0
NEW YORK 9 Nov. - Kemenangan calon Presi­den Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Donald Trump mencetuskan bantahan dan demonstrasi di beberapa buah bandar di negara ini dan di London.

Beratus-ratus penyokong calon Parti Demokrat, Hillary Clinton, mula berarak di jalan-jalan utama di California dan Portland sambil membakar bendera dan melaungkan ‘Anda bukan Presiden kami’.

Demonstrasi turut diadakan di Universiti California oleh penuntut yang tidak berpuas hati terhadap Trump.

Tunjuk perasaan juga dilaporkan berlaku di bandar San Diego, San Francisco dan San Jose. Di London, bantahan antiperkauman diadakan di luar Kedutaan AS.




Trump melakar kejutan apabila memenangi pilihan raya itu yang turut menyaksikan kemenangan terbesar partinya yang berjaya mengekalkan pe­nguasaan di Dewan Senat dan Dewan Perwakilan.

Kekuatan Trump meraih 289 undi badan perwakilan pemilih berbanding Hillary yang sekadar mengutip 218 undi banyak dibantu oleh pengundi kulit putih terutama dari golo­ngan pekerja kelas pertengahan.

Beliau berjaya ‘meruntuhkan’ kubu kuat Parti Demokrat iaitu Pennsylvania dan Wisconsin yang tidak pernah memilih calon Presiden dari Parti Republikan sejak tahun 1980-an.

Kemenangan beliau juga turut disumbangkan negeri yang dianggap sebagai negeri swing state seperti Ohio, Florida, Iowa dan Michigan yang memilih Parti Demokrat pada pemilihan 2012.

Selain itu, Trump turut berjaya memenangi hati pengundi atas pagar antaranya di Georgia, North Carolina dan Arizona.





Beliau yang muncul di pentas Hotel Hilton di sini kira-kira pukul 3 pagi ini waktu tempatan di hadapan ribuan penontonnya, dilihat mengambil sikap berhati-hati dalam ucapannya sejurus diumumkan sebagai Presiden AS Ke-45 sambil menyeru rakyat negara ini kembali bersatu. 


“Ini adalah masa untuk rak­yat Amerika bersatu dan melupakan perpecahan. Saya berjanji akan menjadi Presiden kepada semua rakyat dan perkara ini amat penting kepada saya.
“Bagi sesiapa yang tidak menyokong saya sebelum ini, saya meminta bantuan anda supaya kita boleh bekerjasama dan menyatupadukan negara yang hebat ini. Saya tidak akan menghampakan anda,” katanya yang muncul di pentas bersama ahli keluarga serta calon gandingannya, Mike Pence. 


Artikel asal Mediapenmerah

Post a Comment

 
Top