0



SEBELUM ini pasangan pelakon Qi Razali dan Nelydia Senrose selalu berteka-teki mengenai status hubungan mereka, biarpun ramai yang sudah tahu tentang keakraban kedua-duanya.

Apabila ditanya tentang sejauh mana hubungan yang terjalin antara mereka, baik Qi mahupun Nelydia lebih suka memberi jawapan selamat dengan mengatakan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar teman rapat.

Bagaimanapun, akhirnya Qi yang terkenal dengan program Jalan-Jalan Cari Makan itu telah mendedahkan bahawa dia kini merupakan kekasih kepada Nelydia.

Ia sekali gus menepati tanggapan ramai yang menganggap mereka sememangnya menjalinkan hubungan cinta.

Nelydia yang ditemui semasa penggambaran telemovie khas Setia Hujung Nyawa Raya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. baru-baru ini berkata, pada mulanya dia agak terkejut dengan pendedahan tersebut, tetapi tidak kisah apabila hubungan mereka kini diketahui ramai.

"Saya cuma dapat tahu tentang pengakuan Qi menerusi laporan media, jadi pastinya ia satu kejutan.

"Namun begitu, saya tidak menyalahkan dia kerana hakikatnya kami kini pasangan kekasih.

"Qi tidak pernah berbincang dengan saya sebelum dia membuat kenyataan itu, tetapi saya lega kerana akhirnya dia yang membuka mulut.

"Lagipun saya rasa sudah tiba masanya untuk kami bersikap lebih terbuka dan peminat perlu tahu tentang hubungan kami sekarang," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai tindakan mereka yang berahsia tentang hubungan yang terjalin sebelum ini, Nelydia menjelaskan, dia dan Qi tidak berniat untuk merahsiakannya.

KARYAWAN produksi telemovie Setia Hujung Nyawa Raya sempat bergambar merakam kenangan.


Pelakon itu turut menyangkal dakwaan yang mengatakan populariti mereka yang sedang meningkat akan merudum sekiranya perkara itu diketahui oleh peminat.

"Saya akui sebelum ini kami belum bersedia untuk memberikan jawapan sebenar mengenai hubungan kami. Sebenarnya perasaan risau pun ada jika hubungan kami ini tidak menjadi.

"Mengenai populariti pula saya percaya peminat sekarang lebih bijak menilai seseorang artis itu. Malah saya gembira kerana mereka juga banyak memberikan sokongan terhadap hubungan kami," ujar pelakon yang baru mencecah usia 19 tahun itu.

Sementara itu, memandangkan kedua-duanya kini sudah mengaku sebagai pasangan kekasih, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Spa Q itu turut ditanya kalau dia dan Qi pernah berbincang tentang perkahwinan mereka.

Berjauhan

Menurut Nelydia, setakat ini mereka belum berbincang mengenainya meskipun Nelydia sedar usia kekasihnya itu sudah menjangkau 35 tahun.

Ujarnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk menjalinkan hubungan cinta dengan Qi sebelum merancang untuk berkahwin.

"Ketika ini saya dan Qi sibuk dengan kerjaya masing-masing dengan tawaran yang semakin mencurah-curah.

"Mungkin itu salah satu faktor yang membuatkan kami tidak sempat untuk membawa hubungan ini ke fasa yang lebih serius.

"Pada masa yang sama, dengan usia saya sekarang perkahwinan bukanlah keutamaan kerana fokus saya sudah tentu kepada bidang lakonan dan pelajaran," jelas penuntut dalam bidang Psikologi di Kolej SEGi, Subang Jaya, Selangor itu.

Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan, dia tidak mampu menolak sekiranya ditakdirkan mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Setelah hampir sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 8 Ogos ini.

Namun begitu, Nelydia menyatakan sambutan Aidilfitri tahun ini kurang berseri kerana dia tidak dapat meraikannya bersama kekasih hatinya yang kini berada jauh di perantauan.

"Ketika ini Qi sedang berada di Buenos Aires, Argentina untuk menjalani program kanak-kanak Art Attack. Dia berada di sana selama dua bulan dan dijangka pulang pada bulan September ini.

"Sepanjang tempoh tersebut kami terpaksa berjauhan dan tidak dapat beraya buat kali pertama sebagai pasangan kekasih.

"Apa yang mampu saya lakukan sekadar berdoa agar dia selamat dan sihat sepanjang berada di sana," ujarnya yang mengakui sedikit sedih kerana hasrat untuk beraya bersama-sama tidak tercapai.
NELYDIA bercuti sempena Aidilfitri selama seminggu di kampung halamannya di Bachok, Kelantan.



Cuti seminggu

Mengakui memendam perasaan rindu yang mendalam terhadap kekasihnya itu, Nelydia berkata, kerinduannya itu dapat diisi dengan memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya lakonannya.

"Secara kebetulan jadual lakonan saya sekarang agak padat, jadi tidaklah terasa terlalu rindu. Kalau ada masa terluang kami akan saling berhubung antara satu sama lain menerusi panggilan telefon," ujarnya.

Bercerita tentang aktivitinya sepanjang bulan puasa, Nelydia memberitahu pada tahun ini dia lebih sibuk berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana terbabit dengan penggambaran dua telemovie iaitu Setia Hujung Nyawa Raya dan Syurga Tanpa Bidadari.

"Tahun ini memberikan cabaran yang cukup besar kerana saya banyak terbabit dengan penggambaran di kawasan terbuka pada waktu siang sehingga membuatkan badan cepat letih.

"Bagaimanapun, saya mengharungi segala cabaran itu dengan kudrat yang ada. Pernah juga terfikir untuk tolak berlakon pada bulan puasa, tetapi rasa sayang pula kerana tawaran yang diterima memang menarik," ujarnya.

Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran membuatkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dapat dilakukan.

"Sehingga kini baju raya pun saya tak sempat nak beli, malah jadual lakonan saya hanya akan tamat pada hari terakhir umat Islam berpuasa.

"Selepas itu barulah saya akan pulang menyambut hari raya ke kampung halaman di Bachok, Kelantan selama seminggu sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk kembali menjalani penggambaran," ujarnya.

Post a Comment

 
Top