0
PASANGAN Kien Keat-Boon Heong akan menentang beregu Indonesia 
pada pusingan pertama Siri Super Terbuka Malaysia 2013.


TIGA beregu lelaki negara terpaksa akur apabila dijangka bertemu antara satu sama lain dalam laluan ke pentas final pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2013.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, beregu lelaki utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan berdepan rakan senegara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pada pusingan kedua jika kedua-dua pasangan tersebut melepasi pusingan awal.

Kien Keat-Boon Heong akan menentang beregu Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Gunawan pada pusingan pertama manakala V Shem-Khim Wah membuka tirai berdepan Rasmus Bonde-Mads Conrad-Petersen dari Denmark.

Salah satu daripada mereka akan berdepan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong di peringkat suku akhir yang turut dijangka mampu meloloskan diri dalam kelompok lapan terbaik.

"Ini bukan undian yang baik untuk beregu lelaki negara. Mereka terpaksa bertemu antara satu sama lain di peringkat awal.

"Saya harap, mereka akan mempamerkan aksi terbaik masing-masing. Beregu mana lebih bagus, merekalah yang akan ke peringkat seterusnya," kata ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her.

Bagaimanapun, Kim Her berkata, undian kali ini dilihat memberi kelebihan kepada Kien Keat-Boon Heong untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami mereka sejak 2010.

"Bukan sahaja Terbuka Malaysia tetapi pada Terbuka Korea Selatan juga Kien Keat-Boon Heong mendapat undian yang baik. Kini, segala-galanya terpulang kepada mereka untuk bergelar juara.

"Saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana fokus utama mereka tahun ini adalah Seluruh England, Kejohanan Dunia dan Piala Sudirman," kata Kim Her.

Dua lagi beregu negara turut menggalas cabaran pada Terbuka Malaysia kali ini iaitu Nelson Wei Keat-Teo Ee Yi, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han selain beregu profesional yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari.

Sementara itu, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama menentang pemain Denmark, Viktor Axelsen.

Juara Terbuka Perancis tahun lalu, Liew Daren akan menentang pemain India, Ajay Jayaram manakala Chong Wei Feng berdepan tugas sukar apabila menentang pilihan kedua, Kenichi Tago dari Jepun.

Perseorangan muda negara, Mohd. Arif Abdul Latif akan bertemu pemain berpengalaman Indonesia, Sony Dwi Kumncoro.

Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tampil sebagai pilihan pertama akan membuka tirai saingan menentang Sudket Prapakamol-Duanganong Aroonkesorn dari Thailand.

Terbuka Malaysia akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 15 hingga 20 Januari ini. -kosmo-

Post a Comment

 
Top