0
CHONG WEI berazam untuk menamatkan kemerosotan prestasinya dengan menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China Ogos depan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei mampu merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China Ogos depan.

Keyakinan itu disuarakan oleh ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Rashid berkata, kejohanan dunia tahun ini bakal menjadi fokus utama Chong Wei selepas gagal dalam misinya menjelmakan kilauan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London.

“Jika ditanya mengenai sasaran buat Chong Wei tahun ini, sudah pasti kejohanan dunia adalah fokus utamanya.

“Biarpun telah meraih pelbagai kejuaraan termasuk dalam kejohanan bertaraf Siri Super Premier dan Siri Super, Chong Wei belum lagi bergelar juara dunia. Jadi, tahun ini merupakan peluang terbaik untuk dirinya merealisasikan matlamat itu.

“Chong Wei tidak boleh berputus asa kerana peluang tetap ada. Saya percaya, dengan pengalaman yang dimilikinya, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan dia bergelar juara tahun ini,“ kata Rashid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak memegang status selaku pemain No. 1 dunia pada 2008, hanya kejuaraan dunia dan pingat emas Sukan Olimpik masih belum dinikmati oleh Chong Wei.

Mahu atau tidak dia perlu merealisasikan impiannya itu bagi meletakkan namanya sebaris dengan jaguh-jaguh badminton dunia seperti perseorangan China, Lin Dan dan Taufik Hidayat (Indonesia) yang terlebih dahulu telah melengkapkan koleksi kejuaraan mereka.

Lin Dan dan Taufik telah mencatat nama selaku juara pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia yang mana ia masih belum dinikmati oleh Chong Wei lagi.

Peluang untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik mungkin tipis buat Chong Wei berdasarkan faktor usianya yang semakin meningkat menjelang edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil tetapi sekurang-kurangnya gelaran juara dunia tahun ini dilihat mampu menjadi pengubat kekecewaan tersebut.

Menurut Rashid, bagi memastikan Chong Wei berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum turun beraksi pada Kejohanan Dunia, pemain kelahiran Pulau Pinang itu hanya akan menyertai kejohanan-kejohanan utama tahun ini.

“Faktor usia sudah tidak boleh dipandang mudah lagi oleh Chong Wei. Dia perlu menjalani latihan yang lebih berkualiti bagi memastikan kecergasan tubuh badannya sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Jika tidak, ia pasti akan memberi masalah buat dirinya sekiranya mengalami kecederaan. Kita kena sedar, usianya semakin meningkat dan jika dia mengalami kecederaan tempoh untuk pulih itu agak lambat,” kata Rashid.

Mengulas mengenai kehebatan dua pemain China, Lin Dan dan Chen Long yang pasti akan membayangi Chong Wei dalam misi memburu gelaran juara dunia tahun ini, Rashid berkata: “Sebenarnya mereka semua (Chong Wei, Lin Dan dan Chen Long) tidak jauh berbeza.

“Ketiga-tiga pemain itu memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara.

“Namun, dalam masa yang sama, Chong Wei juga tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain-pemain lain terutama dari China seperti Du Pengyu dan Wang Zhengming begitu juga Kenichi Tago (Jepun) dan Simon Santoso (Indonesia).

“Mereka ini semua boleh menjadi ancaman kepada Chong Wei. Tanpa kita sedari, prestasi mereka tiba-tiba akan meningkat dalam satu-satu kejohanan yang disertai,’’ ujar Rashid. -kosmo-

Post a Comment

 
Top