Chong Wei belum menyerah kalah
PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menegaskan bahawa dia akan meneruskan misinya untuk memburu gelaran pertama pada Kejohanan Badminton Dunia pada tahun depan.
Pemain berusia 30 tahun itu terpaksa akur dengan nasibnya yang terus kempunan untuk menjulang gelaran dunia apabila tewas kepada jaguh China, Lin Dan di Gimnasium Tianhe, Guangzhou kelmarin.
Chong Wei cemerlang pada set pertama, namun selepas tewas pada babak kedua dia terus ditimpa malang apabila terpaksa menarik diri selepas mengalami kekejangan pada kedua-dua belah otot paha ketika ketinggalan 17-20
Lin Dan pula menambah koleksi emas untuk kali kelima selepas menundukkan lawannya itu 16-21, 21-13, 20-17.
Mengulas mengenai kekalahan itu, Chong Wei berkata, dia tidak akan berputus asa kerana sasarannya untuk beraksi sehingga temasya Sukan Olimpik di Brazil pada 2016.
“Saya akui memang saya kecewa (kalah) kerana saya telah cuba memberikan terbaik pada kejohanan dunia kali ini.
“Saya harap pada kejohanan akan datang saya akan bermain lebih bagus lagi kerana sasaran saya sehingga 2016 iaitu pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro,” kata Chong Wei sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.
Kepulangan Chong Wei disambut di tanah air turut disambut isterinya, Datin Wong Mew Choo dan anak lelakinya, Kingston Lee
Turut hadir menyambut Chong Wei ialah Presiden Kehormat BAM, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salled, Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria.
Sementara itu, Mew Choo berkata, Chong Wei itu telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, namun kemenangan masih belum memihak kepada suaminya itu.
“Dia telah cuba yang terbaik. Menang dan kalah itu perkara normal tetapi persembahannya pada kali ini bukan yang terbaik jika dibandingkan dengan yang lepas,” ulas Mew Choo.
Chong Wei mula menyertai kejohanan dunia pada 2005 dan hanya melangkah ke final pada 2011 dan tahun ini. -kosmo-
Post a Comment