|
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengakui penyelenggaraan yang lemah dan penggunaan yang berlebihan menjadi punca padang di Stadium Nasional Bukit Jalil rosak.
Zolkples berkata, padang di stadium berkenaan sudah terlalu uzur dan mencapai tarikh luput, sekali gus tidak setanding dengan status stadium yang bertaraf dunia itu.
"Selain faktor cuaca iaitu hujan dan panas, penyelenggaraan yang lemah serta penggunaan yang berlebihan di atas padang itu menyebabkan ia tidak dapat diselamatkan lagi. Rumput dan tanah di stadium itu perlu diganti keseluruhannya.
"Saya juga turut bersedih dengan keadaan padang itu yang mengundang kritikan banyak pihak kerana Kompleks Sukan Negara yang terletak Bukit Jalil merupakan venue bertaraf dunia," kata Zolkples ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Zolkples berkata, sepatutnya apabila para pelancong asing datang ke Kuala Lumpur, salah satu tempat yang wajib mereka kunjungi adalah Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi salah satu mercu tanda negara.
Bagaimanapun, sesuatu yang memalukan apabila stadium itu tidak seperti stadium-stadium utama di negara lain.
Selain itu, padang di Stadium Nasional Bukit Jalil juga boleh diibaratkan sama seperti padang-padang bola sepak yang boleh dilihat di tepi-tepi jalan dan kampung.
Dalam pada itu, Zolkples turut mencadangkan agar dihadkan penggunaan padang di situ selepas kerja-kerja naik taraf secara keseluruhan bermula Oktober depan.
"Selepas rumput baharu siap nanti, saya ingin memberi saranan kepada PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) untuk mengehadkan penggunaan padang itu bagi aktiviti-aktiviti yang penting sahaja terutama acara bola sepak.
"Sebelum ini, saya lihat Stadium Nasional Bukit Jalil sangat aktif digunakan bukan sahaja untuk perlawanan bola sepak tetapi bermacam-macam acara telah berlangsung di situ.
"Selain itu, pihak kontraktor yang menyelenggara padang itu seharusnya terdiri daripada pihak yang pakar dan yang paling ideal adalah pihak yang diberi kontrak menanam rumput di padang itu.
"Saya juga berharap, selepas ini biarlah stadium ini menjadi rujukan banyak pihak dan setanding dengan nama besar Stadium Nasional Bukit Jalil yang bertaraf dunia itu," kata Zolkples.
Katanya, PSM telahpun bermesyuarat hujung Julai lalu untuk menentukan prosedur tender bagi padang baharu itu, namun masih menunggu tarikh sesuai untuk mengeluarkan tender.
Stadium Nasional Bukit Jalil yang berkapasiti 110,000 itu dibina pada 1 Januari 1995 dengan kos 800 juta dan dibuka secara rasmi pada 11 September 1998 bagi penganjuran Sukan Komanwel XVI. -kosmo-
Post a Comment