0

KUMPULAN penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di luar Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand semalam.



BANGKOK - Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra semalam menyatakan, beliau bersetuju mengadakan pilihan raya untuk menamatkan bantahan antikerajaan ketika krisis politik dalaman Thailand kian meruncing susulan peletakan jawatan sebahagian besar wakil rakyat pembangkang.

Bandar raya ini bakal berdepan satu lagi tunjuk perasaan besar- besaran hari ini yang disifatkan sebagai konfrontasi terakhir bagi menggulingkan Yingluck, sekali gus mengekang pengaruh abangnya, Thaksin Shinawatra.

"Kami meletak jawatan sebagai wakil rakyat untuk berarak bersama rakyat bagi menentang rejim Thaksin," kata wakil rakyat Parti Demokrat, Sirichok So- pha.

Thailand digegarkan dengan beberapa episod pertumpahan darah sejak Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera tujuh tahun lalu.

Kerajaan Yingluck turut dikejutkan oleh demonstrasi jalanan sejak lebih sebulan lalu dengan bi- langan mereka mencecah puluhan ribu orang beberapa kali.

Penunjuk perasaan itu mahu kerajaan sedia ada dimansuhkan dan diganti dengan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Majlis Rakyat (PC).

Semalam, Yingluck sekali lagi menawarkan untuk mengadakan pilihan raya jika para penunjuk perasaan bersetuju untuk menghormati proses demokrasi di negara itu.

Pihak pembangkang tersebut terdiri daripada kelompok penyokong monarki, penduduk kelas pertengahan dan kumpulan penentang Thaksin yang lain.

"Kerajaan bersedia membubarkan Parlimen jika majoriti rakyat mahukannya," kata Yingluck dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.

Di bawah undang-undang Thailand, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubar.

"Namun, jika penunjuk perasaan atau sebuah parti politik utama lain (Parti Demokrat) tidak mene- rima saranan ini atau keputusan pilihan raya itu nanti, ia akan menyebabkan konflik politik di negara ini berpanjangan," tambahnya.

Bagaimanapun, para pemimpin tunjuk perasaan tidak berpuas hati dengan usul Yingluck, sekali gus menyebabkan kedua-dua pihak berada di jalan buntu.

Situasi tidak stabil yang berlarutan juga dibimbangi akan menakutkan pelabur asing dan pelan- cong untuk berkunjung ke Thailand.

"Kerajaan tanpa pilihan raya (PC) seperti yang diminta oleh pembangkang akan menjejaskan reputasi dan kestabilan negara," kata Yingluck.

"Jika penunjuk perasaan mahu- kannya, mereka patut bertanya adakah ia kehendak majoriti rakyat," ujarnya.

Konflik politik Thailand membabitkan golongan kelas pertengahan dan penyokong monarki yang disokong tentera menentang penduduk pedalaman serta golongan pekerja yang setia kepada Thaksin.

Bekas Perdana Menteri Thailand itu melarikan diri ke luar negara pada 2008 untuk mengelak hukuman penjara selepas beliau didapati bersalah melakukan rasuah.

Dalam pada itu, situasi dalam negara tersebut masih tegang susulan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di sini pada minggu lalu.

Kekacauan tersebut menyebabkan lima orang terbunuh dan lebih 200 yang lain cedera. - AFP

Post a Comment

 
Top