempuan kembarnya.

Bagaimanapun, Federer menolak spekulasi tersebut dan menegaskan betapa sekarang bukan masa paling sesuai untuk dia mengundur diri.

"Bagi saya, ia amat mudah. Saya sentiasa buat apa yang saya suka lakukan sejak kecil. Bermain tenis telah menjadi sebahagian daripada diri saya.

"Sudah tentu keadaan tidak sama seperti saya berusia 12 tahun tetapi ia masih sesuatu yang saya suka lakukan.

"Kenapa perlu berhenti jika anda masih muda dan mampu melakukannya? Kenapa perlu saya meninggalkan tenis hanya kerana saya ada komitmen lain?" ulas Federer.

Federer yang dibelenggu sakit tulang belakang pada awal musim ini, mengakui kecederaan tersebut tidak ada kaitan dengan aksi kurang memberangsangkan sepanjang 11 bulan lalu.

"Berkenaan kecederaan, saya sangat gembira ia telah sembuh sepenuhnya. Secara tidak langsung ia memberi keyakinan kepada saya dari aspek mental dan fizikal," tambah Federer. - AFP

Post a Comment

 
Top