0

LONDON – Manchester United mengesahkan bahawa Wayne Rooney tidak menyertai rakan sepasukannya ke Sweden bagi menghadapi satu perlawanan persahabatan menentang kelab AIK.

Penyerang itu menjadi sasaran tawaran kedua Chelsea yang dianggarkan £25 juta (RM124 juta) kelmarin, namun telah ditolak oleh United serta merta.

Kini, Rooney terpaksa tinggal di England tatkala rakan sepasukannya yang lain berkunjung ke Sweden semalam, sekali gus menghangatkan lagi khabar angin yang dia semakin hampir meninggalkan Old Trafford.

Begitupun, United cuba menjernihkan suasana dengan menjelaskan bahawa penyerang berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan bahu ketika aksi persahabatan tertutup dengan Real Betis.

Pengurus United, David Moyes berkata: “Wayne cedera di bahunya ketika terjatuh dalam satu perlawanan Sabtu lalu.

“Ia tidak begitu serius dan saya tidak rasa akan merehatkannya terlalu lama.

“Saya agak kecewa melihat dia gagal beraksi dalam beberapa perlawanan kerana kami amat berharap dia kembali ke dalam pasukan ini dan bersedia untuk bermain.”

Ini bermakna Rooney akan terlepas aksi terakhir Jelajah Pra-Musim United setelah gagal menyertai mereka ketika kunjungan ke Asia bulan lepas.

Antara skuad The Red Devils yang dijangka turun menentang AIK ialah Anders Lindegaard, Ben Amos, Rafael, Jonny Evans, Nemanj Vidic, Chris Smalling, phil Jones, Patrice Evra, Nani, Wilfried Zaha, Michael Carrick, Anderson, Robin van Persie, Ryan Giggs, Angeo Henriquez, Shinji Kagawa, Danny Welbeck dan Bebe. – Agensi

Post a Comment

 
Top