Pesawat mendarat di lebuh raya AS
NEW YORK – Sebuah pesawat ringan membawa tiga orang mendarat cemas di sebuah lebuh raya di Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika beberapa bahagian di negara berkenaan dilanda cuaca sejuk ekstrem.
Jabatan Bomba Bandar Raya New York (FDNY) menyatakan, kapal terbang satu enjin itu mendarat sekitar pukul 3.20 petang (waktu AS) di lebuh raya Major Deegan Expressway di sini.
“Pesawat itu terpaksa membuat pendaratan cemas kerana mengalami masalah enjin,” kata jurucakap FDNY, Khalid Baylor.
“Kapal terbang itu mendarat di sebuah lebuh raya dan tidak melanggar sebarang kenderaan atau menyebabkan kecederaan kepada orang ramai,” tambahnya.
Anggota-anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian membuang bahan api pesawat sebelum memindahkannya untuk mengelak risiko kebakaran.
Dua lelaki dan seorang wanita yang cedera dalam insiden itu dibawa ke sebuah hospital untuk menerima rawatan. – AFP
Post a Comment