NYON, Switzerland - Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo akan kembali ke Old Trafford selepas Real Madrid diundi bertemu bekas kelabnya, Manchester United pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara semalam.
Ronaldo akan menjejakkan kaki buat pertama kalinya sejak dia meninggalkan skuad The Red Devils dengan yuran perpindahan sebanyak £80 juta (RM398 juta) pada 2009.
Selain Ronaldo, jurulatih Real, Jose Mourinho turut mencuri tumpuan selepas beliau dikaitkan sebagai pengganti terbaik buat pengurus United, Alex Ferguson pada musim depan.
Untuk rekod, Ronaldo yang meledak 118 gol sepanjang 292 perlawanan bersama United.
Pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan tahun 2003, penyerang Brazil, Ronaldo dijulang sebagai wira apabila meledakkan hatrik di Old Trafford untuk membantu Real menang dengan agregat 6-5.
Kedua-dua kelab yang memiliki sejarah menarik pada kejohanan berprestij di Eropah itu, bertemu buat pertama kalinya pada aksi separuh akhir Piala Eropah, April 1957.
Pada pertemuan tersebut, Real menundukkan United 5-3.
Sementara itu, pemain pertahanan United, Rio Ferdinand jelas teruja dengan keputusan undian tersebut.
"Kami akan bertemu Real. Ia pastikan menjanjikan perlawanan yang menarik. Ronaldo, kita akan berjumpa tidak lama lagi," komen Ferdinand dalam laman sosial Twitternya.
Pada perlawanan lain, Arsenal bakal menghadapi cabaran Bayern Munich manakala Celtic akan bertemu kelab gergasi Itali, Juventus yang menyingkirkan juara bertahan, Chelsea pada aksi peringkat kumpulan.
Dua pasukan gergasi Eropah, Barcelona dan AC Milan bakal berentap dalam usaha untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Malaga pula akan menentang FC Porto, Shakhtar Donetsk bertemu Borussia Dortmund dan Galatasaray bakal melayan kunjungan Schalke 04 pada pusingan kalah mati.
Kelab mewah Perancis, Paris St. Germain dijadualkan menentang Valencia. - Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment