0
 

WOODS (kanan) menjadi tumpuan peminat untuk mendapatkan tandatangannya ketika tiba untuk
 mengikuti sesi latihan Kejohanan PGA, kelmarin.

ROCHESTER, Amerika Syarikat - Pemain No. 1 dunia, Tiger Woods dan juara Terbuka Britain 2013, Phil Mickelson bakal bersaing sengit pada kejohanan utama terakhir PGA tahun ini yang bermula esok.

Sesi latihan yang bermula kelmarin di Kelab Desa Oak Hill menyaksikan Woods kelihatan cukup yakin kerana masih segar dengan kejayaan muncul juara Kejohanan Jemputan Bridgestone pada Ahad lalu.

Manakala Mickelson menjuarai Terbuka Britain bulan lalu cukup berpengalaman tentang selok belok lapangan golf di sini.

"Apabila Mickelson dan saya bersaing, ia akan menjadi sesuatu yang besar. Kami pernah bermain bersama dalam beberapa pusingan dan sentiasa bersaing hebat sesama sendiri," ujar Woods.

Woods yang merupakan juara 14 kali kejohanan utama, kini mensasarkan memecahkan rekod yang dicatat Jack Nicklaus dengan 18 gelaran juara.

Bagaimanapun Woods yang sebelum ini gagal meraih sebarang kemenangan utama dalam 17 percubaan sejak Terbuka Amerika Syarikat 2008, menegaskan dia tidak tergesa-gesa untuk melakukannya.

"Ia bukan keperluan utama. Kejohanan lain dan gelaran juara adalah sama. Setiap acara, kami cuba untuk memenanginya.

"Sudah tentu saya mahukan gelaran juara apabila menyertai acara utama dan saya telah berjaya melakukannya sebanyak 14 kali dan berharap kali ini dapat melakukannya untuk kali ke-15," kata pemain berusia 37 tahun itu.

Sementara Mickelson yang menjadi naib juara untuk kali keenam pada Jun lalu dan meraih gelaran utama kelimanya pada Julai lalu, yakin dengan kemampuannya menguasai Oak Hill dengan baik.

"Saya membuat kajian mengenai lapangan golf ini dan tahu bagaimana untuk bermain di situ. Saya hanya perlu mengemaskan corak permainan saya sahaja.

"Anda perlu melakukan pukulan terbaik. Rumputnya sangat panjang dan tebal. Jadi anda perlu mencari peluang terbaik dan berada di posisi yang betul ketika melakukan putting," nasihat Mickelson. - AFP

Post a Comment

 
Top