0


SELEPAS bergelar ibu tunggal selama empat tahun, Siti Nordiana 
mengakui dia kini sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri.


SETELAH bercerai dengan pelakon drama Allahyarham Mohd. Faizal Yusop pada tahun 2009, sehingga kini penyanyi Siti Nordiana atau Nana belum menemui pengganti.

Sepanjang tempoh empat tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran itu agak jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki.

Bagaimanapun, baru-baru ini Nana, 29, digosipkan dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 6, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubahan Ahamad, 27.

Hubungan mereka dikatakan agak rapat sekarang. Gosip berkenaan tercetus apabila kedua-duanya dikatakan bercuti bersama-sama di Pulau Perhentian, Terengganu bulan lalu bersama lapan orang rakan yang lain.

Ibu kepada Muhamad Rayyan Nakhaie, 5, yang ditemui pada majlis bersempena program Melodi Raya anjuran TV3 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, menjawab spekulasi tersebut secara terbuka.

Kosmo!: Sepanjang bergelar janda, anda jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Boleh jelaskan hubungan anda dengan Nubhan yang kini hangat diperkatakan?

SITI NORDIANA: Apa yang boleh saya katakan, memang kami berkawan rapat sejak setahun yang lalu. Antara punca saya dan Nubhan rapat kerana masing-masing berasal dari Negeri Sembilan dan status kami sebagai artis.

Sepanjang berkenalan dan berkawan rapat, saya lihat dia seorang lelaki yang baik dan selalu mengambil berat. Sejujurnya dia menjadi tempat untuk saya meluahkan perasaan sekiranya ada sebarang masalah.

Kenyataan anda ini seolah-olah menandakan ada satu ikatan istimewa antara anda dan Nubhan. Apa status sebenar hubungan kalian berdua sekarang?

Seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini hubungan kami tidak lebih daripada sekadar teman rapat, malah saya menganggap dia seperti seorang adik memandangkan usianya yang lebih muda dua tahun daripada saya.

Misalnya, kalau dia ada melakukan sebarang kesalahan yang kecil saya akan terus tegur dia, seolah-olah teguran daripada seorang kakak kepada adiknya. Jika ada yang kata kami bercinta, ia tidak benar sama sekali.

Adakah anda dan Nubhan selalu keluar bersama-sama?

Tidaklah selalu sangat kerana masing-masing ada kerja dan komitmen sendiri. Lagipun kini kami agak jarang berjumpa kerana Nubhan sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.

Anda sudah bergelar ibu tunggal selama empat tahun. Adakah anda telah bersedia untuk mencari pengganti?

Kalau bercerita tentang jodoh, wanita mana yang tidak mahu berkahwin. Malah, saya sendiri sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri. Cuma sehingga kini saya belum bertemu dengan lelaki yang sesuai.

Apakah ciri-ciri lelaki calon suami anda itu nanti?

Tentang pemilihan calon suami pula saya bukanlah jenis yang terlalu memilih. Namun sudah tentu saya mahu mencari lelaki yang kuat pegangan agama serta boleh menerima dan menyayangi anak saya dengan sepenuh hati.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencari lelaki yang boleh dijadikan calon suami. Saya akui pernah didekati beberapa orang lelaki, namun mereka seperti tidak betul-betul serius. Kini soal jodoh saya serahkan kepada Allah.

Ceritakan sedikit tentang perkembangan kerjaya nyanyian anda?

Saya masih aktif menyanyi dan banyak buat persembahan di merata-rata tempat.

Tak lama lagi, saya akan keluar dengan single terbaharu dan berduet bersama Syura setelah kali terakhir berkolaborasi dengannya pada tahun 2003 menerusi lagu Bakawali.

Proses rakaman untuk lagu baharu kami itu masih lagi pada peringkat pemilihan lagu yang sesuai. Kami mengekalkan genre etnik kreatif, tetapi ada sedikit elemen rap dalam lagu tersebut. -kosmo-

Post a Comment

 
Top