|
NEW DELHI - Polis India menyiasat Ratu Cantik Amerika Syarikat (AS), Olivia Culpo kerana dia didakwa melanggar salah satu peraturan ketat ketika melawat bangunan Taj Mahal pada Ahad lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Culpo, 21, dari Pulau Rhode, AS berada di lokasi tarikan pelancong itu selama sejam untuk satu sesi penggambaran kasut tumit tinggi.
Perbuatan tersebut tidak menghormati peraturan yang melarang sebarang bentuk pengiklanan terbuka di Tapak Warisan Dunia itu.
Badan Keajaiban Moden Dunia telah membuat aduan kepada polis berhubung kejadian itu.
Bangunan tersebut berusia 360 tahun dan terletak di Agra, negeri Uttar Prades, India.
Kejadian itu berlaku di sebuah kawasan bangku marmar dengan berlatarkan kompleks Taj Mahal.
Bekas isteri pewaris pertama takhta diraja Britain, Putera Charles, mendiang Puteri Diana pernah duduk di bangku itu pada tahun 1992.
Culpo merupakan pelajar Universiti Boston dan anak kepada dua ahli muzik profesional berada di India dari 27 September hingga 6 Oktober lepas untuk mempromosikan isu-isu kebajikan.
Dia dinobatkan sebagai Ratu Cantik Universe peringkat dunia pada tahun lalu sekali gus menjadi kemenangan pertama buat warga AS selepas Brook Lee memenangi pertandingan tersebut pada 1997.
Menurut Mahkamah Agung India, sebarang bentuk jenama atau publisiti tidak dibenarkan di sekitar bangunan itu.
Anggota rombongan ratu itu didakwa membawa kasut yang akan dipakai ratu tersebut semasa dia mula untuk menjalani sesi fotografi.
Beberapa anggota polis dilaporkan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas ratu tersebut.
"Kasut tinggi untuk satu jenama telah dibawa keluar oleh seseorang dalam kumpulan rombongan itu," kata kenyataan Kajian Arkeologi India yang merupakan sebuah agensi kerajaan di Jabatan Kebudayaan India kepada akhbar Hindustan Times baru-baru ini.
Pembinaan Taj Mahal bermula pada tahun 1632 dan siap sepenuhnya pada tahun 1653.
Ia mengambil masa selama 22 tahun untuk disiapkan.
Bangunan tersebut merupakan imaginasi kehidupan untuk isterinya, Mumtaz yang telah meninggal dunia.
Bangunan itu melibatkan 22,000 orang pekerja. - Agensi
Post a Comment