MANCINI bakal dipecat oleh Manchester City selepas dikatakan gagal membawa kejayaan kepada kelab tersebut musim ini.
LONDON – Roberto Mancini akan dipecat oleh Manchester City pada minggu ini.
Tugasnya selaku pengurus City dilaporkan bakal diambil alih jurulatih Malaga, Manuel Pellegrini.
Era Mancini selama tiga tahun setengah di City akan berakhir selepas ahli lembaga kelab Eastlands itu memutuskan bahawa pengurus dari Itali itu telah cuba membawa kelab ke tahap yang terbaik.
Pellegrini dijangka berjumpa pemilik Etihad itu Khamis ini bagi melengkapkan perjanjiannya, dan Mancini juga mungkin tidak akan membimbing pasukannya itu pada pertemuan dengan Reading awal pagi esok.
Mancini yang dilihat menghabiskan masa petang kelmarin dengan makan malam bersama barisan kejurulatihannya, mungkin juga dikekalkan sehingga perlawanan terakhir dengan Norwich, Ahad depan.
Namun, sumber kelab itu memberitahu bahawa dia tidak akan menyertai jelajah pramusim ke Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula minggu depan.
Pegawai di City menganggap Mancini tidak memiliki kebolehan untuk membawa kelab itu sebagai antara gergasi Eropah, sekali gus memaksa mereka mencari pengurus baharu yang mampu menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara kepada mereka.
Pemain City juga dikhabarkan kurang gembira dengan cara pengurusan Mancini dan dia akan dilepaskan selepas perbincangan mengenai jumlah pampasan diselesaikan.
Ketua Eksekutif City, Ferran Soriano dan pengarah kelab, Txiki Bergiristain melihat Pellegrini, 59, sebagai calon yang sesuai menggantikan Mancini.
Jurulatih Malaga itu pernah meraih kejayaan ketika menerajui Villarreal sebelum menyertai Real Madrid yang mana dia hanya bertahan selama semusim sahaja.
Namun, ketika bersama Malaga, dia berjaya membawa pasukan tersebut mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. – Agensi
Post a Comment