0



WAJAH berseri penuh dengan ketenangan setelah saat cinta disatukan dalam ikatan sah untuk melayari bahtera cinta jelas terpancar pada wajah ayu dan anggun Diana Amir dan si jantung hatinya, Mohd. Habib Bullah apabila selamat diijabkabulkan.

Tepat pukul 9.30 pagi, pasangan dua sejoli ini telah sah bergelar suami isteri. Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim mengalirkan air mata pada saat Habib melafazkan akad nikah.

Dengan sekali lafaz jelas sinar seri pengantin terpancar pada wajah mereka.

"Sebelum melangkah masuk ke pekarangan masjid jantung saya berdegup kencang, tapi saya berselawat untuk menenangkannya.

"Walaupun sebelum ini saya bertemu dengan ramai orang, namun perasaan kali ini cukup berbeza. Alhamdulillah syukur kepada Ilahi kerana mempertemukan kami dan mempermudahkan segala urusan," luah Diana mengenai perasaan ketika ditanya pihak media.

Majlis akad nikah bertemakan taman kristal hasil ilham daripada penaja dekorasi Saiful Sin. Bersesuaian dengan konsep tersebut, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Precint 3, Putrajaya dipilih sebagai lokasi ikatan bahagia terjalin.

Pasangan mempelai mengenakan busana indah hasil cetusan idea Ezuwan Ismail. Habib mengenakan baju Melayu putih bersamping songket merah jambu sedondon dengan Diana bergaun merah jambu.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu dalam kalangan rakan media, rakan artis, sahabat dan juga saudara-mara kedua-dua belah pihak.

Bicara Habib pula, perasaan gemuruh dan gementar tetap ada walaupun dari segi luaran jelas nampak tenang. Tanggungjawab dirinya kini lebih besar untuk menjadi pemimpin kepada isteri tercinta.

"Ketika melangkah masuk ke dalam masjid, hati saya berdebar-debar. Namun dengan doa dan semangat yang diberikan oleh keluarga tercinta saya dapat tenangkan.

"Doa ibu ayah dan kawan-kawan banyak membantu saya untuk bertenang. Syukur Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar," ujar Habib.

DIANA bersyukur kerana kini bersuamikan Habib dan teruja untuk bergelar ibu.


Berkongsi keistimewaan pasangan masing-masing, tutur Diana memulakan kisah perkenalan mereka berdua, dia tertarik dengan kebijaksanaan, kesabaran serta pengetahuan agama Habib.

"Saya mula kenal Habib ketika kami bertemu dengan tidak sengaja. Pada ketika itu, kawan saya yang merupakan seorang pereka fesyen memperkenalkan kami berdua. Saya tertarik dengan penampilan dan keperibadian Habib.

"Selepas kami bertemu, saya mula menjejaki keperibadian Habib. Saya dapat tahu dia seorang yang mempunyai pengetahuan yang tinggi. Saya tertarik dengan apa yang dia miliki. Dari situ, saya mula berkomunikasi dengan Habib. Tidak sangka dia seorang yang baik hati.

"Ini jodoh kami. Kami memutuskan untuk mengikat tali pertunangan tahun lepas. Dari situ, saya banyak mengenali hati budi suami saya. Dia seorang yang penyabar dan bijak.

"Habib banyak memberi sokongan kepada saya. Dia begitu yakin dan percaya dengan saya," cerita Diana mengimbas kembali detik manis pertemuan mereka.

Habib yang sentiasa dengan senyuman manisnya itu menyambung bicara, dia pada mulanya tidak mengetahui bahawa dia akan diperkenalkan dengan seorang artis jelita.

"Saya tahu Diana merupakan seorang artis. Tetapi sebelum kami bertemu, saya tidak mengetahui dengan siapa saya akan diperkenalkan. Bila dah jumpa saya agak terkejut dapat berkenalan dengan Diana," tutur Habib sambil tersenyum memandang isteri tercinta.

Jelasnya lagi, dia yakin dengan ketentuan Ilahi. Diana merupakan satu anugerah Allah buat dirinya. Diana ialah amanah Allah kepada Habib. Ini merupakan tanggungjawab besar.

Selain itu, Habib terpesona dengan perwatakan lembut Diana. Diana banyak membantunya untuk memilih jalan untuk mereka disatukan. Dia memberi sokongan yang baik.

Berbicara tentang perancangan masa hadapan, mereka berdua tidak mempunyai masalah untuk melayari bersama bahtera perkahwinan.

Jelas Diana, mereka akan tinggal di Shah Alam, Selangor memandangkan Habib sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di situ.

Habib berhenti menjadi pensyarah di UiTM, Merbok, Kedah untuk memberi fokus kepada pengajiannya di UiTM, Shah Alam.

Sebagai seorang isteri, dia sentiasa memberi sokongan kepada suami untuk mendalami serta mencari pengetahuan ilmu yang berguna pada masa hadapan.

Menurut Habib pula, dia sentiasa inginkan yang terbaik buat isterinya dan tidak menghalang Diana untuk terus dengan karier sebagai artis dan usahawan.

"Saya sentiasa memberi sokongan kepada isteri saya. Asalkan perkara yang dilaksanakan itu memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain serta kepada agama," tutur Habib dengan penuh tenang.
SETAKAT ini pasangan mempelai belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu.


Ketika ditanya soal cahaya mata, kedua-dua mempelai ini tersenyum manis sambil memandang antara satu sama lain.

Mereka jelas telah bersedia untuk bergelar ibu bapa pada bila-bila masa. Anak merupakan penyeri rumah tangga di samping mengeratkan ikatan kekeluargaan.

"Diana merupakan seorang yang suka kepada budak. Jadi jika diizinkan Allah kami mendapat cahaya mata dalam masa terdekat ini, ia merupakan rezeki kami berdua," jelas Habib.

Diana dalam pada itu sempat berceloteh ketika ditanya tentang anak.

"Setakat ini kami belum ada perancangan untuk berbulan madu kerana masing-masing sedang sibuk menguruskan bisnes dan pengajian," ujar Diana menjawab soalan yang ditanya.

Dalam sibuk melayan pertanyaan pihak media, Diana sempat merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada peminat kerana sentiasa memberi sokongan yang positif terhadap diri dan kariernya.

"Saya berharap peminat mendoakan kebahagian buat mereka dalam melayari bahtera cinta kami. Saya rasa sangat bertuah kerana disayangi ramai orang. Harapan saya silaturahim yang terjalin akan kekal selamanya.

"Selain daripada itu, terima kasih dan penghargaan saya kepada pihak pengurusan MIG terutamanya David Teo yang banyak membantu memberi sokongan. Saya terharu dengan keprihatinan David. Ikatan kami ibarat satu keluarga," tutur Diana.

Sebelum mengakhiri bicara, pasangan mempelai mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir bagi memeriahkan majlis yang sederhana namun penuh makna.- SHARKAWI LONDING

Post a Comment

 
Top