0

Pelakon Zain Saidin tidak mahu mengetahui apakah jantina anak yang sedang dikandungkan oleh isterinya, Rozita Che Wan apabila wanita itu membuat imbasan kandungannya nanti.

Zain, 30, berkata, dia mahu perkara itu menjadi satu kejutan kepadanya biarpun isterinya teruja untuk mengetahui jantina anak mereka.

"Saya terima dengan rasa syukur tidak kira apa anak yang bakal lahir itu nanti lelaki atau pun perempuan kerana yang lebih penting isteri dan anak kami nanti selamat dan sihat.

"Tetapi jika diberi pilihan saya mahukan anak lelaki dan isteri pula mahukan sebaliknya," katanya kepada mStar Online.

Zain dan Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Cik Ta ditemui ketika pelancaran dan pelantikan mereka sebagai duta MV Bistro & Kafe di The Strand Kota Damansara di sini, Sabtu.

Bagaimanapun kata Zain, Rozita tidak sabar untuk mengetahui jantina anak mereka dan kebarangkalian sukar untuk perkara itu dirahsiakan.

"Apabila isteri tahu mengenai jantina anak kami pasti saya akan tahu juga akhirnya kerana dia akan membeli barangan mengikut jantina bayi itu nanti," katanya.

 
 
Pasangan ini dijangka akan menerima cahaya mata pertama mereka pada pertengahan Oktober depan.

Dalam pada itu, Zain berkata, dia bimbang sekiranya tidak dapat menemani isterinya di bilik bersalin pada Oktober depan untuk menyambut anak mereka kerana dia dijadualkan berada di London pada tarikh Rozita dijangka bersalin.

Jelas Zain, pemergiannya ke negara itu bagi menjalani penggambaran program Oh My English! musim ketiga di sana.

"Saya agak risau kerana pada tarikh isteri saya dijangka bersalin itu saya berada di London dan berharap sangat dapat menemaninya untuk menyambut kelahiran anak pertama kami.

"Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pihak produksi kerana barangkali jadual itu boleh dianjakkan bagi membolehkan saya menemani isteri nanti," ujarnya.

Sementara itu, Zain berkata, dia akan sentiasa memastikan Rozita mendapat rehat secukupnya dan berasa lega apabila wanita berkenaan memberitahu tidak mahu bekerja sepanjang tempoh pengandung.

Malah kata Zain, dia juga gembira apabila Rozita tidak mengalami sebarang alahan teruk pada peringkat awal kehamilannya namun mengakui selera makan isterinya bertambah.

"Alhamdulillah setakat ini segala-galanya berjalan lancar dan isteri juga tidak mengidam perkara yang pelik-pelik cuma selera makannya bertambah.

"Sebagai suami sudah tentu saya harapkan isteri saya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan akan memastikan dia sentiasa mendapat rehat yang cukup," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zain berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran Oh My English! musim ketiga selain baharu sahaja menyiapkan sebuah drama bersiri berjudul Walaupun Sedetik Cuma untuk siaran TV Al-Hijrah.
 
 
sumber asal mstar

Post a Comment

 
Top