0

Fouziah Gous (kanan) dan tunangnya, Zhafran.

Pelakon popular, Nor Fouziah Mohd Gous, 30, mengikat tali pertunangan dengan Md Zhafran Md Yusof, 30, dalam satu majlis yang diadakan di Restoran Asmara Penchala, Kuala Lumpur, malam Sabtu.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diiringi dengan ucapan perbincangan oleh bapa saudara yang mewakili pihak lelaki, Datuk Kamal Ismail.

Sementara itu, pihak Fouziah diwakili oleh Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali.

Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sireh, manisan coklat, sepersalinan kain, set alat kosmetik dan wangian dan kamera.

Manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran terdiri daripada jambangan sirih junjung, sepersalinan baju Melayu, kain songket, beg tangan, senaskah Al-Quran, set wangian dan manisan.

Majlis kemudiannya disusuli dengan adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Zhafran, Normah Ali.

Pada majlis tersebut, Fouziah tampil anggun dalam persalinan pereka fesyen terkenal Zery Zamry.

Sementara itu, Fouziah yang ditemui selepas majlis selesai bersyukur dan lega semuanya berjalan lancar.

Biarpun membina hubungan istimewa dalam tempoh yang singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Fouziah yakin lelaki tersebut adalah pilihan yang tepat buat dirinya.

"Kami berkenalan pada Mac dan baru tiga bulan kami bercinta namun Zhafran banyak memberi keyakinan kepada saya dalam segala hal.

"Memang pada awalnya kami hanya berbincang tentang bisnes sahaja namun rasa cinta itu datang secara tidak langsung," katanya.

Manakala Zhafran memberitahu Faouziah merupakan seorang wanita yang periang dan mampu memikat hatinya.

Kedua-dua pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada September depan. -mstar-

Post a Comment

 
Top