0


JOHN TRAVOLTA merealisasikan watak bekas tentera Serbia, Emil Kovac.



BERKONGSI layar perak buat kali pertama kali dalam sejarah perfileman, pemenang anugerah Oscar, Robert De Niro dan penerima dua kali pencalonan Oscar, John Travolta merupakan daya tarikan utama Killing Season yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula esok, 1 Ogos.

Ia mengisahkan tentang dua orang tentera veteran Perang Bosnia iaitu seorang rakyat Amerika Syarikat (AS), Benjamin Ford (lakonan De Niro) dan seorang bekas tentera Serbia, Emil Kovac (Travolta).

Kedua-dua karakter itu bergabung dalam satu filem yang padat dengan aksi hebat berlatarbelakangkan landskap terpencil AS di hutan belantara pergunungan Appalachian.

Mereka sebenarnya dua orang musuh lama yang berhasrat melunaskan dendam yang terpendam sekian lama. Mereka bertarung secara fizikal dan psikologi dalam bentuk pertempuran paling 'jantan' - seorang lawan seorang!

Pertempuran mereka berlanjutan sehingga ke perut Appalachian, membuatkan parut lama berdarah kembali.

Mark Steven Johnson diberi tanggungjawab sebagai pengarah filem ini dengan garapan bijak menerusi lakon layar oleh Evan Daugherty (Snow White and the Huntsmen).

"Saya jatuh hati dengan projek ini sejak pertama kali membaca skrip hebat hasil tulisan Evan Daugherty," ujar penerbit, Paul Breuls.

John McTiernan

"Ia mendebarkan, bermain dengan imaginasi, luar jangkaan dan layar didominasi oleh pertembungan dua watak utama yang cukup luar biasa.

KILLING SEASON merupakan filem pertama yang menggandingkan tenaga lakonan De Niro dan Travolta.


"Satu penghormatan kepada saya kerana dapat bekerjasama dengan Robert De Niro dan John Travolta, mendapat pengajaran tentang betapa signifikannya sifat merendah diri, pertemuan dengan bakat yang cukup mengagumkan dan keseronokan buat semua yang terlibat," ujarnya lagi.

Johnson mencelah: "Seumur hidup, anda mengimpikan untuk bekerjasama dengan Robert De Niro dan John Travolta. Mereka berdua merupakan antara aktor paling berpengaruh dalam sejarah perfileman.

"Namun, belum pernah sekali pun kita dapat menyaksikan kedua-duanya digandingkan bersama. Jadi, sudah tentu mengujakan memikirkan betapa bertuahnya dapat menjadi dalam kalangan mereka yang berjaya menyatukan De Niro dan Travolta dalam filem yang sama."

Sementara itu, ujar Travolta, dia terpanggil untuk membintangi Killing Season disebabkan pengarah John McTiernan.

"Saya pernah bekerjasama dengan McTiernan sebelum ini menerusi filem Basic (2003). Pada suatu hari, dia menemui saya lalu menyuarakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam Killing Season. Saya lantas membaca skripnya dan terus terpaut," katanya.

Malangnya, visi McTiernan terhadap projek Killing Season tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu, lantas dia dengan rela hati mengundurkan diri daripada projek filem ini.

De Niro dan Travolta sudah menyatakan persetujuan, maka penerbit filem ini memerlukan seorang pengarah yang mampu menyajikan hasil kerja terbaik dengan mengekalkan nada daripada lakon layar asalnya.

Ujar De Niro: "Tanpa disangka-sangka kerusi pengarah Killing Season beralih kepada Johnson, yang membuatkan Travolta dan saya cukup gembira. Filem yang kami lakonkan ini hampir seratus peratus menepati skrip asal yang ditulis."

Kata Travolta pula: "Visi Johnson terhadap projek filem ini benar-benar seiring dengan apa yang dibayangkan oleh saya dan De Niro. Jadi, kami berdua terus bersetuju memilihnya selaku pengarah untuk filem ini."

Realiti dan penyelidikan

De Niro dan Travolta sememangnya terkenal dengan kesediaan mereka melabur menerusi penyelidikan mendalam terhadap watak yang diberikan kepada mereka sebelum memulakan penggambaran, sama seperti projek Killing Season.

Menurut Johnson: "Setiap kali anda melihat De Niro memainkan watak yang diberikan kepadanya, anda tahu yang dia sudah pun terlebih dahulu bersedia dengan melakukan kajian.

ROBERT DE NIRO melakukan kajian terperinci terhadap karakter lakonannya sebagai bekas tentera Amerika, Benjamin Ford.



Komen De Niro pula: "Situasi perang yang berlaku Yugoslavia sebelum ini cukup sukar. Johnson melakukan kajian mendalam yang mana sedikit sebanyak ia membantu saya untuk lebih memahaminya.

"Perang tersebut dijadikan latar belakang serta apa yang berlaku semasa peperangan."

Travolta menceritakan mengenai pengalamannya terbang ke Bosnia untuk menyediakan bahan bagi watak yang dibawakannya iaitu Emil Kovac.

"Saya melakukan lebih banyak kajian untuk filem ini berbanding filem-filem lain sebelum ini kerana saya perlukan lebih banyak pendedahan mengenai peperangan tersebut.

"Jadi saya terbang ke Bosnia dan Croatia untuk menemu bual orang ramai yang berbangsa Serbia, Croatia dan juga Bosnia demi memahami perang itu daripada perspektif mereka," jelasnya.

Tambah Travolta: "Saya mula faham bahawa setiap orang sebenarnya menyalahkan antara satu sama lain atas peperangan yang berkemungkinan dicetuskan oleh faktor luaran yang tidak begitu jelas.

"Akhirnya, sekembali dari Bosnia, saya dapat juga maklumat yang diperlukan dan rasa gembira selain berasa pentingnya untuk tidak menghukum dan berpihak kepada sesiapa.

"Saya hanya mahu jadi neutral tanpa melibatkan politik dan berbangga mengatakan, 'Tengoklah, inilah fakta-fakta yang telah berjaya saya kumpulkan'."

Dia mendedahkan: "Saya mempunyai rakan Serbia dan juga rakan Bosnia yang cukup baik hati. Mereka membantu saya memahami konsep keagamaan, politik dan etnik di sebalik watak-watak ini.

"Menerusi perbincangan dan perbualan yang mendalam bersama mereka, saya mula sedar dan memahami aspek kebarangkalian watak ini.

"Saya rasa kedua-dua watak yang dibawakan oleh De Niro dan juga saya merupakan mangsa keadaan yang akhirnya mencetuskan perlakuan setiap daripada watak tersebut."

Post a Comment

 
Top