0


TYG 2 menjanjikan aksi tanpa henti sepanjang 104 minit tayangan.



SELEPAS filem aksi berjudul Tom-Yum-Goong mencipta fenomena global pada tahun 2005, kini pengarahnya, Prachya Pinkaew tampil dengan versi sekuel bertajuk Tom Yum Goong 2 (TYG 2).

Selain masih mendapat sentuhan Prachya, filem buatan Thailand itu turut mengekalkan hero yang membawa watak Kham, Tony Jaa.

Kesinambungan daripada naskhah Tom-Yum-Goong yang mengambil masa kira-kira tujuh tahun itu sedikit sebanyak membuahkan rasa risau dalam hati Prachya terhadap penerimaan penonton. Namun pengarah tersebut meletakkan kepercayaan lebih tinggi kepada naskhah kedua itu.

"Siri kedua ini memberi cabaran yang besar kerana jalan ceritanya tidak lagi segar dan itulah yang dilalui oleh kebanyakan pembikin filem apabila menghasilkan naskhah sekuel (sambungan).

"Oleh kerana filem itu sudah dikenali di seluruh dunia, saya memberi fokus yang lebih kepada elemen aksi kerana itu yang peminat aksi mahukan. Mereka akan melihat lebih aksi, lebih debaran dan skil seni mempertahankan diri muay Thai yang berbeza," ujarnya.

Bercakap kepada sebuah akhbar, Prachya menjelaskan bahawa naskhah yang menelan belanja kira-kira AS$10 juta (RM31 juta) itu menampilkan aksi tanpa henti yang digarap dengan penuh kehalusan.

"Antara adegan tersebut termasuklah aksi berlawan antara Tony Jaa dan geng motosikal selama kira-kira 15 minit tanpa henti. Babak itu sahaja mengambil masa penggambaran kira-kira lapan bulan.

"Selain itu penggambaran dilakukan sepenuhnya di Bangkok kerana kami mahu menonjolkan sisi masyarakat di situ yang jarang diketahui penonton," katanya.

TONY JAA tampil dalam TYG 2 sebelum kehadiran filem Hollywood lakonannya, Fast & Furious 7 tidak lama lagi.


Antara adegan menarik dalam TYG 2 adalah aksi Tony Jaa melompat dari jambatan pada ketinggian 20 tingkat tanpa bantuan pelagak ngeri. Pelakon itu juga beraksi sambil berpaut di atas bumbung kereta yang dipandu laju dan membuat pusingan 360 darjah.

TYG 2 mengisahkan seorang pemilik pusat perlindungan gajah berpengaruh yang dibunuh di rumahnya. Kham lakonan Tony Jaa merupakan suspek utama kerana dia berada di tempat kejadian dan dilihat bersama Boss Suchart sebelum lelaki itu dibunuh.

Kham terpaksa melarikan diri kerana polis sedang giat memburunya. Dalam masa yang sama dua orang anak buah Boss Suchart turut mencari orang yang membunuh bapa saudara mereka itu.

Kham bernasib baik apabila bertemu dengan seorang ejen Interpol yang dihantar ke Thailand bagi melaksanakan misi sulit bernama Sarjan Mark. Adakah Kham berjaya meloloskan diri kerana diburu oleh banyak pihak?

Naskhah yang mula ditayangkan sejak 24 Oktober lalu di seluruh negara tersebut turut menampilkan pelakon berbakat besar Thailand seperti Marrese Crump, Petchtai Wongkamlao, Jeeja Yanin, Rhatha Phongam dan RZA. -kosmo-

Post a Comment

 
Top