0



LONDON – Alex Ferguson mahu David Moyes menggantikan tempatnya sebagai pengurus Manchester United.

Hasratnya itu turut disokong beberapa legenda Old Trafford yang bersetuju agar tugas Ferguson itu diambil alih pengurus Everton itu.

Kem United dikejutkan seketika apabila Ferguson membuat keputusan untuk bersara kelmarin.

Dia dikatakan telah mendesak ahli lembaga United melantik pengurus dari Scotland, Moyes, 50, sebagai penggantinya.

Moyes sebelum ini dikatakan telah berbincang dengan pengerusi Everton, Bill Kenwright di London.

Bagaimanapun, Kenwright menegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan dicapai, dan Moyes masih lagi mengendalikan skuad The Toffees itu dalam pertemuan dengan West Ham Ahad ini.

Kenwright juga menegaskan bahawa keputusan itu terletak di tangan Moyes dan mendedahkan bahawa pengurus itu masih belum memutuskannya.

Moyes merupakan calon pilihan utama dalam kalangan legenda United seperti Gary Neville, Denis Law dan Peter Schmeichel.

Begitupun, satu undian yang telah dibuat menunjukkan peminat bola sepak England mahu Jose Mourinho menggantikan tempat Ferguson.

Jurulatih Real Madrid itu menerima 40 peratus undi dalam talian manakala Moyes mendapat 32 peratus sahaja.

Difahamkan terdapat kebimbangan mengenai harga saham kelab itu yang mungkin menurun sekiranya Moyes dilantik menguruskan sebuah institusi yang besar, tidak seperti populariti yang ada pada Mourinho.

Ferguson, 71, telah membimbing United menjulang 38 trofi termasuk 13 gelaran Liga Perdana England dan dua juara Eropah sepanjang 26 tahun berkhidmat di Old Trafford.

Moyes pula berjaya membina skuad mantap dengan berbekalkan dana kecil sepanjang 11 tahun di Goodison Park dan kontraknya bersama The Toffees akan berakhir pada 30 Jun depan.

“Beliau (Moyes) adalah seorang juara dan memiliki persamaan dengan karakter Ferguson,” ujar bekas jurulatih England dan pembantu pengurus United, Steve McClaren.

“Moyes juga mencipta legasi dan kegemilangan di Everton. Beliau telah lama menunggu penantian ini dan saya berharap Moyes akan dapat jawatan (pengurus United) itu.”

Moyes dan Ferguson memiliki hubungan sangat rapat sebagaimana Ferguson mendedahkan Moyes merupakan individu yang sesuai sebagai penggantinya di Old Trafford.

Malah, Moyes pernah dipertimbangkan untuk dilantik sebagai pembantu Ferguson ketika beliau mengendali Preston pada tahun 2000.

Begitupun, Moyes memilih Everton berbanding United pada tahun 2002.

Berdasarkan pencapaian Moyes, Everton tidak pernah terkeluar dari kelompok lapan pasukan terbaik Liga Perdana England sejak 2006. – Agensi

Post a Comment

 
Top